7 Soalan Utama Usahawan Perlu Tanya Bila Bisnes Dah Mencapai Usia 5 Tahun.

oleh Team Richworks pada 27 June 2018

Bisnes anda dah capai usia 5 tahun? Tahniah..!

Bukan senang untuk sesebuah bisnes mencecah usia 5 tahun. Di Amerika Syarikat, sebuah negara yang ramai penduduk, dengan ekonomi yang bergerak maju, persaingan yang banyak dan permintaan yang tinggi, setiap 1 dari 12 bisnes yang dibuka tak kan mampu untuk bertahan pada tahun pertama.  Dan kalau bertahan pun, hanya 80% sahaja yang mampu bertahan lebih dari 3 tahun.

Tapi walaupun bisnes dah lama jangan mudah selesa dengan keadaan anda dan mudah nak lepas tangan dari menguruskan bisnes.  Kami sekadar nak pesan, ramai usahawan yang sudah bina bisnes lebih dari 5 tahun akan mula mahu kurangkan pembabitan dalam bisnes, sehingga terlepas pandang beberapa perkara. Antara yang utama anda kena tanya diri anda ialah adakah anda yakin struktur dan sistem bisnes anda dah sangat kuat, sehingga anda dah tak perlu berada langsung di dalam bisnes dan boleh lepaskannya untuk diuruskan oleh orang lain.

Sempena pencapaian anda berniaga selama 5 tahun atau lebih, apa kata anda duduk sekejap dan fikirkan tentang 7 soalan penting yang anda perlu tanyakan kepada diri sendiri dan team anda.

1) Adakah ‘Business Model’ anda masih relevant?

Setelah anda berjaya membina bisnes selama 5 tahun, adakah anda masih nak gunakan ‘business model’ yang sama?  Adakah anda rasa ianya masih relevan atau perlu dilihat semula.  Jika anda mengambil bisnes lain atau dari luar negara untuk anda jadikan ‘business model’ dan contoh, anda juga mesti nak cek perkembangan bisnes mereka. Adakah keadaan mereka sekarang adalah seperti yang anda mahu terjadi kepada bisnes anda 5 tahun akan datang.

Bagaimana sistem dan struktur bisnes anda? Adakah semakin tersusun, dah ada Standard Operating Procedure atau masih lagi kelam kabut?

2) Adakah team anda cukup kuat?

Jangan mudah lepas tangan.  Kesilapan ramai orang dalam bisnes ialah, bila bisnes dah boleh buat duit, anda cepat nak rehat dan biarkan team yang uruskan bisnes.  Bagus jika anda dapat latih dan bina team yang mampu kendalikan bisnes tanpa anda perlu ada dalam bisnes.  Tapi berapa yakinkah anda, team anda mampu melakukannya.?

Sudahkah anda namakan, atau nampak barisan ‘key leaders’ dalam organisasi perniagaan anda yang mampu membantu membawa perniagaan anda ke arah yang anda impikan dan seterusnya capai matlamat yang anda mahu? Kalau anda pun tak jelas dengan apa yang anda mahu, mereka pun pasti tak jelas juga..

3) Adakah ‘distribution channel’ anda kukuh?

Bila bisnes dah mencapai usia 5 tahun, anda perlu fikir tentang ‘distribution channel’ yang anda ada.  Adakah ianya mencukupi? Adakah ianya perlu dikembangkan? Apa cara yang lebih baik untuk memaksimakannya?

Ramai usahawan yang menggunakan sistem stokis dan agen atau sistem francais, atau sistem pengedaran melalui kiosk-kiosk, akan menghadapi cabaran di mana, pada satu tahap akan ada terlampau banyak persaingan sehinggakan stokis, agen dan ‘distribution channel’ anda yang lain terpaksa membuat pilihan samada nak mengedarkan produk anda atau tidak.

Anda perlu bijak untuk perhatikan situasi ini, dan rancang tindakan seterusnya. Mungkin anda perlu perhatikan tentang jenama anda, adakah ianya cukup kuat untuk menarik perhatian para pengedar.

4) Adakah profil pelanggan anda masih sama?

Jangan lupa untuk melihat corak pembelian dari pelanggan anda dan juga profil pelanggan.  Adakah ianya sudah berubah, masih sama atau bertambah baik?  Apakah perubahan yang anda telah buat yang menyebabkan perubahan positif profil pelanggan anda, jika ada. Dan apakah yang ada perlu buat untuk tarik profil pelanggan yang baru, yang mungkin mempunyai kuasa beli yang lebih besar.

Masalah akan berlaku bila anda tak cuba untuk tambah pelanggan anda dan tarik pelanggan dengan profil baru. Anda mungkin perlu lihat kembali produk anda, cara pembungkusan, pengiklanan, dan ‘market positioning’ untuk pastikan anda dapat tarik profil pelanggan yang baru.

5) Siapakah pesaing dan ‘industry leader’ sekarang?

Bila anda semakin berkembang, pesaing anda juga akan berkembang jika mereka masih mampu bertahan sama dengan usia perniagaan anda.

Cuba kaji, antara anda dan pesaing, siapakah yang mampu menawan industri dengan lebih baik?  Siapa yang menawan pasaran dengan lebih luas? Anda perlu tanya diri anda 3 soalan ini:

  1. Jika anda seorang pesaing, apakah yang anda akan buat lebih baik dari apa yang anda ada sekarang dalam bisnes supaya anda boleh bunuh bisnes anda sekarang?
  2. Jika anda seorang pesaing, apakah perkara yang anda lakukan sekarang, yang anda akan berhenti melakukannya?
  3. Jika anda seorang pesaing, apakah perkara yang anda tak buat dan akan mula buat dengan lebih baik.

Luangkan masa bersama team anda untuk jawab soalan ini.

6) Apa teknologi terkini yang ada?

Kegagalan bisnes besar seperti KODAK dan NOKIA ialah kerana mereka memandang remeh kepada teknologi.  Mereka rasakan, mereka dah cukup terkenal, ada pengikut tegar dan telah mantap dalam pasaran sehingga mereka tidak mahu ambil kira faktor teknologi dan perubahan pasaran. Akibatnya, walaupun dah lama wujud, akhirnya KODAK terpaksa mengalami kejatuhan kerana tidak mahu mendengar dan ambil kira tentang perkembangan kamera digital.

Ambil iktibar dari apa yang berlaku kepada KODAK dan NOKIA. Keengganan mereka untuk ambil tahu tentang kemasukan teknologi baru membuatkan mereka terpaksa hilang dari pasaran. Nak bangkit kembali bukan sesuatu yang mudah dan akan mengambil masa.

7) Adakah anda dah rasa selesa?

