Kisah Saya – Part 3

oleh Team Richworks pada 17 November 2014

dao_solat

Apa yang saya masih ingat tentang zaman kecil saya? 

Saya tidak ingat tentang diri saya selepas dilahirkan di Kota Bharu Kelantan.

Tetapi ingatan saya bermula selepas ayah diarahkan berpindah lagi dan kami tinggal di kuarters kerajaan di Ayer Baloi, Pontian, Johor sebelum ayah dipindahkan ke Kompleks Kerajaan di Jalan Parit Masjid, Pontian.

Saya kira waktu itu saya berumur 4/5 tahun.

Saya suka gigit orang. Mak saya selalu cerita tentang “kepakaran” saya adalah “makan” anak orang lain sebaya dengan saya. Tiba-tiba jika ada budak menangis tidak jauh dari saya, mak akan cepat-cepat tengok ada tanda “gigitan” saya ditangan mereka. Ala-ala “vampire” giteww. 

Ayah saya pula suka saya sertai macam-macam acara kanak-kanak di kuarters tersebut. Saya pernah masuk pertandingan beragam memakai baju red indian, pernah pakai baju koboi, pernah pakai baju melayu dan samping dengan ada keris di pinggang ala-ala Hang Tuah dan pernah memenangi beberapa pertandingan pakaian beragam di kuarters tersebut.

Kawasan kuarters ini juga merupakan tempat jabatan pertanian menyimpan stok baja dan lori mengakut baja. Jadi, lori ini semua menjadi “permainan” kami semasa kanak-kanak.

Cuma, budak-budak sebaya saya semua tak suka berkawan dengan saya. Bila mereka nampak saya, mereka akan jerit “lari! Azizan datang!” dan kemudian mereka bertempiaran lari. Mungkin sebab saya lahir tahun harimau (1974), maka gigi saya agak gatal nak gigit orang…

Sebenarnya, di sebabkan saya suka menggigit, saya mula tidak ada kawan dan banyak bersendirian.

Kawan saya adalah mak saya. Saya anak ke-4 daripada 5 adik-beradik yang hidup, seorang kakak di atas saya telah meninggal dunia ketika mak lahirkan dia.

Ketika itu adik bongsu saya belum ada lagi. Sayalah yang bongsu waktu itu. Jadi, saya hanya berkawan dengan mak saya. Saya juga terpaksa main seorang-seorang. Abang dan kakak saya mempunyai “gap” umur dengan saya. Dan di sebabkan jarak umur dengan mereka, kami tidak berapa boleh berkawanlah.

Masa itu, saya selalu tengok cerita Koboi dan Red Indian, cerita Kombat. Masa itu dah ada wrestling. Dah ada cerita hantu dan saya sangat takut gelap serta hantu.

Apa lagi yang saya ingat? Saya ingat ayah saya walaupun juruteknik, tapi dia dilantik ala-ala ketua untuk kuarters ini sehinggalah bila kami pindah ke kompleks JPT (Jabatan Parit & Taliair) di Jalan Parit Masjid, Pontian, Johor sekitar tahun 1979/80.

Waktu itu ayah ada sebuah motor Norton dan kereta volkswagon putih tahun 1968 kot. Tapi motor kemudiannya dijual. Masa di Ayer Baloi ini, saya pernah melecur tapak kaki kerana terpijak ekzos motor apek yang datang rumah jual sayur.

Saya selalu dibawa ayah ke masjid, sertai perarakan maulidurasul, dia bawa dengar ceramah agama di kawasan-kawasan lapang.

Say juga masih ingat kepala saya pernah berjahit di sebabkan berdarah luka terantuk kerusi masa melompat-lompat kat kerusi kayu rumah jiran. Saya mengaku saya memang tak reti duduk diam. Sampai sekarang pun terbawa juga perangai ini.

Saya juga selalu fikir, dek kerana ayah saya selalu paksa saya masuk pertandingan beragam segala bagai, ia menjadikan saya kemudiannya agak suka masuk pertandingan. Ia membuatkan saya mempunyai sikap seorang yang berani mencuba perkara baru.

Saya ingat, kami pindah ke kompleks JPT, Parit Masjid, Pontian, Johor seingat saya sekitar 1979 dan saya mula masuk tadika Cikgu Miat di Jalan Parit Masjid pada tahun 1980.

Di Pontian, chapter kehidupan saya mula berbeza. Yalah, dah nak masuk sekolah kan….

Mak lebih banyak masa mengajak saya membaca buku. Sebagai bekas guru, mak memang pandai psycho saya untuk membaca…. Ke memang semua mak pandai psycho anak dia?

