Hero-Hero Di Hati Kami

oleh Azizan Osman pada 06 June 2017

Pagi Ahad, 9 Ramadhan ini berbeza dari pagi-pagi Ahad yang lain. Sepanjang lebih dari seminggu yang lalu, kami dah membuat persiapan untuk pagi ini. Pagi ini, kami akan bertemu dengan hero-hero di hati kami.

Tepat jam 9.30 pagi, 2 buah bas yang membawa hero-hero kami tiba di Aeon Mall Seksyen 13, Shah Alam. Hampir 80 orang hero-hero ini  bersama guru pengiring yang telah dibahagikan kepada 16 kumpulan turun dari perut bas lengkap dengan pakaian serba kuning dan hitam.

Kami terus memimpin tangan-tangan hero kecil kami ke tingkat 2 pasaraya Aeon. Sebaik sahaja melihat deretan baju melayu dan baju kurung beraneka warna, mata-mata bundar mereka semakin bercahaya. Ada yang terus memilih ikut warna-warna yang disukai, ada yang tercari-cari fesyen terkini. Satu demi satu pakaian yang mereka suka dicuba, kami biarkan sahaja mereka pilih sepuas hati mereka.

Anak-anak Rumah Saffiyah ini adalah hero di hati kami. Hero bertubuh kecil tapi semangatnya sangat besar. Walaupun masih kecil, namun mereka perlu hidup dengan sejarah-sejarah pilu silam yang sukar untuk dipadam. Kami kagum dengan ketabahan mereka, tabah mengharungi hidup pilu dengan bergulakan kemanisan apa yang ada. Sedangkan kami yang sudah dewasa ini banyak kali hampir putus asa dengan cabaran hidup yang mungkin tak sehebat mereka.

Program Shopping Raya Richwell bersama Rumah Safiyyah bukan sekadar program kebajikan biasa-biasa. Kami mahu berikan mereka pengalaman untuk bershopping raya seperti anak-anak lain yang sebaya mereka. Kami juga hanya orang tengah yang menguruskan sumbangan ikhlas dari insan-insan yang mahu berkongsi rezeki dengan hero-hero kecil di hati kami ini.

Hampir 4 jam kami bersama mereka, mungkin bagi mereka ada kenangan manis dan keseronokkan memiliki baju raya tapi bagi kami ianya lebih dari itu. Ia mengajar kami erti bersyukur dan erti untuk lebih memberi. Untuk lebih jujur tanpa sempadan, untuk ikhlas tanpa batasan.

Sebaik sahaja proses membeli-belah selesai dan mereka kembali ke dalam perut bas masing-masing, ada antara mereka yang seolah-olah tak puas membelek-belek baju raya baru mereka, ada yang melipatnya cantik-cantik, memeluknya bahkan mencium bau baju raya baru mereka. Tergambar kegembiraan di mata mereka dan inilah yang memberi kepuasan di hati kami.

Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada pihak Queen of Mutiara, yang sudi menjadi penyumbang utama untuk menceriakan hero-hero kecil ini. Juga kepada semua yang memberikan sokongan untuk menjayakan program ini. Juga untuk pihak Rumah Safiyyah dan hero-hero kecil bersemangat besar ini.

Semoga usaha kecil ini mendapat keredhaan besar dari Ilahi. Semoga hero-hero kami ini dapat yang terbaik di Aidilfitri.

 

#TeamRichworks

#Richwell

Jujur Tanpa Sempadan, Ikhlas Tanpa Batasan

 

Semua Salah, Anda Saja Yang Betul. Adakah Anda Seorang Diktator?

oleh Azizan Osman pada 06 June 2017

Hormat. Senang ditulis mahupun disebut. Tapi sukar untuk dilakukan. Hormati ibu bapa, orang tua, sesiapa sahaja. Hormat harus diberi untuk didapatkan. Jika mahu dihormati, anda perlu menghormati.

Tapi apa yang perlu anda hormatkan?