Keselesaan adalah musuh utama seorang usahawan.  Bila anda berada di mana anda berdiri sekarang, fikirkan jika anda rasa selesa dengan keadaan sekarang.  Fikirkan samada anda dah mampu tawan semua pasaran, semua orang dah tahu dan kenal bisnes anda dan semua teknik pemasaran anda dah buat.  Fikirkan?

Kenapa Coca Cola, KFC, McDonalds, Ford, dan beberapa jenama yang dah wujud semenjak berpuluh dan beratus tahun lalu masih lagi membuat aktiviti pemasaran besar-besaran? Kerana mereka tak rasa selesa dengan keadaan mereka, mereka sedar mereka boleh tumbang sekelip mata tanpa pemasaran, dan mereka sentiasa ada hala tuju yang lebih jelas dan lebih besar.

Apa yang anda perlu buat ialah, perhatikan apa matlamat anda 5 tahun, 10 tahun dan 20 tahun akan datang? Di mana anda mahu berada dan apakah persediaan yang anda perlu ada untuk mencapainya.

Soalan yang paling penting, jika anda sudah tiada, apa nasib bisnes anda di masa hadapan?

 

Bisnes Belum Cukup Bagus, Jangan Ada Hati Nak Buka Bisnes Baru Pulak!

oleh Team Richworks pada 18 June 2018


Kesilapan yang selalu usahawan yang baru ‘buat duit’ lakukan adalah, mereka terlalu sibuk nak buka bisnes baru, nak keluarkan produk baru atau nak buka cawangan baru. Sebabnya adalah mereka rasa bisnes sekarang dah cukup bagus. Manakan tidak, rasa ilmu dah penuh di dada kan, mestilah mereka nak explore peluang baru. Mereka fikir jika satu bisnes boleh buat berjuta bayangkan kalau ada 2 atau 3 bisnes – lagi lah berjuta-juta!

Kesilapan paling teruk pula ialah mereka merasakan bisnes mereka tiada peningkatan, lalu mereka ambil keputusan untuk tinggalkan bisnes yang ada tanpa fahami punca bisnes tidak meningkat dan mula fokus untuk keluarkan produk baru atau bisnes baru. Haa…ni lah penyakit yang perlu diubati sebelum ia melarat dan menjadi lagi kronik! Dah tak fikir, dengan wujudnya produk dan bisnes baru ni, lagi banyak benda yang kena fikir, boleh pecah otak! Tak payah fikir produk baru, kembangkan dulu bisnes yang sedia ada tu. Yang penting perlu belajar dan ada ilmu yang betul.

Ironinya, selepas beberapa bulan, barulah terasa kesannya. Time tu jugaklah baru nak tampar dahi tu. Kau nangis air mata darah sekalipun, masa lalu tak akan kembali semula pada kau. Kau pulak ‘bijak’ sangat guna duit modal untuk start bisnes baru, dan keluarkan produk baru adalah dari cashflow bisnes yang sedia ada. Lagi haru jadinya.

Ramai usahawan rompak duit bisnes sedia ada untuk support bisnes baru menyebabkan bisnes sedia ada terpaksa tanggung kos berganda. Mereka sendiri tak cukup mahir dengan bisnes baru dan produk baru yang mereka nak keluarkan. Mereka tak arif dengan pasarannya dan persaingannya. Tapi ‘gatal tangan’ jugak nak buat.

Bisnes yang sedia ada, yang dah ‘buat duit’ itu pun sebenarnya tak dibuat dan tak difokus sebaiknya untuk menjadi cukup besar dan berkembang. Apatah lagi nak fokus bisnes yang baru bertatih ni dalam masa yang sama. Mereka sendiri pun tak tahu potensi sebenar bines yang ada dan sejauh mana bisnes ini mampu pergi. Adakah bisnes yang mereka ada sekarang ni dah cukup besar atau belum?

Bukan itu sahaja, ramai usahawan menyalahkan pasaran bila mereka rasa bisnes mereka dah tak boleh nak pergi jauh. Sebenarnya mereka tak tahu 25% peratus masalah dalam bisnes timbul akibat salah sasaran dalam Marketing Campaign. Mereka sendiri pun tak jelas tentang makna ‘jauh’ dalam bisnes mereka. Mereka tak tahu apa lagi masalah dan ‘pain point’ pelanggan mereka. Mereka rasakan produk dan bisnes mereka bagus tapi hakikatnya mereka hanya syok sendiri tanpa hiraukan untuk mengkaji apa yang diperlukan oleh pelanggan.

Bak kata Dr Azizan Osman “Tanya 10 orang strangers di sekeliling anda, adakah mereka kenal jenama anda, kalau tak sampai minima 8 orang yang kenal jenama anda, itu maknanya anda belum buat yang terbaik.”

Menurut Circle Research, 77% key leaders dalam jenama terkenal bersetuju bahawa pembinaan jenama adalah sangat penting untuk memastikan bisnes terus berkembang.

Jika Melaka, tanah kecil itu pun mampu menjadi terkenal sehingga merentasi ke sempadan Eropah dan China, pada zaman tanpa internet mahupun tiada sebatang pun tiang elektrik, takkan jenama anda tak boleh menguasai sekurang-kurangnya dalam negara? Fikir fikirkan ya. Tak perlu beriya nak buka bisnes baru. Kembangkan dahulu bisnes yang sedia ada. Mana tahu, bisnes anda nanti akan menjadi terkenal hingga ke mata dunia.

 

Berniaga Dulu, Jangan Kalut Buka Kedai

oleh Team Richworks pada 18 June 2018

Baru mula nak berniaga, dah sibuk nak bukak kedai! Relaks.. Boleh kata ramai sebenarnya peniaga yang berhenti di tengah-tengah jalan atas sebab ni lah. Rugi je buat keluar modal besar-besar, buat pinjaman buka kedai, renovate nak bagi cantik tapi at last lingkup. Bila ditanya kenapa? Alasannya “Saya dah salah buat bisnes…”. Tapi mereka tak sedar yang sebenarnya mereka ni terburu-buru kejar impian. Sibuk nak bukak kedai kononnya baru lah nampak kita sedang berniaga!

Dalam kita nak kejar impian kita perlu ada cara dan step yang betul. Bukan main sergah je. Nanti jadi hangat-hangat tahi ayam pula. Awal-awal semangat buat itu ini tapi bila bisnes dah start ada problem habis semua jadi huru-hara. Berniaga ni sebenarnya sama seperti konsep perkembangan baby. Mula-mula dia meniarap, kemudian merangkak, selepas itu dia boleh berdiri, berjalan, dan baru lah berlari dengan stabil.

