Alangkah Beruntungnya Jika Kebahagiaan Hidup Yang Berlumba Datang Mengejar Anda! Lihat 11 Perkara Yang Harus Anda Lepaskan Untuk Nikmati Situasi Itu

oleh Team Richworks pada 01 July 2017

Sebagai seorang manusia, kita memang sentiasa mendambakan kehidupan yang bahagia, tenang, aman dan damai tanpa resah gelisah. Untuk bahagia memang nampak mudah tapi tak semua dari kita mampu untuk mengecapinya. Kenapa agaknya ya? Barangkali ada 11 perkara ini yang anda harus lepaskan dan biarkan ia berlalu supaya kebahagiaan akan muncul dalam hidup anda.

  1. Terlalu memikirkan semua perkara akan membebankan anda. Relakskan minda.

Anda sering berfikir dan berfikir tentang sesuatu sebab atau musabab yang akan berlaku jika anda lakukan A, apakah manfaat atau akibatnya. Apa pula yang akan berlaku jika anda memilih B. Dan apa pula berlaku jika anda tidak memilih C. Anda overthinking! Anda terlalu fikirkan ‘apa kata orang’. Anda juga terlalu menekan jiwa dan perasaan anda kerana bergantung pada pandangan orang lain. Hentikan itu semua! Overthinking merosakkan mood anda. Orang putih kata, let loose, follow the flow. Biarkan Allah jaga aturannya jika anda sudah berusaha sebaik mungkin dan sehabisnya. Tawakkal. Relaks dan teruskan perjalanan hidup tanpa menyesakkan minda dengan persoalan-persoalan yang semak! Tarik nafas dalam-dalam, tahan dan lepaskan perlahan-lahan.

  1. Pentingkan kata orang dalam hidup tak akan bawa anda ke mana. Abaikan saja.

Siapa anda untuk memuaskan hati semua pihak yang berada di sekeliling anda? Anda Superman kah? Batman? Ironman? Atau Wonder Woman? Anda adalah anda. Maka jadilah diri anda seadanya. Mulut tempayan memang luas dan agak sukar nak cari penutup yang sepadan. Ada saja lubang tiris yang timbul. Jadi biarkan saja. Anda dapat apa jika hidup berterus-terusan mendengarkan kata-kata mereka? Sakit hati, sakit jiwa dan mungkin hingga menyimpan dendam. Siapa rugi? Anda. Mereka? Tepuk tangan gembira. Dari rugi mendengarkan kata mereka, lebih baik anda atur saja jalan sendiri. Diam-diam. Ambil saja yang baik-baik. Yang tidak itu, tinggalkan. Abaikan yang buruk, simpan yang elok.

  1. Kesilapan lalu itu membentuk siapa anda yang sekarang. Jangan kesal, dan ambil pengajaran.

Usah tangiskan perkara yang telah berlalu. Yang sudah, biarkan ia pergi. Perbaiki hari mendatang dengan pengajaran hari semalam. Jika apa yang anda buat kelmarin hanya memberi buruk, tukar strategi baru, inisiatif baru. Orang kata dah cuba baru tahu. Jadi tolong diri anda dengan bangkit dari kesilapan lalu, dan hapuskan sesal dengan buat perkara baru yang lebih tepat dan betul. Jika anda terus-terusan menyalahkan diri atau sesiapa saja tentang apa yang berlaku, anda tak akan ke mana-mana sampai bila-bila.

  1. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Biarkan saja, kerana hanya jauhari yang mengenal manikam.

Usah kejar mereka yang tak mahu dan tak menghargai anda. Jaga saja mereka yang benar-benar tahu, faham, sayang dan hargai anda. Buat apa bersusah payah mengejar mereka yang tak sudi jika ramai lagi di sisi yang menyayangi? Mereka yang tinggal itulah yang tahu nilai anda. Hargai mereka sebagaimana mereka menghargai anda. Berjaya bersama-sama mereka yang mahu berjaya bersama anda. Mereka yang sanggup bersusah bersama anda, jadi dengan mereka juga anda layak kongsi rasa, jiwa dan kejayaan.

  1. Perkara yang belum terjadi usah disesakkan dalam fikiran. Berharap dan bermatlamat bukan bermaksud anda perlu memaksa atau terlalu menekan.

Risau dan resah tolak ke tepi. Anda memang perlu bermatlamat, berharap, berusaha dan bertawakal. Jika sudah semuanya, tenangkan diri anda. Tuhan tahu itu sudah tiba bahagianNya. Serahkan pada Dia. Yakin dengan janjiNya. Hasil yang anda harapkan sedang berlari mendapatkan anda. Mungkin jika terlewat kerana ada halangan atau kerana anda belum bersedia untuk menerimanya. Sabar, dan usaha terus. Rezeki anda tak akan lari ke pintu orang lain.