Setiap orang memiliki dunia pemikiran yang berbeza. Bergantung kepada pembawakan dan keadaan persekitaran sejak kecil hingga dewasa. Pemikiran terbentuk berdasarkan apa yang dilihat, didengar, dialami, dan reaksi terhadap sesuatu perkara. Pemikiran juga boleh terkait rapat dengan kemahuan dan matlamat diri yang ingin dicapai.

Ada yang mahu cantik kerana hidup dikelilingi orang orang cantik. Ada juga kerana melihat hanya orang cantik diberi perhatian, kasih sayang dan diterima masyarakat. Ada yang fikir, tak perlu cantik rupa tapi cukup sekadar elok dipandang mata akhlak dan budinya.

Pendapat manusia tentang kehidupan berbeza. Setiap pemikiran dan tindakan yang terhasil itu ada sebab sebab di sebaliknya. Ada orang suka berniaga kerana tak mahu terikat dengan tuntutan masa dan kerja. Ada pula suka bekerja di pejabat kerana baginya dia mahukan kestabilan dan ada luangan waktu yang tetap. Itu pilihan masing masing. Pilihan tak boleh dipaksa tapi pilihan boleh diubah jika kena caranya.

Pelik kadang kala kerana manusia sering bergaduh atas perbezaan pendapat. Kenapa tak diraikan yang beza itu? Bukankah lebih banyak idea lebih bagus? Ambillah semua, dikumpul dan diolah menjadi satu yang paling bagus. Bukan selfish dengan pendapat sendiri dan mahu yang lain mengikuti.

Kita bukan diktator minda. Dan jangan jadi sebegitu. Buka ruang untuk jadi berbeza. Lihat perbezaan dari sudut pandang positif. Tak sama tak bermakna tidak bagus. Anggap saja ia sebagai teguran pendapat untuk berubah dan upgrade pada sesuatu hasil yang lebih memberangsangkan.

Tak kisah bezanya dari segi apa, dari segi pemikiran perniagaan, pemikiran kehidupan, pemikiran keagamaan sekalipun. Hormat paling perlu. Manusia bukan robot yang boleh disistemkan dengan satu butang. Selaras. Tidak. Tapi pemikiran manusia boleh dilorongkan atas dasar satu matlamat yang ingin dicapai. Give and take untuk kebaikan. Ubahsuai mana yang kurang.

Harmoni juga tak terikat pada kesamaan. Sebaliknya harmoni terbentuk melalui penerimaan setiap perbezaan. Yang perlu dipupuk sejak kecil, di rumah. Persekitaran amat memainkan peranan penting, bukan?

Yang pentingnya takkira pendapat apa pun yang dikeluarkan, setiap orang ada alasan mereka. Tak perlu bergaduh menegakkan pendapat sendiri sebaliknya bersatu dan ambil mana yang terbaik. Baiki lagi hingga murni dan gunakan sama sama. Baru hidup akan sejahtera.

 

Hebatkah Anda Jika Anda Kaya? Kaya Apa? Dunia?

oleh Azizan Osman pada 06 June 2017

Anda kaya? Anda bangga anda kaya? Apa manfaat kekayaan anda? Anda bantu orang lain? Anda kaya apa? Kaya material atau kaya jiwa?

Banyak makna kaya. Kaya dunia. Kaya akhirat. Kaya masa, wang, kesihatan, anak-anak. Macam-macam jenis kaya. Mungkin ada yang suka dirinya hanya kaya harta. Wang bertimbun merata-rata. Nak beli apa cakap saja. Nak bantu siapa ambil saja. Tidak pernah berkira.

Ada pula hanya suka kaya sendiri sendiri. Tak mahu berkongsi memberi. Ini harta ana yang punya. Bila didekati individu yang meminta sedikit rezeki, ditolak ke tepi. Anda kaya jenis yang inikah?

Di sudut lain ada pula yang kaya jiwa. Harta hanya sekadarnya tapi tak pernah putus kerana jiwanya sangat mulia. Apa yang ada sering saja dikongsi. Katanya, harta pinjaman dan ujian dunia. Allah mahu kita uruskan sebaiknya. Berharta atau tidak kita mesti berbalik pada Dia.