Begitulah juga dalam perniagaan, memang kalau kita ikut marketing mix, perkara asas dan wajib yang perlu ada dalam perniagaan hukumnya adalah 4P’s; Product (Produk), Price (Harga), Place (Tempat), Promotion (Promosi). Tetapi kita perlu tahu pada zahirnya apa yang lebih penting sebelum kemudiannya.

Contohnya, anda ada produk untuk dijual dan anda sudah pun tetapkan harga untuk produk anda tetapi anda tiada tempat (kedai) untuk berniaga, jadi adakah itu satu halangan terbesar bagi anda untuk tidak berniaga? Fikirkan. Sudah tentu tidak, berniagalah dari mana anda mampu sahaja dahulu.

Jangan terlalu mudah untuk ambil risiko dengan buka atau sewa kedai jika modal dan ilmu kita masih lagi kabur. Nanti akan membawa satu kerugian besar terhadap perniagaan tersebut. Banyak lagi cara sebenarnya bagi kita untuk memulakan dengan langkah yang bijak dan antaranya adalah:

  • Online

Zaman sekarang ni adalah zaman teknologi yang mana orang sekarang dah boleh jual dari atas katil dengan pegang phone sahaja. Jangan terkejut ada sebahagian dari peniaga online yang sehingga kini tidak mempunyai premis atau office dalam menjalankan perniagaan mereka. Mereka jadikan online sebagai premis utama mereka.

Sekarang ni dah banyak juga channel atau medium yang anda boleh gunakan bagi melariskan atau menjual produk anda seperti Shopee, Lazada, Zalora dan lain-lain. Haa dengan perniagaan secara atas talian saja anda dah boleh dapat sales berkepok!. Takkan nak duduk saja je. Mulakan tindakan sekarang.

  • Stokis/Agent

Siapa kata menjadi stokis atau agent satu perkara yang merugikan? Menjual barang orang lain ni adalah satu proses pembelajaran buat kita yang baru-baru nak berjinak dalam perniagaan ni.

Ramai orang yang tak nak menjadi agent sebabnya mereka nak terus jadi boss atau miliki perniagaan sendiri. Tapi ramai yang tidak mempunyai mentaliti ingin belajar dan bermula dari bawah dauhulu. Jangan pernah fikir jadi agent adalah suatu perkara yang buang masa kerana pada hakikatnya dia mengajar kita tentang banyak perkara dari banyak sudut pemasaran.

  • Menyewa

Kalau anda sudah ada modal, mulakan dengan modal yang sedikit dengan menyewa di mana-mana tapak yang disediakan terlebih dahulu. Kemudiannya apabila anda sudah stabil dan mempunyai modal dan untung yang lebih besar, barulah anda boleh fikir untuk upgrade tempat perniagaan kita dengan menyewa kedai atau premis dan seterusnya memiliki tempat atau premis sendiri.

Ramai antara kita sebenarnya bukan tak mampu untuk berjaya tetapi kita ni terlalu terburu-buru nak kaya dan berjaya. Kita tak nak mula dari bawah dan sanggup ambil risiko, memanglah orang kata nak buat bisnes ni kita kena sanggup dan berani hadapi risiko tapi sebolehnya kita cuba untuk hindar risiko itu ‘memakan’ perniagaan kita. Tak mudah nak ubah kalau kita tak cuba untuk berubah.

Jadi fikir-fikirkan point yang cuba kami sampaikan ini. Nak berjaya harus ada cara dan jalan yang betul untuk laluinya. Jangan kalut dan jangan terburu-buru buat keputusan. Seeloknya tanya orang yang lebih berpengalaman dalam perniagaan dan mempunyai mentor yang boleh guide anda dalam perniagaan ini. Semoga berjaya!

 

Dasyatnya Kuasa Tali Silaturahim

oleh Team Richworks pada 18 June 2018


Nak berniaga, jangan pandang rendah pada kuasa silaturahim. Nak hidup bahagia pun jangan pandang sebelah mata kepada kuasa silaturahim. Pesan orang tua, hidup jangan sombong. Jangan jadi lalang, tinggi berdiri tapi kosong. Jadilah seperti padi, makin berisi makin menunduk.

Ramai orang nak jadi usahawan berjaya. Mereka fikir, dengan buat sales berjuta ringgit, dah cukup berjaya. Tapi dalam perjalanan nak capai sales berjuta, hidup mereka seakan ada banyak halangannya. Tender yang baru saja nak masuk, tiba-tiba terbatal. Sales yang dah sikit lagi nak dapat bayaran deposit, tiba-tiba cancel.

Apa puncanya? Mana silapnya?

Ada satu kisah tentang seorang usahawan yang terkenal kerana mempunyai lingkungan kawan-kawan yang ternama.  Beliau selalu kelihatan menghadiri majlis yang besar-besar. Nama beliau tidak pernah terlepas dari senarai jemputan terhormat. Betul, hidupnya kaya dengan usaha bisnesnya tetapi hakikat sebenar dia tidak pernah merasai nikmat menjadi seorang usahawan yang kaya.

Bisnesnya berjaya, tetapi sentiasa bermasalah. Rumah tangganya nampak bahagia tapi sebenarnya dingin. Rupa-rupanya, dia hanya tahu membahagiakan orang lain sahaja, tetapi tidak pandai membahagiakan ibu bapa dan ahli keluarganya. Katanya, mereka bersalah kerana membesarkan dirinya dalam keadaan miskin sehingga dia dikeji dan dihina sepanjang waktu remajanya.

Silaturahim, jika tidak dijaga dan dibajai sebaiknya, boleh meruntuhkan emosi, fikiran dan boleh menjadi penghalang kejayaan. Ini hukum Tuhan. Dalam kejayaan setiap insan, ada hak milik orang lain dan ada orang lain yang perlu dikorbankan.

Orang putih kata, hidup perlu ada “Give and Take”. Konsep ini atau pun sikap toleransi adalah satu perkara asas yang sangat penting dalam menjaga hubungan silaturahim. Apatah lagi dalam perhubungan dengan keluarga; hubungan kita sesama ibu bapa dan adik beradik adalah yang paling utama untuk kita jaga. Hati ibu bapa senipis kulit bawang dan kita harus meletakkan mereka di tempat teratas terlebih dahulu. Sebab keredhaan dan keberkatan sebenar didahului oleh redha kedua orang tua kita. Faham sesuatu?

Pengertian silaturahim itu sendiri, ‘silah’ membawa maksud menyambung perhubungan dan ‘rahim’ pula adalah kerabat. Jadi tidak hairanlah kalau kita lihat kebanyakan orang yang berjaya, orang yang gembira dengan life mereka tergolong dalam kalangan yang menjaga silaturahim sesama keluarga mereka.

