9 Perbezaan Raya Dulu Dan Sekarang. Mana Satu Yang Anda Lebih Suka?

oleh Team Richworks pada 24 June 2017

Selamat Hari Raya diucapkan kepada semua.  Macam mana persediaan raya? Dah siap? Rendang dah ketupat dah siap masak?  Atau anda order sahaja dari katering?  Rumah dah dibersihkan, atau anda panggil sahaja perkhidmatan cuci rumah untuk bantu anda?  Macam mana dengan kuih muih, bakar sendiri atau main tunjuk je, kat pasar raya?

Raya dulu dan raya sekarang memang jauh berbeza.  Semoga perbezaan ini takkan menghilangkan tujuan utama menyambut hari raya iaitu sebagai merayakan kemenangan kita melawan nafsi, lapar dan dahaga setelah sebulan berpuasa.

Hari Raya, peluang untuk kita membina silaturrahim dan jalinkan kemesraan seisi keluarga.  Jadikan Aidilfitri kali ini lebih bermakna.

Untuk menambahkan kemeriahan Hari Raya, kami nak ajak anda kenangkan kembali perbezaan raya dulu dan sekarang.  Yang mana satu lebih anda suka?

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

Dari Kami Di Richworks!

Kad Raya Atau Message Raya.

Dalam tahun 90an sehingga awal tahun 2000, ramai orang masih gunakan kad raya sebagai medium perantaraan nak menyampaikan ucapan selamat hari raya kepada sahabat dan saudara mara yang jauh.  Ingat lagi tak dulu, kita sentiasa tertunggu-tunggu untuk posmen datang dan harapkan ada kad raya untuk kita.  Lebih-lebih lagi kad raya yang ada lagu.

Kemudian, bila SMS muncul, orang ramai mula menggunakan perkhidmatan SMS.  SMS Kemudiannya jadi semakin pelbagai.  Ada SMS bergambar, SMS dengan teks yang istimewa dan macam-macam lagi.  Kemudian, ucapan raya jadi berbeza bila Facebook muncul.  Semuanya jadi sangat digital dan lebih menarik.  Tapi, orang ramai mula hantar ucapan raya secara ‘bulk’ ke semua kontek yang mereka ada.  Ianya dah kurang istimewa dan ‘personalised’ seperti dulu.

Buat Kuih Raya Atau Beli Saja.

Dulu-dulu, bila nampak ibu beli Planta, tepung, ceri merah dan hijau, dan beberapa bahan lagi, kita dah teruja sebab itu tandanya ibu kita nak buat kuih raya.  Bau kuih raya yang dibakar yang semerbak seisi rumah, dan kita tertunggu-tunggu kalau ibu berikan kita kuih yang agak rentung untuk kita makan.  Kuih yang dah dibuat akan disusun dalam balang cantik untuk di hidangkan kepada tetamu di pagi raya. Pernah kan ada pengalaman macam ni?

Tapi sekarang dah lain, bila masuk awal Ramadhan, semua pakat tunjuk katalog dan bagi sample kuih raya, kemudian masing-masing pakat-pakat order sahaja.  Ada lagi yang suka borong kuih raya dari Bazaar Raya, pakai tunjuk je. Nak hidang kepada tetamu pun, tak payah bekas cantik-cantik, guna saja apa bekas kuih yang sedia ada yang kita dapat masa membelinya.

Anyam Ketupat Atau Ketupat Segera.

Lagi seminggu nak raya, ayah dah intai-intai pucuk kelapa mana yang boleh diambil untuk dianyam jadikan kelongsong ketupat, daun palas mana yang boleh diambil untuk dijadikan sarung ketupat palas dan buluh dari perdu mana yang nak di tumbangkan untuk di buat lemang.  Ibu pun dah bagi checklist lengkap kepada ayah.  Berapa kilo santan yang diperlukan, beras pulut, beras ketupat, kayu apa untuk bakar lemang dan masak ketupat dan macam-macam lagi.  Sebaik sahaja pengumuman tarikh raya disiarkan, barulah kita tak tidur malam nak memasak ketupat dan lemang.  Penat tapi menyeronokkan.

Sekarang, beli saja ketupat segera yang ada di pasar raya.  Lemang segera pun ada.  Atau, tempah saja dari orang lain.  Yang kita tahu, malam raya semuanya dah ada. Keletihan dan keseronokkan menyediakan ketupat dan lemang dah tak ada, tapi lebih ringkas dan tak penat.

Masak Sendiri Rendang dan Kuah Kacang Atau Tempah Dari Katering.

Menjelang raya, bau kerisik, kacang tanah yang digoreng, bunyi lesung batu menumbuk bahan-bahan, serta bau tumisan bawang dan serai untuk masak rendang memang sentiasa menjadi kenangan terbaik.  Habis seisi keluarga akan sibuk di dapur menyiapkan rendang, kuah kacang, masak lodeh, kuah nasi dagang dan macam-macam lagi.  Tapi itu dulu.

Sekarang, lebih mudah bila kita haya telefon khidmat katering, beri jumlah yang kita nak tempah dan merekalah yang akan berhempas pulas memasak untuk kita semua.  Senang memang senang tapi, seronoknya kurang.  Selalunya, bila menyediakan juadah raya ‘lah kita saling bergurau senda bersama adik beradik dan sanak saudara.

Balik Raya Di Kampung Atau Bercuti Luar Negara.