  1. Sebal, sesal, kesal dan amarah. Punca anda hilang nikmat hidup.

Usah dikesalkan perkara yang berlalu. Tak mungkin anda mampu ulang masa dan perbaiki. Anda hanya boleh elakkan diri dari membuat kesilapan sama sahaja. Jadi, yang lepas biarkan lepas. Ambil iktibar dan peringatan. Amarah juga satu punca yang menghalang anda untuk menikmati keindahan hidup. Pandangan yang dikaburi rasa marah, tak puas hati, sebal dan dendam mengganggu pertimbangan hidup. Jadi elakkan semua itu dengan sentiasa berlapang dada.

  1. Sahabat yang terbaik adalah mereka yang sentiasa menyokong susah dan senang anda. Pilih sahabat yang betul.

Kawan yang baik menyokong perkara baik, membangkang perkara buruk. Kawan yang jahat tak kisah apa pun yang anda buat sebab itu tak beri kesan pada mereka. ‘Lantaklah nak buat apa. Hidup kau bukan hidup aku.’ Jika anda jumpa yang seperti ini, tak perlu teragak-agak untuk tinggalkan mereka. Tak berkudis pun jika mereka tak ada. Pilih sahabat yang elok-elok. Mereka juga memainkan peranan untuk tentukan ‘nikmat hidup’ anda.

  1. Tiada dua manusia yang sama sekalipun mereka kembar dan dari rahim yang sama

Usah bandingkan diri anda dengan orang lain. Itu satu pantang besar jika anda nak berjaya dan bahagia. Jika anda robot, ya, silakan untuk bandingkan diri dengan robot yang lain dalam kilang dan production yang sama. Manusia itu unik. Setiap satunya ada time frame yang berbeza. Jangan semakkan minda dan emosi kerana anda lambat berjaya berbanding adik-beradik atau sahabat anda. Jadikan mereka inspirasi tak apa, tapi jika sudah tahap banding-membanding, itu sudah salah.

  1. Sifat ragu-ragu merugikan masa depan anda. Kebolehan anda tak akan capai tahap maksima jika anda tak mencuba.

Cuba sehabis daya! Kapasiti anda tiada had, sebetulnya. Minda anda yang letakkan limit. Alat teknikal, robot, peralatan buatan manusia, ya, itu ada hadnya. Tapi jika manusia, selagi boleh mencuba, selagi itulah mereka akan mampu. Manusia itu unik. Jadi jangan bataskan kemampuan diri anda. Yakin diri dan percaya anda boleh, mampu dan akan berjaya. Tuhan sentiasa memberi dan mengikut sangkaan hamba-hambanya. Jadi jika anda kata dan percaya anda boleh, maka anda boleh. Be positive!

  1. Masa dan dunia akan lari jika dikejar. Tapi akan mendekat jika anda berhenti mengejar mereka.

Hidup dengan cara dan gaya anda. Bukan tersekat atau terikat dengan deadlines dan trend. Jalan anda, anda yang pilih dan tentukan. Baik atau buruk, anda yang rasa. Betul pilihan, baiklah jadinya. Jangan terburu-buru dengan masa. Plan, dan bertindak ikut perancangan anda. Kalau semua perkara anda nak kejar, apa yang anda dapat? Kata orang anda nak ikut, pendapat orang semua nak dengar, pandangan orang terlalu diambil kira, timeline tipikal yang mereka set kan untuk anda pun anda nak ikut? Anda robot? Untuk capai tempoh matang dalam masa yang sama dengan orang lain? Atau nak ada spesifikasi yang sama dengan yang lain? Tak, bukan? Jadi relaks saja. You go with your own flow.

  1. Fikiran negatif itu bagaikan wabak. Kalau tak dibendung, anda yang rosak.

Orang berjaya dan bahagia, adalah orang yang positif. Yang tak hidup dipuji, tak mati dikeji. Yang tak kisahkan pandangan mata sinis orang keliling, dan tak pedulikan buruk kata masyarakat. Mereka hidup dalam positive circle mereka. Lingkungan yang membantu mereka naik, dan terus mendaki puncak kejayaan dan kebahagiaan hidup. Cari positive circle anda. Cari atau bina, terpulang. Asalkan anda tak membiak wabak negatif, itu sudah bagus. Wabak perlu dibendung, bukan dikandung!

Sudah jumpa bahagian mana dalam hidup anda yang terasa seperti ‘kureng’ di mana-mana? Perbaiki dan live your life to the fullest!

Lagi mengenai artikel: Uncategorized
 

Ruangan Komen

  • Percuma! Dapatkan 50 Idea Pemasaran Luarbiasa Disini

  • Maklumat Anda Selamat Bersama Kami.

  • Post Terkini
  • Sertai Alumni Dr. Azizan Osman (Facebook)
  • Kategori
Hak Cipta Terpelihara 2017 © Richworks International Sdn. Bhd.
Open Chat
1
Close chat
Hello! Thanks for visiting us. Please press Start button to chat with our support :)

Start