Jika ada masalah dengan silaturahim, check dengan orang sekeliling. Kenapa payah sangat kita untuk membuka tangan dan menerima orang lain seadanya? Kenapa kita banjirkan hati dengan sangka buruk dan salah sangka? Kenapa antara kita dengan dia tak ada chemistry, tak ada connection yang buat mereka rasa selesa dan hormat terhadap kita.

Jangan tanya kenapa saja, cuba duduk, fikir dan reflect semula diri, “macam mana layanan aku terhadap orang lain? Adakah aku ni betul ikhlas atau tak sebenarnya dengan mereka?”. Kata orang “what you give, you get back”. Kalau kita yakin dengan orang maka orang akan yakin dengan kita dan kalau kita ikhlas dalam perhubungan insyaallah mereka juga akan rasai nilai yang sama.

Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA bahawasanya seorang lelaki berkata “Wahai Rasulullah, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk syurga.” Jawab Rasulullah, “Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadith ini menghuraikan maksud tentang menghubungkan hubungan silaturahim itu adalah salah satu cara yang membolehkan seseorang itu masuk syurga dan ia juga adalah sebahagian daripada amalan yang dituntut oleh Islam.

Jaga ‘good contact’

Selain itu, dalam berniaga perkara penting yang perlu kita jaga adalah ‘good contact’. Masyarakat Cina sangat menjaga ‘good contact’ mereka. Sebenarnya banyak manfaat yang boleh kita perolehi apabila kita betul-betul menjaga perkara ini. Dan jangan terkejut jika ada waktu susah nanti, ramai je orang yang boleh datang membantu kita. Orang pun akan turut yakin serta percaya untuk terus berhubung dan bekerjasama dengan kita.

Silaturahim, ‘good contact’, ‘good chemistry’, good relationship’, ‘people skills’, adalah perkataan yang sebenarnya mendefinasikan hubungan kita sesama manusia. Semakin banyak kita buat baik dan berkongsi manfaat dengan lebih ramai orang, maka lebih bernilailah diri kita di mata masyarakat dan yang paling penting di mata Allah S.W.T.

Dalam Program Intensif Magnet Kekayaan & Kejayaan (IMKK), Dr Azizan Osman sangat menitikberatkan Kuasa Silaturahim. Ramai yang hadir berkongsi kisah dengan kami, hanya dengan perbaiki silaturahim, hidup mereka mula dapat keluar dari kesusahan dan mula berubah.

Jangan lupa, kadang-kadang kita berjaya bukan 100% peratus kerana usaha keras kita, tapi mungkin sebab Allah S.W.T sedang kabulkan doa orang lain yang sentiasa mendoakan kebaikan dan kejayaan untuk kita.

 

 

Amazon Melangkaui 1 Trillion

oleh Team Richworks pada 18 June 2018


Baru sahaja awal Ogos lalu kita dikhabarkan Apple telah melakar satu kejutan dengan menjadi syarikat pertama mencapai nilai 1 Trilion di NASDAQ iaitu satu syarikat saham di Amerika Syarikat. Namun terkini, syarikat e-dagang Amazon pula menjadi syarikat kedua yang bernilai 1 Trilion US Dolar di NASDAQ. Ianya berjaya dicapai pada 4 September 2018 dengan harga saham mencecah 2050.50 USD seunit.

Apa yang lagi mengejutkan adalah saham syarikat tersebut dikatakan naik lebih dari 100% peratus dalam masa hanya setahun dan kini Amazon berada jauh di hadapan pesaing dengan mengalahkan Apple, Microsoft serta Google (alphabet). Kini nilai harta Jeff Bezos, pengasas dan pengerusi Amazon.com. ini melonjak naik sehingga 166 billion USD (RM688,236 billion) dan secara tidak langsung beliau antara manusia terkaya di dunia.

Siapa yang sangka,  sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 1994 ini dahulunya bermula dengan hanya menjual buku terpakai dan kemudiannya menjadi satu medium terbaru untuk membaca (Kindle e-book), seterusnya dinaik taraf sebagai satu cara terbaru penerbitan (Create Space) dan sehinggalah penghasilan lagi satu cara terbaru untuk menguasai internet (Amazon Web Service) dan menaik taraf rumah ke tahap berteknologi tinggi.

Maka benarlah bahawa 2018 ini adalah tahun teknologi yang mana kita boleh lihat banyak saham-saham teknologi Amerika Syarikat memberi prestasi yang sangat baik. Satu fakta yang ramai tak tahu saham FAANG Amerika Syarikat itu sebenarnya akronim yang merujuk kepada Facebook, Apple, Amazon, Netflix dan Google (alphabet).

Memiliki lebih dari 310 juta pengguna aktif dan lebih 44% peratus jualan dibuat mendahului Amazon di Amerika Syarikat, sebenarnya ada kunci dan cara tersendiri dalam memantapkan lagi usaha syarikat mereka. Apa yang power sangat pasal Amazon ni sampai dia mampu cecah 1 Trilion adalah dari segi semua aspek termasuklah kumpulan kerja mereka, corong jualan, cara pemasaran mereka yang hebat dan banyak lagi.

Berdasarkan perkara ini, mungkin syarikat anda boleh menjadikan syarikat Amazon ini sebgai rujukan untuk membina satu perniagaan yang bagus hingga mencecah billion. Lihat sahaja bagaimana Amazon ini boleh berkembang dan mengalahkan syarikat gergasi yang lain.

Selain itu, unit penyelidikan dan pembangunan juga antara satu unit yang memainkan peranan penting bagi mengenalpasti dengan gaya hidup terbaru supaya ia mampu selari dan berada dekat dengan pengguna mereka. Selalunya kita sebagai pengguna atau pembeli semestinya akan mencari, membandingkan dan memilih barang yang murah serta berkualiti bukan? Kalau kita fikirkan kedua-dua aspek ini tak mungkin wujud bersama dan kebiasaannya barang yang mahal memberi kualiti yang sangat bagus berbanding dengan pembelian barang yang murah yang mempunyai kuliti yang tidak begitu baik.

Tetapi di Amazon, kedua dua ciri ini dah diterapkan di syarikat mereka. Seperti menjadi lumrah, mereka berjaya bantu mengurangkan kos dengan meningkatkan pengalaman pengguna dengan cara yang sangat mudah dan seronok. Dan perkara ini sebenarnya antara aspek yang dipandang dan dinanti-nantikan oleh pengguna.

“Amazon percaya asas untuk mengukur kejayaan kami adalah nilai atau value yang berjaya kami berikan kepada shareholder. Nilai tersebut akan berkadar langsung dengan keupayaan kami untuk mengembangkan dan mengukuhkan posisi kami dalam pasaran (market leadership). Market leadership ini seterusnya boleh membawa kepada jualan yang lebih tinggi, keuntungan meningkat dan pulangan kepada modal pelaburan yang lebih kukuh.” – Jeff Bezos.