Ada yang lain dikurnia zuriat yang ramai. Berderet-deret. Kadangkala terkeluh duit tak cukup. Cepat-cepat istighfar. Anak-anak itukan harta paling bernilai? Anak anak tabung amalan dan pahala akhirat. Doa anak-anak yang soleh itulah peninggalan setelah kita tiada. Kenapa perlu rungutkan? Allah sudah sediakan rezeki bagi setiap insan. Cuma lagi harus usaha mendapatkan.

Individu ni pula kaya kesihatan. Tak pernah sakit sepanjang hayatnya hidupnya sering saja dimanfaat membantu ahli keluarga dan masyarakat. Dia senang begitu. Meskipun dia kurang berharta, baginya kesihatan yang tak bertepi itu paling berharga.

Anda tergolong dalam yang mana?

Di mana pun anda, tetapkan kembali hati dan jiwa pada Dia. Dia berikan anda segala galanya. Apa jua yang anda minta. BERSYUKUR pada Allah. Jangan bongkak kerana rasa anda hebat. Orang lain tidak sekaya anda, jadi anda rasa bangga. Orang lain miskin dan tak ada daya, anda rasa bangga.

Kenapa rasa diri anda hebat sedangkan anda bukan siapa-siapa. Jika anda berpangkat tinggi sekalipun, berkuasa di dunia sekalipun, jika anda cuma kaya harta dan kuasa tapi lupa pada Dia, kelak di akhirat anda tak ada beza dengan manusia lain.

Asal manusia itu sama. Apa yang membezakan kita cumalah amal. Hidup di dunia hanya pinjaman. Sebagai platform untuk mengumpul pahala, membuat kebajikan, sebagai bekalan di alam sana.

Hebatkah anda jika anda kaya? Anda biasa-biasa saja jika anda cuma kaya harta miskin jiwa. Anda biasa biasa sahaja jika anda kaya harta tapi tidak beramal dengannya. Anda cuma biasa-biasa jika anda kaya harta tapi bongkak takbur satu dunia. Anda cuma biasa-biasa jika anda kaya harta tapi tidak bersyukur kepadanya.

Hati yang bersih jangan dihitamkan dengan rasa bongkak, riak dan takbur. Jangan jadikan alasan kerana anda kaya, anda boleh lupa padaNya. Semakin kaya manusia, semakin bersyukur pada Dia sepatutnya. Apa tujuan anda jadi kaya? Hanya untuk senangkan tekak sendiri? Rugi rugi. Sebaik baik manusia adalah yang memberi kebaikan pada manusia lain, bukan?

 

Kenapa Perlu Jadi Kucing Tiruan Jika Anda Boleh Jadi Kucing Asli Dan Disukai?

oleh Azizan Osman pada 06 June 2017

Anda suka atau tidak jika idea, usaha dan waktu anda dicuri seseorang tanpa sebarang tinggal pesan ataupun kredit atas salinan?

Anda bertungkus lumus berpenat lelah meminta minda anda untuk bekerja dan hadirkan sebuah idea yang indah, rare dan unik tapi tidak sampai satu saat setelah ia dilancarkan, sesudah ia membina engagement dan populariti sendiri, orang lain sesuka hati mengatakan “ini aku yang punya.”

Dan bila anda dengan sabar dan hemahnya menegur, “Itu bukan idea anda, tolong hormati dan berikan kredit pada pencipta asalnya.”, anda dipandang hanya dengan ekor mata.

Sebaliknya mereka terus terusan mengaut keuntungan, membina glamour dalam kalangan kelompok mereka, dan bangga bila mereka dikata “Bagusnya kamu. Bijaknya. Hebatnya. Aku ingin jadi seperti kamu.”

Pasti mahu saja kan anda hamburkan kata kata seperti, “Tunggu bila kamu lalui apa yang aku rasa. Pada saat itu kamu akan menangis tiada lagu.” Namun anda masih sabar. Sebaliknya anda masih cuba positif. Biarlah berkongsi. Anda pasti boleh buat lagi yang lebih hebat kemudian hari.