Nanti saya cerita tentang kecintaan saya kepada buku dan rancangan TV kesukaan saya masa itu. Which banyak mempengaruhi karektor saya dan membantu saya membina diri saya.

………… bersambung.

#AzizanOsman

 

Kisah Saya – Part 2

oleh Team Richworks pada 17 November 2014

dao_muda

Tanya diri sendiri, anda puashati dengan apa yang anda ada? Anda puashati dengan situasi dan keadaan hidup anda? Anda puashati dengan tahap kewangan anda? Anda puashati dengan tahap sumbangan anda kepada komuniti?

Itu antara soalan yang selalu bermain di otak fikiran saya ketika saya remaja.

Jika anda menjawab anda puashati, maka baguslah!

Kalau tak pun baguslah!

Anda boleh teruskan tak puashati dan teruskan hidup dengan tak puashati.

Semua orang ada pilihan dan manusia diberi akal dan hati untuk buat keputusan ikut apa yang dia tahu.

Orang yang yakin bahawa dirinya layak dan perlu berada di tahap yang lebih baik akan mencari jalan untuk mencapai apa yang dia percaya atau inginkan.

Itu apa yang saya percaya sejak umur saya 8 tahun. Sejak saya mula tahu bahawa “kerja” yang boleh beri banyak duit adalah berniaga. Dan ia semakin jelas ketika umur saya 18 tahun, apabila saya mengisi masa dengan menjadi jurujual Vacuum Cleaner Jenama “Rainbow” ketika sedang menunggu keputusan SPM kali ke-2 (Selepas gagal pada kali pertama)

Saya percaya yang saya layak untuk bina kehidupan dan kewangan yang luar biasa. Ketika itu saya pun tidak tahu bagaimana tetapi saya mulakan dengan yakin, percaya serta berusaha mencari jalan mencapai apa yang saya percaya.

Mana datang kepercayaan itu? Dari arwah ayah saya. Dia selalu suruh saya buat terbaik dalam setiap apa yang saya buat. Begitu juga mak saya.

Ia juga kepercayaan yang datang melalui apa yang saya baca dan dengan siapa saya berkawan. Keluarga saya bukan orang senang dan saya tidak mahu terus ikut jejak perjalanan hidup ayah saya, saya mahu bina sesuatu yang mampu gembirakan mereka dan beri mereka sedikit kesenangan.

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

*Jika sharing ini bermanfaat, fikirkan. Jika tidak, tak ada beza kepada hidup saya. It’s your life! You can choose to stay where you are right now!

……. bersambung

#AzizanOsman

 

Kisah Saya – Part 1

oleh Team Richworks pada 17 November 2014

tmptlahir_dao

Hari ini saya menerima banyak ucapan ulangtahun saya yang ke-40 tetapi mungkin sengaja diucapkan awal kerana hari jadi saya sebenarnya adalah 14 November, hari jumaat ini 40-tahun dahulu kelahiran saya di Kota Bharu Kelantan.

Saya “ter”lahir di Kota Bharu kerana ketika itu ayah saya yang bertugas sebagai juruteknik Jabatan Parit & Taliair ditugaskan bekerja di sana dan kami sekeluarga tinggal di sana untuk seketika.

Mak saya orang Telok Mas, Melaka, arwah ayah saya orang Jeram, Kuala Selangor dan saya dibesarkan di Pontian, Johor selama hampir 15 tahun dari saya kecil kemudian bersekolah cina dan sekolah agama Johor sehingga saya tamat tingkatan 3, sebelum saya dipindahkan sekolah ke Sekolah Menengah Pay Fong untuk tingkatan 4 dikampung mak iaitu Melaka. Sebenarnya saya hampir-hampir belajar di Victoria Institution untuk tingkatan 4 dan sebenarnya saya telah mengambil peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran) secara private (Belajar sendiri) dan lulus dengan cemerlang ketika saya di tingkatan 2. Semua ini ada kisah di sebaliknya.

Pada awalnya, saya tinggal bersama kakak saya di rumah kecil mak dan ayah di Bandar Melaka yang telah dibeli lebih awal, kemudiannya mereka juga pindah ke Melaka bila ayah saya pencen kemudian kami terus menetap di Melaka.

Bersambung nanti….. Mak saya akan bercerita tentang saya semasa kecil dan ia banyak mencorakkan diri saya hari ini.

Ini perkongsian sempena ulangtahun saya ke-40.

 
Hak Cipta Terpelihara 2019 © RichWorks International Sdn. Bhd.
Open Chat
1
Close chat
Hello! Thanks for visiting us. Please press Start button to chat with our support :)

Start