10 Tips Tan Sri Tony Fernandes Yang Membuatkan Bisnes Beliau Berjaya Hingga Kini

oleh Team Richworks pada 08 February 2018

Pada 27 November 2017, Tan Sri Tony Fernandes telah menerima anugerah “Asian House Business Leaders Award for 2017”. Anugerah berprestij ini dikeluarkan setiap tahun oleh ‘Asia House’ yang meraikan pemimpin perniagaan yang telah mendorong perubahan ekonomi dan sosial yang positif di rantau Asia. Ini satu pencapaian yang telah mengharumkan nama negara Malaysia.

Di bawah pimpinan Tan Sri Tony Fernandes, Air Asia telah berkembang menjadi syarikat penerbangan kos rendah terkemuka di rantau Asia, mengubah industri penerbangan Asia dan membolehkan berjuta-juta orang mengakses perjalanan udara.

Kejayaan beliau dalam bisnes penerbangan memang tidak dapat diragui. Sehingga kini ramai yang tertanya-tanya apakah tips kejayaan yang digunakan oleh beliau. Berikut adalah senarai 10 tips:

Tips #1: Just Do It!

“Jangan biarkan sesiapa beritahu anda bahawa anda tidak boleh melakukannya. Anda mempunyai satu kehidupan sahaja, jadi anda tidak boleh berfikir dan berkata, ‘Saya harap saya telah melakukannya.’ Bertindak! Hidup dengan sebaik-baiknya dan sentiasa bersikap positif.” – Tan Sri Tony Fernandes.

Tips #2: Jangan Takut Gagal

“Saya tidak peduli dengan kegagalan kerana saya tidak mahu di hari tua nanti saya akan berkata, ‘Kenapa saya tidak mencubanya?’ Jadi saya berani bertindak. Malaysia sebuah negara yang memberi peluang kepada rakyatnya untuk mengejar impian sehingga menjadi kenyataan,” – Tan Sri Tony Fernandes.

Tips #3: Menjaga Aset Utama Bisnes

Salah satu kekuatan bisnes Tan Sri Tony Fernandes adalah menjaga pekerja dengan baik. Beliau melihat pekerja syarikat sebagai “aset utama” di dalam mana-mana perniagaan beliau.

Beliau sangat prihatin dengan pekerja-pekerja dan berharap dapat membantu dalam mengembangkan potensi dan matlamat hidup mereka. Pejabat beliau tidak mempunyai dinding dan ini memudahkan beliau untuk berkomunikasi dan berkongsi idea secara terus dengan kakitangan pekerja.

Pada Disember 2015, beliau telah menghadiahkan 263 jam tangan berjenama Chopard yang berjumlah 5 juta ringgit kepada 263 kakitangan pekerja yang telah bersama dengan syarikat itu selama 10 tahun. Chopard merupakan jenama jam yang mewah dari negara Swiss yang berusia 153 tahun.

Tips #4: Jangan Pandang Rendah Terhadap Pekerja

“Saya seorang yang melanggar semua peraturan dari segi pengambilan pekerja. Bagi saya, selagi anda mempunyai impian, anda boleh buat apa-apa sahaja. Terdapat seorang bekas anak kapal kabin, dia datang kepada saya satu hari dan memberitahu bahawa impiannya adalah untuk menjadi seorang juruterbang. Dan saya terus menggalakkan dia untuk mengejar impiannya.

Kemudian dia menelefon saya suatu hari dan bertanya apakah dia boleh mengambil bahagian dalam pertandingan ratu Miss Thailand, dan saya memberitahu dia okay, selagi saya dapat menggunakan gambar-gambarnya dalam bahan pemasaran kami.

Dia memenangi pertandingan Miss Universe Thailand dan baru-baru ini berjaya menjadi seorang kapten. Jadi kami adalah satu-satunya syarikat penerbangan di dunia dengan seorang ratu cantik Miss Universe Thailand sebagai juruterbang kami. Moralnya ialah kami mempunyai struktur organisasi yang rata sehingga dia dapat berkongsi dengan saya secara peribadi apa impiannya. Hasilnya, kami berjaya mengembangkan potensinya dari batu biasa yang diasah menjadi berlian.