Tapi ini sudah masuk pada etika. Etika sesama manusia, etika bekerja, etika berniaga dan macam macam lagi etika yang boleh dikaitkan. Anda mula tertanya tanya apa mereka tidak punya harga diri, bergembira atas hasil curian? Bukan mencuri itu salah? Kenapa mereka tergamak mencuri? Kelihatannya mereka baik baik sebelum ini? Macam macam soalan tertuju di minda.

Sudahnya, anda rela. Kerana salahnya pada anda juga. Anda tidak mewartakan idea itu hak milik anda. Ada jalannya untuk anda ambil tindakan tapi bersyarat anda telahpun bertindak dahulu. Dengan mewartakan idea anda tadi. Cuma bila nasi sudah terlebih air, apa nak buat? Makanlah saja apa yang ada.

Tapi, bergembiralah. Kerana ternyata anda sejuta tingkat lebih tinggi berbanding mereka. Mereka tak punya kekuatan seperti anda. Tak punya keunikan sdan keaslian seperti anda. Dan tak punya kesabaran seperti anda. Asbab itu mereka lebih rela menjadi kucing tiruan, berbanding yang asli.

Semoga ia jadi pengajaran buat anda. Dan juga mereka. Roda itu tak mestinya berputar pada satu tempat. Ia berputar dan berpusing. Mereka pasti akan alami juga kemudian hari. Yang baik akan terbalas baik, bukan? Dan anda, si kucing asli, sekali terkena, takkan biar disengat lagi? Ambillah tindakan dengan wartakan hak anda. Itu anda yang punya. Atau jika suka, boleh saja berkongsi. Dan pada mereka, variasikan diri sendiri. Bina dan cipta identiti. Nak mengambil milik orang perlu kena pada cara. Perlu meminta dengan baik. Perlu dibenar oleh pemilik.

 

Membazir – Apa Definisinya Bagi Anda?

oleh Azizan Osman pada 06 June 2017

Indoor food recycling caddy full of kitchen waste including meat and bread (which can’t be composted at home) to be collected as part of a local food waste recycling service

Ada yang kata membazir bila beli barang mahal-mahal sedangkan banyak lagi barang yang seumpama itu boleh didapati pada harga yang 10 kali lebih rendah. Dikatanya membazir kerana banyak lagi benda berfaedah boleh dibuat dengan duit lebihan tadi seperti beli barang dapur atau bersedekah.

Ada pula yang kata membazir itu bila makan tapi tak habis. Beli makanan yang sedap-sedap, tapi makannya separuh. Separuh lagi dibuang. Atau beli makanan sampai 2-3 bungkus lain jenis, cuma dikuis sikit-sikit. Yang melihat hanya geleng kepala. Nak menegur tak tahu apa.

Yang lain berkata membazir itu bila punya banyak masa tapi tak diisi dengan perkara yang sepatutnya bagi pandangan si pemerhati. Patutnya diisi dengan menelaah buku pengajian. Atau diisi dengan rekreasi dan senaman.

Itu pandangan si pemerhati. Apa pula pandangan yang diperhati?

Katanya dia tak membazir beli barang yang mahal harganya. Katanya dia mampu. Lagi katanya dia suka dan itu adalah ganjaran pada dirinya. Dia membeli bukan untuk disimpan. Dia beli untuk dipakai dan sesuai dengan keadaan kewangannya. Dia beli setelah menunggu masa dan wang yang cukup tanpa hutang siapa-siapa. Kenapa nak dikata tindakannya?

Berkata lagi, makanan yang dibeli bukan sengaja tak dihabiskan. Tapi perutnya meloya tanpa disangka. Alahnya datang tiba tiba. Jika dibawa pulang juga ke tong sampah perginya. Hanya dia seorang yang ada. Jika ditapau tidak akan dimakan juga. Berat hati dia biar saja. Kenapa nak dikata tindakannya?

Kata yang lain, waktunya dia isi dengan tidur satu hari kerana sakitnya menyerang lagi. Kepalanya pusing, badannya gigil. Selalu dia tidak begitu. Dia menelaah bukunya. Dia mengemas rumahnya. Dia ambil angin di taman. Dia sapa jiran jiran. Tapi tidak minggu itu. Dia terpaksa berbaring. Kenapa juga dikata tindakannya?