 

Selamat Tinggal Alibaba – Jack Ma

oleh Team Richworks pada 18 June 2018


Siapa yang tak kenal dengan Jack Ma, jutawan negara China yang pernah gagal dan disingkirkan oleh Havard University, sebuah insitusi pengajian di mana antara alumninya adalah jutawan industri teknologi iaitu Bill Gates dan Mark Zuckerberg. Permohonan Jack Ma ditolak bukan sekali, tetapi 10 kali!

Secara jujurnya, Harvard University adalah antara salah satu daripada banyak institusi yang menolak CEO Alibaba ini sebelum beliau membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah syarikat yang kini merupakan antara syarikat terbesar di dunia.

Jack Ma, seorang yang gagal sewaktu zaman persekolahannya, beliau gagal dan ditolak permohonannya untuk menjadi polis, dan antara 24 calon yang hadir untuk sesi temuduga kerja di KFC, hanya beliau yang tidak berjaya.

Sebelum Harvard menolak permohonan Jack Ma sebanyak 10 kali, Sekurang-kurangnya beliau pernah gagal dan ditolak permohonan kerjanya sebanyak 30 kali.

Pernah suatu ketika dahulu para pelabur berfikir yang Jack Ma adalah seorang yang gila apabila beliau mula membina laman e-dagang di China. Namun beliau tetap optimis dengan impiannya dan  terus maju tanpa mendengar kata-kata orang sekeliling dan kini dia telah membuka mata seantero dunia.

“eBay adalah jerung dalam lautan, kita adalah buaya di Sungai Yangtze. Jika kita berperang di lautan, kita kalah. Tapi jika kita berperang di sungai kita menang”- kata-kata inilah pencetus  eBay diusir keluar dari pasaran China.

Namun baru-baru ini. ‘Chairman’ Alibaba ini telah mengejutkan ramai orang apabila beliau mengumumkan perletakan jawatannya pada tahun hadapan (2019) dan bakal menyerahkan syarikat tersebut kepada Daniel Zhang yang sekarang memegang jawatan sebagai Chief Executive dalam syarikat (Alibaba) tersebut.

Jack Ma, sebelum ini yang merupakan seorang guru bahasa Inggeris telah menubuhkan sebuah syarikat yang bermula di apartmennya di Hangzhou dan mengubahnya menjadi sebuah syarikat e-dagang yang terbesar di tanah airnya sendiri namun kini beliau merancang untuk kembali ke bidang pendidikan.

Namun, peninggalan beliau bukanlah pergi dengan begitu sahaja, menurut Jack Ma, beliau masih lagi bersama syarikat dan masih lagi memerhati serta menjadi rakan kongsi seumur hidup dalam Alibaba partnership bagi setiap gerak laku syarikat tersebut.

Jack Ma ingin meletakkan ‘sustainability’ atau kemampanan sebagai nilai yang dia ingin ubah Alibaba dari sebuah syarikat yang dijalankan oleh individu kepada berdasarkan struktur organisasi. Pemergian Ma dari Alibaba adalah satu keputusan yang sangat dinantikan oleh beliau yang mana beliau merasakan tahap pendidikan sangat kritikal untuk masa hadapan.

Dalam satu sesi temu bual bersama majalah ‘The Times’, bekas guru bahasa Inggeris ini berkata, perletakan jawatan ini bukanlah satu pengakhiran tetapi menjadi satu permulaan era baru. Beliau juga menekankan bahawa beliau sangat cintakan bidang pendidikan.

Masyarakat di negara China gelar beliau dengan panggilan “Master Ma”, dan kini melalui institusi dermawannya, Yayasan Jack Ma, beliau akan lebih fokus untuk memupuk dan mengembangkan pendidikan untuk penduduk di kawasan pedalaman di seluruh China.

Awal minggu ini, Jack Ma memberitahu Bloomberg TV bahawa dia mahu mewujudkan sebuah yayasan mengikut jejak pengasas Microsoft, Bill Gates.

“Terdapat banyak perkara yang boleh saya pelajari dari Bill Gates, saya mungkin tidak dapat menjadi seorang yang kaya, tetapi saya dapat melakukan lebih banyak perkara yang bermanfaat jika saya bersara awal.

Saya fikir, suatu hari nanti, dan tidak lama lagi, saya akan kembali mengajar semula. Apa yang saya fikir adalah, ini adalah perkara yang saya dapat lakukan lebih baik lagi daripada menjadi CEO Alibaba, “katanya, dalam artikel seperti yang dilaporkan oleh BBC pada Ahad (9/9/2018).

Jack Ma, juga yakin beliau boleh melakukan sesuatu yang unik, berbeza dan sesuatu yang berada di dalam ‘minda Jack Ma’. Visinya adalah untuk membawa dan menggunakan teknologi bukan sekadar mengubah pendidikan malah alam sekitar.

Pemilihan Daniel Zhang

Rancangan perletakan jawatan Jack Ma sebagai CEO Alibaba telah pun berkuatkuasa pada 10 September 2018 bertepatan dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-55. Sebelum menyertai Alibaba, Daniel Zhang pernah memegang jawatan sebagai ‘Chief Financial Officer’ di sebuah syarikat perusahaan yang mengendalikan permainan atas talian (online) di Chiana iaitu ‘Shanda Interactive Entertainment.’ Beliau mula berkhidmat dengan Alibaba pada tahun 2007, memegang jawatan sebagai Chief Financial Officer di sebuah laman web membeli belah secara talian yang dimiliki oleh Alibaba iaitu Taobao.

Pemilihan Zhang sebagai pengganti Jack Ma dikatakan adalah pilihan yang tepat kerana beliau mampu menghasilkan pertumbuhan dengan konsisten. Menurut Jack Ma, Zhang adalah seorang yang sangat memegang teguh misi dan visi Alibaba dan memiliki keberanian untuk berinovasi serta menguji model-model bisnes yang kreatif.

Alibaba menyediakan perkhidmatan jualan kepada ‘consumer to consumer’ (C2C),’business to consumer’ (B2C) dan ‘business to business’ (B2B) serta perkhidmatan pembayaran elektronik, enjin carian membeli-belah (shopping search engines) dan perkhidmatan ‘cloud computing’. Bilangan pekerja Alibaba kini mencapai lebih daripada 86,000 orang.