Seorang lagi pekerja saya, seorang pengendali bagasi di Kuching. Beliau memberitahu saya dia mahu menjadi juruterbang. Sekali lagi, saya menggalakkan dia untuk mengejar impiannya. Dia lulus semua peperiksaannya dan berjaya memiliki markah tertinggi di dalam Akademi Penerbangan.

Hari ini, dia adalah seorang Kapten. Kami mempunyai banyak cerita seperti ini di AirAsia. Aset terbesar selain idea anda, adalah pekerja anda.” – Tan Sri Tony Fernandes

Tips #5: Melabur Dalam Pemasaran

Sekiranya anda memiliki idea hebat, sediakan sedikit wang untuk tujuan pemasaran. Ini kerana jika anda tidak melaburkan wang untuk pemasaran, tiada siapa yang akan mendengar idea hebat anda ini.

“Pemasaran bukan mengenai wang ringgit sahaja. Ia juga tentang strategi perhubungan awam (Public Relations). Pada peringkat awal, di Air Asia kami tidak mempunyai wang. Jadi saya sentiasa berlari dengan topi merah saya dan mengeluarkan kata-kata kontroversi agar pihak akhbar sentiasa mengambil gambar saya. Itu pemasaran kami di peringkat awal Air Asia. Kami telah melalui banyak isu dan pemasaran memainkan peranan utama dalam mengatasi isu ini,” – Tan Sri Tony Fernandes.

Ingat lagi kejadian serangan bom di Bali? Ketika itu ramai pelanggan membatalkan penerbangan mereka. “Saya berkata kepada staf, kita tidak boleh biarkan laluan penerbangan Bali berhenti. Kita mesti teruskan penerbangan kita,” – Tan Sri Tony Fernandes.

Jadi beliau melancarkan kempen pemasaran “Love Bali”, di mana Air Asia memberikan 5,000 tempat duduk secara percuma. Pelaburan ini berkesan! Kesemua 5,000 tempat duduk telah penuh ditempah dalam masa satu minit. Dan semua pelanggan yang mendapat kerusi ini memberitahu rakan-rakan mereka di media sosial. Pemasaran iklan terbaik adalah melalui pelanggan anda sendiri.

Tips #6: Melabur Dalam Teknologi

Beliau sangat mementingkan teknologi digital dalam perniagaan. Bagi beliau teknologi digital perlu ada di dalam bisnes bagi memudahkan semua urusan untuk dilakukan. Hampir kesemua pendapatan bisnes penerbangan beliau adalah melalui laman web AirAsia.com.

Beliau yakin bahawa syarikat beliau dapat menaikkan tahap digitalisasi kepada sekitar 70% menjelang akhir tahun 2018. Proses digitalisasi syarikat akan tertumpu kepada 3 bidang utama iaitu komersil, pengalaman pelanggan dan operasi.

“Asas kami adalah digital. Kami bermula dengan internet dan kini kami menjadi syarikat penerbangan berasaskan media sosial,” – Tan Sri Tony Fernandes.

Tips #7: Kena Buat Research Branding

“Pada awal dulu, terdapat perkataan ‘Air Asia’ dan logo burung dalam penjenamaan kami. Jika anda melihat jenama terkenal di dunia, hanya satu imej sahaja yang masuk ke dalam fikiran anda. Ketika saya berkata “Shell,” anda memikirkan logo Shell. Apabila saya berkata “Coca-Cola,” anda memikirkan perkataan ‘Coke’ dalam huruf italic, dan apabila saya katakan “Nike,” anda memikirkan sebutannya.

Oleh itu, kembali kepada jenama Air Asia kami yang terdahulu, kami buangkan imej burung yang ada. Dan kami gunakan ‘Air Asia’ sebagai logo kami. Hanya satu imej. Mengapa perlu bazir wang untuk promosikan dua imej?