Manusia memang penuh dengan prasangka. Fikiran manusia tak pernah berhenti fikir apa sebab musabab di balik tindakan orang lain. Manusia sentiasa menjadi pemerhati manusia lain. Manusia puas jika dapat memberi simpulan sesuatu kejadian. Manusia puas bila analisisnya diterima masyarakat.

Hati hati memberi andaian. Apakah kita tidak pernah melakukan apa yang kita andaikan pada orang lain?

Definisi membazir jatuh berbeza pada setiap situasi manusia. Namun bukankah Islam itu sudah berpesan supaya bersederhanalah. Dalam apa jua tindakan, kata kata dan keputusan, bersederhanalah. Mungkin kita mampu, tapi jika mengundang fitnah dan prasangka manusia lain, cuba cub akita elak. Mungkin kita sakit. Akurlah pada nasihat. Kita tahu kita tak sihat, mengapa perlu kita ‘cuba-cuba’ perkara yang boleh bangkitkan sakit kita?

Manusia takkan pernah juga lari dari membuat pembaziran. Air semasa berwuduk, jika berlebih juga dikira membazir. Ambil tisu lebih di kedai makan, sudahnya tak dipakai tapi dibuang pun membazir. Banyak saja cara untuk kita ‘tak sengaja’ membazir.

Tapi cuba cuba untuk didik diri agar sentiasa bersederhana. Sentiasa fikir sebelum bertindak. Juga fikir sebelum berkata. Ini definisi membazir bagi mereka. Apa pula definisinya bagi anda?

 

Tiada Pemasaran, Perniagaan Gerenti Lingkup

oleh Azizan Osman pada 30 May 2017

Mempunyai niat untuk berniaga adalah satu nawaitu yang bagus.  Namun berniaga tanpa ilmu pemasaran adalah satu tindakan yang tidak bijak. Tindakan ini yang menyebabkan ramai usahawan terjerumus ke dalam kancah perniagaan lingkup.

Manakala perniagaan yang berjaya bertahan selama beberapa tahun, biasanya akan mengalami situasi seperti perniagaan yang sesak nafas kesan daripada tidak menguasai ilmu strategi pemasaran yang tepat dan terbaru.

Ramai yang menganggap pemasaran hanya untuk promosi dan menjual produk sahaja. Pemikiran ini salah! Pemasaran adalah aktiviti yang menjurus kepada:

  1. Penyebaran mesej yang dapat menyelesaikan masalah pelanggan
  2. Berkongsi maklumat perniagaan yang dapat menambah nilai (add value) pada orang ramai
  3. Memberikan solusi kepada pertelagahan emosi yang berlaku dalam diri pelanggan yang mempunyai masalah
  4. Aktiviti berdakwah – Semakin hebat strategi pemasaran, semakin hebat skil dakwah kita

Pemasaran juga mengajar usahawan untuk memahami psikologi pelanggan dan pasaran mereka. Sebelum memulakan sebarang kempen pemasaran, pentingnya untuk kita melakukan kajian terhadap keperluan pelanggan terlebih dahulu.

Semakin kita faham keperluan ini, semakin mudah untuk kita mewujudkan magnet tarikan pelanggan. Contoh terbaik yang dapat kita lihat dengan jelas adalah program Klinik Usahawan yang pernah dianjurkan oleh syarikat Richworks. Sebelum menjalankan program ini, pihak Richworks telah menjalankan kajian yang khusus tetang keperluan pelanggan.

Selepas kajian dilakukan kita dapati bahawa majoriti besar perniagaan di Malaysia cepat lingkup kerana mereka gagal untuk memahami ilmu strategi pemasaran. Justeru itu syarikat Richworks menggunakan peluang ini untuk membantu orang ramai dengan menganjurkan program Klinik Usahawan.

Impaknya? Hari ini ribuan usahawan di Malaysia dapat kembali ke jalan perniagaan yang benar, ke jalan perniagaan yang menguntungkan.