 

Berniaga Tanpa Website? Awas! Mungkin Perniagaan Anda Masih Dianggap Tidak Wujud

oleh Team Richworks pada 18 June 2018

Ada yang seram tak baca tajuk kali ini? Aha…Jangan tak tahu ye, di zaman ni jika perniagaan anda tak mempunyai website, kemungkinan perniagaan anda dianggap tidak wujud! Kepada yang belum tahu, website adalah antara salah satu medium media sosial yang usahawan kini perlu titikberatkan.

Kewujudan media sosial sebenarnya bermula pada tahun 1978 ketika penemuan sistem papan buletin di mana kita boleh memuat turun maklumat, dapat berkomunikasi dengan menggunakan surat elektronik yang sambungan internetnya masih menggunakan saluran telefon dengan modem pada ketika itu.

Sistem papan buletin ini ditemui oleh Ward Christensen dan Randy Suess di mana kedua-duanya sama-sama meminati dunia komputer.

Pada tahun 1995, laman web GeoCities pula diwujudkan di mana laman web ini melayani Web Hosting iaitu layanan penyewaan penyimpanan data-data website agar halaman website tersebut dapat diakses dari mana-mana tempat dan pada bila-bila masa sahaja. Kemunculan laman web GeoCities ini telah menjadi tonggak kewujudan kepada website–website yang lain.

Seterusnya, laman jaringan sosial bermula dengan SixDegree.com yang dikreditkan sebagai laman sosial pertama dan diasaskan pada tahun 1997 dengan ciri-ciri seperti profil, sahabat, dan mesej.

Ini lah antara serba sedikit sejarah kewujudan media sosial yang memang kita akui semakin hari ianya semakin penting terutamanya pada mereka yang sedang menjalankan perniagaan.

Adakah anda sedang menjalankan perniagaan ketika ini? Atau anda mempunyai barangan atau servis untuk dijual tapi tidak mempunyai laman web? Jika ya, ini samalah seperti perniagaan anda tidak wujud sebenarnya. Jika pada tahun 2018 yang hampir menjengah ke tahun 2019 ni anda masih berniaga tanpa website, memang susah untuk anda bersaing dan boleh dikatakan anda dah ketinggalan zaman.

Mengapa anda fikir orang melayari internet dan melawat laman web? Ya, untuk mencari maklumat. Dan jika anda berniaga, maklumat adalah amat penting. Sebab itu anda perlu mempunyai laman web dan laman web anda mesti mengandungi tentang apa yang anda boleh lakukan untuk pelawat laman web anda.

Di bawah ini adalah beberapa kelebihan dalam mempunyai laman web untuk perniagaan anda

  1. Akses Kepada Pelawat

Dengan adanya perkhidmatan internet bermaksud laman web anda boleh dilawati pada bila-bila masa sahaja. Ini samalah seperti anda memiliki kedai dan kedai anda terbuka sepanjang masa dan pelanggan boleh masuk ke kedai anda pada bila-bila masa, siang atau malam. Orang akan lebih suka melawat laman web anda kerana ia lebih mudah, cuma pastikan maklumat yang terdapat dalam laman web anda lengkap dan memenuhi apa yang pelawat ingin tahu.

  1. Akses Kepada Maklumat

Tahukah anda bahawa jika anda mempunyai laman web anda sendiri, anda sebenarnya boleh mengetahui semua aktiviti yang berlaku di situ? Anda juga boleh mendapat maklumat yang memberitahu anda berapa ramai orang yang telah dan sedang melawat laman web anda. Anda juga boleh lihat kemajuan laman web anda dengan melihat kepada statistik laman web dan semua halaman-halamannya. Yang paling bagus, anda juga boleh membuat kemas kini laman web anda pada bila-bila masa, menjadikan ia jauh lebih murah daripada bahan bercetak.

  1. Kemudahan Pelanggan

Dengan memiliki laman web sendiri akan membuatkan pelanggan anda mudah mencari anda. Dengan kemudahan inilah membuatkan pelanggan anda tidak perlu melawat anda di premis perniagaan fizikal anda, hanya perlu masuk ke laman web anda.

  1. Meningkatkan Pelanggan

Anda mungkin popular dan mempunyai ramai pelanggan di kawasan perniagaan anda, tetapi bagaimana pula dengan pelanggan atau yang berpotensi menjadi pelanggan anda yang berada luar dari kawasan perniagaan anda? Dengan adanya laman web sendiri, anda mampu menggandakan pelanggan anda, bukan sahaja dalam negara malahan dari seluruh dunia. Internet merupakan sebuah komuniti global, dengan adanya laman web, perniagaan anda akan dapat dilihat di seluruh dunia.

  1. Pengiklanan

Terdapat banyak cara untuk mengiklankan produk atau perkhidmatan anda melalui internet, memiliki laman web sendiri merupakan salah satu caranya dan ianya mesra alam. ‘Search Engine Optimization’ (SEO) sesebuah laman web mestilah bagus untuk promosi yang lebih baik. Jika anda sudah maju atau mempunyai peruntukan kewangan lebih, anda boleh cuba iklan di Facebook atau Google.

  1. Lebih Murah

Perbelanjaan pengiklanan adalah mahal, terutamanya jika diiklankan melalui media cetak, radio, televisyen atau iklan berbayar di internet. Mempunyai laman web sendiri adalah cara yang mudah dan murah untuk mempromosikan perniagaan anda. Dengan adanya laman web dan disertai dengan teknik pemasaran yang betul, promosi anda akan berjalan dengan jayanya.

  1. Pautan

Pautan merupakan satu aspek yang sangat penting untuk pemasaran viral (viral marketing). Jika terdapat banyak laman web yang menghubungkan kepada laman web anda, ini samalah seperti anda menyebarkan berita didalam laman web anda dengan lebih meluas lagi. Dan jika anda mempunyai laman web yang baik dengan isi kandungan yang baik yang dicari di internet, orang akan lebih cenderung untuk menghubungkan laman web anda kepada mereka. Ini bermakna pelawat laman web mereka juga terdedah kepada pautan yang menghubungkan mereka kepada laman web anda.

  1. Meningkatkan Jualan

Laman web yang bagus dan selalu dikemas kini akan membawa pelawat yang lebih ramai. Pelawat yang ramai pula akan menyebabkan lebih banyak jualan terhasil.

  1. Hubungan Yang Lebih Baik Dengan Pelanggan

Dengan mempunyai laman web anda sendiri, anda boleh membina hubungan yang lebih baik dengan pelanggan anda. Anda boleh menghantar mesej dengan serta-merta kepada pelanggan anda melalui sistem e-mel yang ada, malahan jika laman web anda mempunyai sistem opt-in, anda boleh menghantar mesej melalui sistem blast yang ada diruang admin. Sistem maklum balas dalam talian adalah terbaik antara pelanggan dan anda. Selain membina hubungan yang baik dengan pelanggan, anda juga boleh memberikan mereka lebih banyak info mengenai perniagaan dan projek terkini anda melalui mesej atau e-mel.