Bila tiba musim raya, ada orang kampung yang akan naikkan sepanduk dan kain rentang dengan tulisan “Selamat Kembali Anak Perantau” demi nak sambut kepulangan anak-anak kampung yang mencari rezeki dan menetap di kota.  2 atau 3 hari menjelang raya, lebuhraya akan mula sesak, bandar-bandar akan mula sepi.  Ibu bapa mula menunggu anak-anak dan cucu pulang ke kampung.

Sekarang pun bila tiba musim raya, lebuhraya akan sesak dan bandar-bandar akan sepi tapi orang ramai bukan setakat ambil peluang untuk balik kampung tetapi ada juga yang lebih suka beraya sambil melancong di luar negara.  Anda macam mana?

Kunjungi Jiran Dan Saudara Atau Lepak Tengok TV.

Dulu, pagi-pagi raya dah ramai orang datang berkunjung ke rumah.  Ada saudara mara dan ada jiran tetangga yang datang sambil bertukar-tukar juadah.  Yang bestnya, kunjung mengunjung ini berlarutan sampai ke tengah malam.  Masa dulu, tak perlu ada ‘open house’.  Semua orang boleh datang dan main terjah saja.  Nasiblah kalau tuan rumah ada atau tak.

Tapi sekarang dah berbeza, nak datang rumah pun kena tunggu tuan rumah buat rumah terbuka.  Mungkin sebab tuan rumah lebih suka orang ramai datang sekali harung, dan mudah untuk mereka buat juadah yang lebih menarik.  Itu OK lagi, ada juga yang pilih untuk lepak di rumah sahaja dan tengok semua siaran menarik yang ditawarkan di TV.  Lepas satu cerita ke satu cerita.  Semuanya menarik.

Baju Tradisional Atau Baju Moden.

Cakap pasal baju raya, sebelum Ramadhan lagi banyak tukang jahit dah tak nak ambil tempahan lagi.  Ianya dah jadi macam kewajipan untuk ada baju raya.  Semua peniaga baju pun nak jual baju raya tak kira kedai online ataupun kedai offline seperti butik, booth dan bazaar.  Dulu, semua orang hanya ada pilihan pakai baju traditional sahaja seperti baju kurung, baju kurung pahang, baju kebaya, baju melayu dan baju melayu cekak musang.

Tapi sekarang, dah banyak sangat pilihan.  Baju kurung pun dah sangat-sangat berinovasi menjadi sangat moden.  Ada yang dah macam baju nak pergi ke majlis makan malam mewah.  Dan ada juga wanita yang lebih suka pilih jubah. Tak kurang juga baju melayu lelaki.  Seakrang dah ada baju melayu hipster, ada baju melayu yang ‘body fit’, dan pilihan kurta dan jubah yang dipakai di hari raya.  Jadi, anda pilih yang mana?

Main Bunga Api Atau Main Handphone.

Raya zaman dahulu memang meriah dengan bunyi letupan meriam buluh.  Juga meriah dengan bunga api dan mercu pelbagai warna dan jenis.  Ada bunga api cap kucing, mercun bom, mercun katak, mercun das dan macam-macam lagi.  Siap ada pertandingan meriam buluh antara kampung.

Tapi, akibat banyak kemalangan yang meragut nyawa terjadi akibat penyalahgunaan mercun dan bunga api, kedua-duanya dah diharamkan.  Walaupun, masih ada yang bermain bunga api dan mercun yang lebih selamat, ianya dah kurang dimainkan.  Anak-anak muda sekarang juga lebih suka main handphone saja.  Main game atau sekadar berbalas WhatsApp dengan kawan-kawan.  Meriah raya sekarang dah berbeza maknanya.

Juadah Tradisional Atau Kuih-Muih Moden.

Ingat tak? Dulu-dulu, kuih raya selalunya sangat terhad.  Ada bahulu, putu kacang, putu beras, kuih kapit, kuih siput, semprit, muruku, kuih lidah atau kuih tiram , tumpi, rempeyek dan biskut bunga cina.  Nama pun tak menarik sangat kan…Tapi rasanya sangat sedap dan buatkan kita selalu terkenang-kenang.  Bahkan ianya jadi identiti sesebuah rumah.  Contoh, Rumah Mak Long yang kuih bunga cina dia sedap dan cantik tu…

Tapi sekarang, tu diaa…..

Bukan main banyak pilihan kuih dan biskut raya.  Namanya pun bukan main gah, Almond London, Mama Carey, Chocolate Almond Bar, Blueberry Tart, Biskut Snow White dan macam-macam lagi.  Rupanya pulak sangat cantik-cantik dan beraneka warna. Sedap ke?

Itu terpulang kepada tekak sendiri.

#TeamRichworks

Lagi mengenai artikel: media, Seminar, Tip Motivasi dan Inspirasi, Tip Pemasaran Bisnes, Tip Perniagaan
 

Ruangan Komen

  • Percuma! Dapatkan 50 Idea Pemasaran Luarbiasa Disini

  • Maklumat Anda Selamat Bersama Kami.

  • Post Terkini
  • Sertai Alumni Dr. Azizan Osman (Facebook)
  • Kategori
Hak Cipta Terpelihara 2017 © Richworks International Sdn. Bhd.
Open Chat
1
Close chat
Hello! Thanks for visiting us. Please press Start button to chat with our support :)

Start