Jadi ingat, pemasaran bukan semata-mata untuk promosi dan jual produk, ianya lebih dari itu. Tanpa ilmu pemasaran yang tepat dan terbaru, perniagaan gerenti akan lingkup.

“Jangan berhenti belajar tentang pemasaran. Ia sentiasa berkembang setiap saat.” – Dr Azizan Osman

Bagi anda yang ingin pelajari lebih lanjut tentang teknik-teknik dan strategi pemasaran untuk perniagaan anda, sila layari www.azizanosman.com/onlineshop untuk dapatkan buku “Kuasai Pemasaran Rahsia Menarik Pelanggan – Edisi Terkini.”

 

MMM Forum April 2017 – King Char Kuey Teow

oleh Azizan Osman pada 30 May 2017

Anda tonton perbualan Dr Azizan Osman bersama Tuan Aizat Zulhailie bin Abu Bakar, Pengasas King Char Kuey Teow ini. Jika anda rasa anda nak mulakan langkah dan jadi seperti Tuan Aizat Zulhailie ini, anda boleh PM Tepi kami sekarang. Kami akan share apa langkah awal yang patut anda ambil. Semoga bermanfaat!

 

Jujur Tanpa Sempadan, Ikhlas Tanpa Batasan

oleh Azizan Osman pada 30 May 2017

Richwell Mengejar Rahmat Ramadhan Bersama Harian Metro

Ramadhan, bulan yang penuh kemuliaan.

Bulan di mana rahmat berganda hadiah dari Ilahi untuk hambaNya yang bersungguh mengejar keberkatanNya. Bulan yang memberi peluang untuk hamba-hamba Allah membersihkan hati dan diri.

Setiap kali Ramadhan, ramai masyarakat, samada individu atau secara berkumpulan terpanggil untuk sama-sama menghulurkan bantuan dan meringankan beban orang lain yang mungkin hidup berhadapan dengan ujian dan cabaran. Bukan setakat untuk merebut nikmat pahala berganda, kemurnian Ramadhan selalunya dijadikan sebagai satu batu loncatan untuk mendidik hati menjadi insan yang lebih mudah berkongsi rezeki dan manfaat dengan orang lain. Dengan harapan ianya dapat menjadi rutin harian yang berpanjangan, walaupun selepas tamatnya Ramadhan.

Sepanjang bulan Ramadhan tahun 1438 Hijrah ini, Richwell (Pertubuhan Kebajikan Richworks) telah menyediakan beberapa program khas untuk mengimarahkan Ramadhan. Untuk memulakan aktiviti Ramadhan tahun ini, Richwell telah dijemput untuk menghadiri sesi Sidang Akhbar dan Pelancaran Program Kotak Rezeki 2017 anjuran akhbar terkenal Harian Metro. Majlis yang dilancarkan oleh Datuk Mustapa Omar, Pengarang Kumpulan Harian Metro ini berlangsung di Theatrette, The New Straits Times Press, (M) Berhad, Jalan Riong, Bangsar pada tengahari 24 Mei 2017.

Untuk Program Kotak Rezeki 2017, yang telah diadakan untuk kali kedua berturut-turut oleh Harian Metro, Richwell telah memberi sumbangan sebanyak 1000 kampit beras yang akan diedarkan oleh pihak Harian Metro ke rumah-rumah kebajikan, rumah-rumah tahfiz, asnaf dan berbagai pihak lagi yang telah mereka kenal pasti.  Selain dari itu, sebanyak 10,000 unit Kotak Rezeki yang bersaiz kecil yang mengandungi juadah untuk berbuka juga diedarkan oleh Harian Metro kepada orang ramai yang tidak dapat berbuka di rumah termasuk anggota keselamatan yang sedang bertugas.

Selain dari Richwell, turut menyumbang untuk program ini ialah syarikat ternama seperti Affin Islamic Banking, Lifebuoy, Hypermarket Giant, Massimo, Watson, Julie’s dan PosLaju .

Kami di Richwell sangat bersyukur kerana diberi kekuatan dan peluang untuk terlibat dalam program ini.  Selari dengan visi dan misi kami “Untuk Menambah Nilai” kepada lebih ramai orang, kami akan terus komited untuk membantu memberi manfaat kepada seramai insan.