  1. Pelanggan Jangka Panjang

Anda ada laman web, maka anda akan ada pelawat dan pelanggan. Pelawat adalah orang yang singgah datang melihat laman web anda, manakala pelanggan adalah pelawat yang bertukar menjadi pembeli dilaman web anda. Bayangkan pelanggan ini menjadi pelanggan tetap anda, sentiasa membeli pada selang masa yang tertentu. Mempunyai laman web anda sendiri memberikan anda peluang untuk mendapat lebih ramai pelanggan atau pelanggan tetap yang boleh membantu mengembangkan perniagaan anda.

  1. Peluang Membuktikan Kredibiliti

Sebuah laman web dapat memberikan anda peluang untuk membuktikan kredibiliti anda kepada orang ramai. Anda perlu memberitahu pelanggan anda mengapa anda layak mendapat kepercayaan mereka melalui laman web anda. Dengan cara ini anda boleh mendapat maklum balas positif untuk perkhidmatan atau produk anda. Laman web anda juga boleh menjadi satu tempat untuk pelabur yang berpotensi untuk bergabung dengan anda untuk menjalankan perniagaan secara usahasama.

Pemilik perniagaan yang bijak akan juga membina laman blog untuk syarikat mereka. Mempunyai blog untuk menghantar kandungan terkini akan memastikan laman web anda menarik dan segar. Disamping itu laman media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain yang sepertinya adalah penting untuk pemasaran laman web anda.

 

Dulu Penoreh Getah, Kini Digelar Tauke Sambal Garing Che Nor

oleh Team Richworks pada 16 June 2018

Siapa yang tak pernah dengar atau makan Sambal Garing Che Nor yang semakin menjadi tarikan ramai ketika ini. Puan Noraida Aznita Azizan, pengasas yang baru saja berusia 32 tahun ini agak bersemangat ketika Team Richworks bertemu dengannya untuk sesi Talk Show Mudahnya Berniaga pada 8 Ogos yang lalu.

Tidak lokek dengan senyuman, Puan Noraida menyambut gembira kedatangan kami ketika kami tiba di lokasi kilangnya. Mengimbas kembali kenangan di masa lalu cukup membuatkan beliau hilang senyuman di bibir. Tapi bak kata Tuan Radz, kegagalan yang berlaku setiap hari, setiap waktu dan setiap bulan itu adalah kunci kejayaan kita! Umpama air hujan yang turun yang memberikan sumber untuk tumbuh-tumbuhan dan juga menjadi sumber untuk air sungai yang mengalir.

Puan Noraida Aznida atau lebih mesra dipanggil Puan Noraida ini dibesarkan dalam keluarga yang menjalankan perniagaan Food Truck. Namun langit tak selalunya cerah, kedua ibu dan bapanya ditimpa masalah kesihatan yang membuatkan mereka terpaksa pulang ke kampung halaman untuk menoreh! Kebun getah yang dimiliki datuknya itu menjadi punca rezeki buatnya dan keluarganya untuk mencari sesuap nasi.

Lihat, berapa ramai antara kita yang mampu tanggung segala masalah seperti ini? Berapa ramai pula antara kita yang mampu tanggung kesedihan dan kegagalan dalam kehidupan? Puan Noraida hilang punca pendapatan daripada pelbagai masalah yang ditanggung.

Pun begitu, walaupun hidup dalam kesusahan, beliau mampu berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Janji beliau kepada ayahnya, “Akak akan belajar bersungguh-sungguh, akak akan jadi seorang ahli korporat yang kaya dan berjaya untuk mengubah nasib keluarga kita. Akak nak beli kereta Honda kesukaan abah tu nanti!” Tapi janji hanya tinggal janji. Beliau abaikan pelajaran hingga akhirnya gagal!

Bagaimana untuk tebus kembali janji yang pernah beliau katakan dulu? Bagaimana beliau bangkit bermula tahun 2010. Apa perkara yang membuatkan beliau terus bangkit? Apa yang menyedarkan beliau? Jom saksikan sendiri kisah perkongsian jatuh bangun pengasas Sambal Garing Che Nor, Puan Noraida yang mampu membuatkan beliau bukan hanya seorang mangsa kegagalan dan kejatuhan suatu masa dulu tapi beliau kini berjaya bangkit dari keperitan hidup hingga berjaya!

 

 

Penat Lelah Terbayar di Master Your Business

oleh Team Richworks pada 16 June 2018

Program tiga hari berturut-turut yang dilangsungkan pada 21 hingga 23 Julai 2018 lalu pasti membuka mata semua peserta yang berjaya hadir pada program yang telah direka khas untuk membantu peniaga yang penat lelah menjalankan perniagaan seharian untuk ke tahap yang lebih baik.

Program yang bukan sekadar menjual dan memasarkannya sahaja ini turut dihadiri oleh peserta Titanium Premier, Titanium Circle serta peserta program Elite. Meriah sungguh program yang dianjurkan oleh Richworks untuk peserta dari pelbagai jenis industri bisnes. Peserta semuanya menunjukkan komitmen yang tinggi untuk meningkatkan tahap bisnes masing-masing.

Apa yang anda faham tentang program ni sebenarnya? Apa yang selalu berlaku adalah selepas peniaga atau usahawan tahu cara untuk memasarkan perniagaan setelah hadir ke Program Millionaire Marketing Mastery (MMM), perniagaan mereka mula jadi huru-hara. Jadi bisnes akan mula susah untuk diuruskan, dan mula berlaku banyak masalah kerana peniaga tidak mampu lagi menguruskannya seorang diri.

Bukan itu sahaja, apabila anda struggle dalam perniagaan sehingga tak nampak dengan jelas apa yang anda hendak buat dengan perniagaan anda itu, ini juga bermakna perniagaan anda tidak ada sistem sepenuhnya. Anda menjalankan perniagaan dari sehari ke sehari tanpa matlamat dan sistem.

Perniagaan sebegini sukar untuk berkembang dalam jangka panjang. Ianya juga mudah untuk tumbang. Ianya diibaratkan seperti sebuah bangunan tanpa asas atau “piling’ yang kukuh. Tiang-tiangnya mungkin tidak kuat dan tidak terbina dengan baik.

Jadi MYB adalah salah satu program yang boleh memperbetulkan operasi bisnes anda untuk jadi lebih kukuh, bersistem dan teratur. Pelbagai masalah yang dialami oleh syarikat mereka, pasti akan membuka mata ketika mereka menyertai program ini. Program yang memberikan kemudahan kepada usahawan ini juga mampu membuatkan peserta tunduk sepi menulis setiap point-point penting yang diberikan oleh Mentor, Dr Azizan Osman. Banyak juga ‘AHA’ moment yang membuatkan mereka masing-masing tak habis-habis mengatakan ‘ohhhh’, dan ‘aha!’