Kami juga buang semua warna biru dan hijau dalam jenama kita. Saya berusaha keras untuk tidak memilih warna merah, kerana semua orang berpendapat bahawa saya mahu menjadi seperti Richard Branson, Pengasas kepada Virgin Group,  tetapi ia adalah warna terbaik, jadi kami memilih merah. Jadi Ya, warna itu memberi perbezaan yang besar!” Tan Sri Tony Fernandes

Tips #8: Turun Padang – Rasai Pengalaman Pekerja

“Apa yang saya buat dari dulu lagi, sekali sebulan saya akan bekerja membawa beg, menjadi ahli krew kabin dan juga bekerja di kaunter daftar masuk. Saya melakukannya kerana dua sebab. Yang pertama, anda tidak boleh menjadi CEO yang berkesan melainkan anda sendiri pergi ke lapangan terbang dan rasai pengalaman sebenar. Ini kisah benar, pasukan pengendali bagasi memberitahu saya bahawa mereka memerlukan pengangkat tali pinggang untuk mengangkat bagasi-bagasi. Saya memberitahu mereka, ‘Tidak, kita tidak boleh membelinya kerana ia terlalu mahal.’

Jadi suatu hari ketika saya ditugaskan untuk membawa beg, mereka meletakkan saya di salah satu penerbangan Indonesia. Pelanggan yang terbang dengan kami biasanya seperti membawa rumah mereka bersama dalam penerbangan. Oleh itu terdapat banyak beg. Dalam proses itu, saya mengalami sakit belakang dan saya beritahu pasukan saya bahawa mereka betul dengan permintaan mereka dan saya salah, dan kami pun membeli alat pengangkat tali pinggang.

Sekiranya saya tidak melakukan perkara itu dan duduk dengan selesa di pejabat, saya akan membuat keputusan yang salah dan merosakkan banyak bagasi. Tujuan kedua ialah saya ingin mencari bakat. Saya tidak mencari bakat dari Oxford atau Cambridge, saya sedang mencari jenis pekerja Gred 3 SPM yang memerlukan peluang kedua.” – Tan Sri Tony Fernandes.

Tips #9: Jangan Takut Pada Aduan (Complaints)

“Complaints atau aduan sebenarnya satu penyelidikan pasaran percuma. Pelanggan berusaha untuk menulis aduan kepada anda untuk memberitahu bagaimana anda boleh memperbaiki perkhidmatan anda. Ini sama seperti anda membayar pakar perunding syarikat untuk beritahu anda perkara yang sama. Jadi kami melayan setiap emel yang diterima dengan berharga,” Tan Sri Tony Fernandes

Tips #10: Philanthropy (Dermawan)

Tan Sri Tony Fernandes boleh dikatakan sebagai tokoh dermawan yang murah hati. Beliau bukan sahaja murah hati dengan para pekerjanya malah beliau sangat prihatin dengan keadaan dunia luar.

Sebagai contoh, beliau telah menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa taufan Yolanda di Filipina. Selain itu Yayasan Air Asia juga memberi sokongan kepada Rag2Riches, perusahaan sosial yang diketuai oleh Reese Fernandez-Ruiz dari Filipina. Rag2Riches adalah sebuah NGO yang membantu pekerja-pekerja rakyat Filipina yang kurang bernasib baik.

Banyak lagi bantuan yang dihulurkan oleh beliau samada dalam mahupun luar negara. Bak kata pepatah, “Lagi banyak anda memberi, lagi banyak anda akan menerima.”

Lagi mengenai artikel: Blog, Tip Motivasi dan Inspirasi, Tip Perniagaan
 

Ruangan Komen

Hak Cipta Terpelihara 2017 © Richworks International Sdn. Bhd.
Open Chat
1
Close chat
Hello! Thanks for visiting us. Please press Start button to chat with our support :)

Start