“Pelanggan tak nampak bisnes saya!” – 5 Idea Kreatif Tonjolkan Bisnes Anda

oleh Team Richworks pada 08 February 2018

Ini fakta, keuntungan bisnes anda bergantung kepada berapa ramai pelanggan nampak bisnes anda. Bukan sekadar nampak biasa-biasa, kerana kalau bisnes nampak biasa jer, dah tentu pelanggan tak beli produk anda.

Bisnes perlu nampak luarbiasa, mempunyai kelainan berbanding pesaing yang mempunyai industri bisnes sama dengan anda, baru pelanggan beli produk anda. Untuk dapatkan kelainan ini anda memerlukan ‘Idea kreatif untuk tonjolkan bisnes’ anda. Guna 5 idea kreatif ini.

Idea #1: Pesaing Buat ‘A’ Anda Buat ‘B’

Salah satu kesilapan besar yang sering dilakukan oleh usahawan dalam memasarkan produk atau perkhidmatan adalah meniru bulat-bulat pemasaran bisnes pesaing.

Bila pesaing buat dan berjaya, anda pun tidak teragak untuk menirunya. Kebarangkalian untuk pelanggan membeli produk anda adalah sangat rendah kerana pelanggan hanya melihat anda sebagai peniru bisnes.

Pesaing buat ‘A’ anda buat ‘B’. Ini caranya untuk anda tonjolkan bisnes anda di pasaran. Sebagai contoh, anda memiliki bisnes kedai bunga. Pada hari sambutan ‘Hari Kekasih’, ramai peniaga kedai bunga akan naikkan harga jualan bunga.

Anda jangan tiru pesaing. Anda boleh tawarkan harga jualan istimewa untuk pembelian bunga di kedai anda. Selain turunkan harga, anda mungkin boleh beri servis penghantaran secara percuma kepada pelanggan dalam radius 50km.

Dengan adanya kelainan ini, sudah pasti kedai bunga anda bukan sahaja menonjol di pasaran malah ianya akan dikerumuni dengan pelanggan-pelanggan baru.

Idea #2: Adakan Pertandingan “Cabaran”

Pernah dengar cabaran ini, “Habiskan makanan ini dalam masa 2 minit dan anda akan menerima hadiah…”

Kalau anda perasan, kadang-kadang pelanggan membeli produk atau perkhidmatan bukan kerana memerlukannya, tetapi mereka membeli kerana terdapat pertandingan cabaran ke atasnya.

Manusia suka dicabar, lagi-lagi jika cabaran itu memberi keuntungan besar kepada mereka. Pertandingan cabaran jika anda pandai pasarkannya, ia boleh membawa keuntungan yang lumayan pada bisnes anda.

Buat pertandingan cabaran mengikut jenis bisnes anda. Sebagai contoh, jika anda memiliki kedai buku, anda boleh mengadakan pertandingan kuiz buku-buku popular. Jika kedai barangan sukan, anda boleh adakan pertandingan timbang bola 10 kali menggunakan kasut bertumit tinggi.

Kebiasaan cabaran yang diadakan bukan cabaran yang mudah diselesaikan oleh semua orang. Tetapi, jika cabaran ini berjaya dilakukan, orang yang berjaya lakukannya sudah tentu akan menyebarkan kejayaan beliau kepada orang ramai. Ini iklan pemasaran cabaran percuma!

Idea #3: Pecahkan Rekod

Pelanggan suka tengok orang lain pecahkan rekod, lagi-lagi jika mereka terlibat sama di dalam aktiviti tersebut. Ingat ayat ni, “…Lagi-lagi jika mereka terlibat sama di dalam aktiviti tersebut.”

Gunakan peluang ini! Jemput wakil dari ‘Malaysia Book of Records’ dan adakan satu aktiviti yang boleh pecahkan rekod Malaysia. Aktiviti yang dipilih mesti aktiviti yang boleh dilakukan secara beramai-ramai.

Jemput para pelanggan setia atau bakal-bakal pelanggan untuk turut serta melakukan aktiviti ini. Sebarkan maklumat aktiviti di serata sosial media seperti Facebook, Instagram atau Twitter dan anda juga boleh menjemput pemberita-pemberita tempatan untuk membuat liputan aktiviti ini.

Jika anda berjaya pecahkan rekod, ini merupakan ‘bonus’ buat bisnes anda. Jika tidak berjaya pecahkannya, jangan kecewa kerana anda masih berjaya menonjolkan bisnes secara besar-besaran. Pastikan aktiviti yang dipilih sangat relevan dengan bisnes anda dan ianya merupakan satu aktiviti yang amat menyeronokkan.

Idea #4: Buat Video Parody

Ini sangat mudah. Anda hanya perlu mencari video klip yang menjadi trending terkini dan buat video parody tersebut. Uploadkan video tersebut di YouTube dan Facebook.

Jangan ditiru bulat-bulat video tersebut. Ubahkan sedikit menjadikan ia satu video yang mempunyai unsur jenaka. Manusia suka ingat benda-benda jenaka. Jika video parody anda berjaya menarik perhatian penonton, confirm ianya akan menjadi viral di media sosial.

Video parody merupakan salah satu cara pemasaran berkesan untuk menonjolkan jenama bisnes anda. Tapi, elakkan dari membuat video parody yang berkaitan dengan agama, politik atau isu-isu sensitif yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai.

Idea #5: Cipta Hari Special Bisnes Anda

Pernah dengar, “Ladies Night”, “Early Bird” atau “Members Day”. Ini merupakan hari atau waktu special yang sering digunakan oleh bisnes-bisnes.

Anda boleh cipta hari special bisnes anda! Cipta hari yang memberikan kelainan dari pesaing lain. Kalau boleh adakannya sekali atau dua kali setahun. Buatkan para pelanggan rasa tak sabar untuk menunggu hari tersebut.

Sebagai contoh, anda mungkin boleh mengadakan “Hari RM10” di mana setiap barang di dalam kedai anda berharga RM10 pada hari tersebut. Atau anda boleh mengadakan “Hari Baju Kuning” di mana hanya pelanggan berpakaian warna kuning sahaja yang boleh membeli-belah di dalam kedai anda dan layak menerima diskaun sehingga 70% untuk setiap barang yang dibeli pada hari tersebut.

Cipta hari special mengikut kreativiti anda. Lagi unik hari yang dicipta, lagi menonjol bisnes anda di pasaran.

Bisnes Anda Perlu Menonjol

Terdapat banyak lagi idea-idea kreatif yang anda boleh gunakan untuk bisnes anda. Anda cuma kena rajin buat research dan ubahkannya mengikut kesesuaian industri bisnes anda. Pelanggan akan beli jika mereka nampak anda. Jadi tugas anda adalah tonjolkan bisnes sampai mereka nampak bisnes anda. Ingat, kena buat sampai nampak!

Lagi mengenai artikel: Blog, Tip Pemasaran Bisnes
 

Ruangan Komen

Hak Cipta Terpelihara 2017 © Richworks International Sdn. Bhd.
Open Chat
1
Close chat
Hello! Thanks for visiting us. Please press Start button to chat with our support :)

Start