Terima kasih juga untuk sumbangan yang anda berikan.  Semoga usaha ini menjadi bekal terbaik untuk kita di akhirat nanti.

“Kita tidak tahu, hati yang mana yang dapat kita sentuh dengan sumbangan kecil ini.”

 

#TeamRichworks

#Richwell

#HMKotakKasih2017

 

Jika Hidup Ini Semudah Makan Kacang Goreng

oleh Azizan Osman pada 30 May 2017

Buka plastik, ambil kacang, kopek kacang, suap ke mulut, gigit, kunyah, telan. Ulang. Mudahkah proses makan kacang goreng? Tidak juga sebenarnya. Nak makan perlu dibuka kacangnya, dan disuap terlebih dahulu barulah boleh dirasai nikmatnya. Cuma analoginya digunakan kerana ia dirasakan sebagai yang paling mudah dilakukan berbanding pekerjaan lain. Tapi masih perlu melalui sebuah proses.

Kita kaitkan pula dengan kehidupan. Setiap perkara yang kita mahukan, idamkan, perlu melalui sebuah proses. Ada yang senang ada yang sukar. Tiada apa yang boleh hadir secara magis atau tiba-tiba tanpa sebarang proses.

Secara teorinya, proses yang perlu semua orang lalui untuk menyempurnakan sesebuah misi atau impian dimulai dengan angan-angan, pelan tindakan, usaha, doa, tawakal, yakin dan istiqamah. Dan semua ini perlu ditukar dari teori menjadi praktikal agar ia dapat dilaksanakan, bukan dibiar sepi atas kertas kosong.

Semua orang tahu, tapi tidak ramai yang mahu. Ada yang buat sekerat. Ada yang tak buat langsung. Yang buat penuh pula tak seberapa.

Setiap misi perlukan pelan tindakan yang boleh menjadi pandu arah perjalanan. Sudah sampaikah atau masih jauh lagi. Teringat kata-kata pujangga, kita tidak merancang untuk gagal sebaliknya kita gagal merancang. Rancangan pula bukan harus cuma satu. Tapi perlu sentiasa ada back-up plan. Mudah untuk dilencongkan arah tatkala berlakunya halangan. Bukan bertukar haluan, cuma melencong mengelakkan perlanggaran.

Apa pula cerita dengan usaha? Usaha itulah yang dibuahkan hasil perancangan-perancangan tadi. Usaha sehabis baik. Jika ibaratkan tak boleh usaha dengan tangan, usahakan dengan kaki. Yang penting pelan rancangan perlu dilaksanakan.

Usaha sudah. Doa? Semua perkara yang berlaku dalam dunia, hatta luruhan daun pokok pun adalah atas izin Yang Maha Pencipta. Maka berdoalah. Minta supaya dipermudahkan dan diperkenankan segala tindakan dan usaha. Dia serba tahu. Bagi setiap yang ada dilapis langit dan bumi, Dia Maha Tahu. Ini kadang kala ramai terlupa. Jangan tunjuk bongkak pada Dia. Sekalipun berjuta usaha jika Dia murka, tetap tidak tercapai.

Bertawakallah kepadaNya. Tawakal itu berserah sepenuhnya pada Dia. Serahkan segala rasa dan impian kita pada Dia. Biar Dia uruskan dan luruskan semua jalan kita. Bukankah dia yang menguasai setiap sesuatu? Yang memegang hati setiap hamba-hambanya? Bertawakallah supaya dilapangkan lorong untuk kita mudah mencapai apa yang kita impikan. Tidak sukar untuk bertawakal. Buang ego dan rendahkan hati, insyaAllah mudah.

Allah sentiasa mengikut sangkaan hamba-hambanya. Jadi, yakinlah. Yakinlah Allah itu ada, yakinlah Dia pemilik segalanya dan yakinlah Dia mampu memberi segala-galanya yang kita pinta. Yakin dengan sepenuh hati, jiwa dan raga bahawa setiap apa yang berlaku adalah ketentuannya. Ada yang tersirat di sebalik yang tersurat. Yakinlah bahawa setiap suratan itu bukan kebetulan. Sebaliknya ia memang sudah ditetapkan.