Tak dapat dinafikan, peserta-peserta yang hadir ke program ini turut bersemangat memberikan komitmen dalam setiap jam dan detik yang berlalu. Pengisian dalam program ini cukup memberikan mereka input yang banyak untuk mereka perbaiki dalam pengurusan perniagaaan masing-masing.

Perkara pertama yang harus mereka take note adalah memperbetulkan dahulu asas perniagaan mereka. Dari segi sales, marketing dan juga pengambilan staf yang bagus! Adanya staf yang tak tahu apa-apa mungkin boleh menjadikan syarikat huru-hara.

Yang keduanya, mereka turut didedahkan dengan ‘Design Your Company’ iaitu bagaimana untuk mereka cipta syarikat supaya menjadi lebih terurus dan bagus. Dan selepas mereka dah nampak arah tuju syarikat dan semakin stabil, baru lah mereka boleh mengembangkan syarikat 10x kali ganda! Adakah anda mahu membina perniagaan yang berjaya begini? Tepuk dada tanyalah diri sendiri!

 

 

Kenapa Buat Bisnes Jadi Susah?

oleh Team Richworks pada 16 June 2018

 

Baru berkira-kira nak start bisnes sebab rasa dah letih kerja makan gaji yang tak pernah cukup sampai hujung bulan, tapi dengar pulak cerita nak buat bisnes ni susah. Perasaan berbelah bagi pun timbul, impian yang tinggi menggunung tadi hanya tinggal angan-angan yang terus terkubur.

Itu kalau orang yang hati tisu, baru ada cabaran sikit dah nak give up, awal-awal menyerah kalah. Ada juga orang yang jenis main redah je… tak pandang kiri kanan apa cabaran yang datang dia langgar je. Tapi takat langgar je tak ada results yang menguntungkan tak guna juga.

Ramai orang suka nak buat bisnes, tapi ramai juga orang asyik tukar-tukar bisnes. Bisnes pertama dah slow, bukak bisnes lain. Sampaikan bila setiap kali balik kampung atau jumpa kawan-kawan, orang akan tanya “Eh bro… kau bisnes apa pulak sekarang ni?” Pedih rasa bila kena perli macam ni.

Sebelum nak tahu apa punca jatuhnya sebuah perniagaan, kena tahu dulu sikap peniaga itu sendiri. Penyakit utama adalah sikap suka beri alasan. Apa alasan yang peniaga suka bagi bila dah mula rasakan bisnes tu jadi susah?

1. Susah

Of course lah susah kan… confirm inilah alasan paling famous yang peniaga akan bagi. Ramai orang bagi alasan bisnes itu susah bila mereka gagal. Sebenarnya, ramai orang yang gagal, buat apa perkara pun akan gunakan alasan susah.

2. Kena Tipu

Ini lagi satu alasan yang selalu orang berikan bila bisnes mereka gagal. Kena tipu dengan supplier, kena tipu dengan partner, kena tipu dengan staff… dan kena tipu dengan diri sendiri sebab terlalu suka sangat hidup penuh dengan alasan.

3. Salah Pilih Bisnes

Alasan ni akan jadi kelakar bila anda dah berniaga hampir setahun atau lebih dari setahun, kemudian baru sedar anda salah pilih bisnes. Nampak sangat anda berbisnes setakat “cuba-cuba” dulu, dah rugi baru tahu.

4. Produk Tak Bagus

Apa produk pun anda boleh jual jika anda tahu bagaimana nak memasarkannya. Produk bagus gila, eksklusif, hasil tangan selebriti terkenal pun takkan terjual jika anda tak tahu buat marketing.

5. Salah Lokasi

Alasan ini selalunya diberikan oleh mereka yang buka kedai atau gerai secara fizikal. Sebenarnya, lokasi tak berdosa dalam hal ini. Yang bersalah adalah anda tak cukup beritahu orang ramai tentang perniagaan anda.

6. Kos Tinggi

Ramai peniaga terpaksa tutup kedai kerana tak tahu nak menguruskan kos. Ramai juga yang berniaga sehingga terpaksa menanggung hutang sebab tak tahu nak uruskan kos. Jadi kos tinggi dipersalahkan atas kegagalan mereka. Apa jenis perniagaan pun memerlukan kos.

7. Ditiru Pesaing

Kita tak boleh elakkan perniagaan kita dari ditiru atau dari berhadapan dengan persaingan. McDonalds pun ada pesaing, KFC ada pesaing, semua perniagaan besar pun ada pesaing mereka sendiri. Ramai peniaga, bila saja gagal mereka akan menyalahkan pesaing.

Nampak tak alasan-alasan yang peniaga suka bagi ni? Memang lumrah manusia ada sikap suka salahkan orang lain atau apa sahaja yang ada di sekeliling mereka.

Apa punca lain kejatuhan sebuah perniagaan selain dari sikap suka beri alasan? Ini antara senarai yang anda perlu ambil perhatian supaya anda dapat elakkan diri dari berada dalam situasi ini.

  1. Tak Tahu Bagaimana Nak Pastikan Sales Tinggi Setiap Hari
  2. Tak Tahu Teknik Nak Buat Pemasaran Online dan Offline
  3. Tak Tahu Nak Buat Promosi Apa
  4. Tak Tahu Nak Kekalkan Pelanggan Lama Dan Tambah Pelanggan Baru
  5. Tak Tahu Apa Kekuatan Bisnes Sendiri
  6. Tak Tahu Siapa Sebenarnya Pelanggan Anda
  7. Tak Tahu Bagaimana Untuk Lebih Menonjol Dari Pesaing
  8. Tak Pasti Wilayah Perniagaan Anda Sendiri
  9. Tak Tahu Apa Masalah Pelanggan Yang Anda Boleh Selesaikan

Jadi, jika anda seorang peniaga yang sangat mengambil berat akan keadaan bisnes anda, pastikan perkara-perkara di atas tidak berlaku dalam perniagaan anda. Sebab itu penting dalam berniaga, perlu ada ilmu dan mentor yang dapat bimbing dan bantu anda dari melakukan kesilapan dalam bisnes.

Bagaimana nak berniaga dengan mudah? Layari www.mudahnyaberniaga.com

 
Hak Cipta Terpelihara 2017 © Richworks International Sdn. Bhd.
Open Chat
1
Close chat
Hello! Thanks for visiting us. Please press Start button to chat with our support :)

Start