Ramai yang lupa. Kunci kejayaan sesuatu bukan pada hebatnya usaha. Tetapi pada istiqamah yang dilakukan dalam berusaha. Setitis air mampu memecahkan batu keras jika ia tetap turun beribu-ribu kali pada tempat yang sama. Begitu juga usaha jika dilakukan berkali-kali pada tempat, masa dan cara yang tepat, ia mampu membuahkan hasil yang sangat bermanfaat.

Adakah mudah hidup ini seumpama makan kacang goreng? Ia mudah jika kita percaya ia mudah. Hidup ini mudah jika kita berada pada landasan yang betul. Kejayaan itu mudah jika kita lakukan proses yang tepat. Cuma persoalan sebenarnya, adakah kita benar mengikuti proses itu tadi sehinggakan kita sering beranggapan hidup ini sentiasa susah?

 

Semakin Memberi Semakin Kaya? Adakah Anda Tergolong Dalam Mereka Yang Percaya?

oleh Azizan Osman pada 30 May 2017

Sedekah atau pemberian. Ada yang kata ia membuat kita semakin papa. Iyalah, milik kita diberikan pada orang. Jika diberikan semua, apa saja yang tinggal? Ini pemikiran orang yang hanya berteraskan logik semata mata.

Jika mereka berpegang dan percaya pada Allah, pemilik rezeki Maha Luas, pasti pemikiran mereka tidak sesempit itu. Pasti mereka tahu bahawa jika seringgit dikeluarkan, sepuluh ringgit dibalaskan. Andai bukan dalam bentuk yang sama, ia pasti setaraf. Malah lebih lagi.

Bakhil dan kedekut itu buruk. Memburukkan hati, menghitamkan jiwa. Malah mungkin menyempitkan rezeki.

Sedekah lah pada apa yang mampu. Senyum itu sedekah, seringgit itu juga sedekah. Sedekah biar ikhlas. Sedekah biar sembunyi. Sedekah juga jangan terdetik kesal. Simpan pahala sedekah untuk diri yang entah berapa timbangan amal baiknya di dunia. Siapa tahu dengan bersedekah barang sepuluh sen, mahupun sekadar memberi makan haiwan di jalanan mampu menaikkan neraca timbangan?

Sedekah pada waktu susah, apalagi waktu senang. Teringat kisah seorang sahabat, tatkala dirinya terlalu gelisah, resah dan susah, setelah pelbagai usahanya yang lain buntu, dia bersedekah. Hasil sedekahnya, dia didoakan oleh penerima tersebut agar dilapangkan rezeki dan dipermudahkan urusan. Alhamdulillah. Jalannya terang selepas itu.

Kadangkala, kejayaan atau kebahagiaan kita bukan hadir dari doa kita sendiri. Barangkali ibu ayah mendoakan. Mungkin sahabat baik mendoakan. Atau seperti kisah ini, penerima sedekah mendoakan. A stranger. Orang asing mendoakan.

Kejayaan kita asbabnya kadangkala dari orang sekeliling. Cuba cubakan bersedekah. Rugi? Tidak bersedekah lagi rugi. Sudahlah tidak dapat membantu orang lain bahkan diri sendiri mungkin juga terlepas dari rezeki baru, yang mana tahu adalah lebih baik dan bermanfaat.

The Power of Sedekah itu bukan ini satu. Banyak lagi manfaat, fadhilat dan kaifiatnya. Tertulis dalam bab  pertama Buku 25 Formula Hidup Luar Biasa.

Bersedekahlah. Ianya selain menyebarkan manfaat, ia juga menyucikan hati. Dengan bersedekah tak akan rugi, sebaliknya akan dimurahkan dengan limpahan rezeki. InsyaAllah.

 
Hak Cipta Terpelihara 2016 © Richworks International Sdn. Bhd.
Open Chat
1
Close chat
Hello! Thanks for visiting us. Please press Start button to chat with our support :)

Start