Program “Jom Cuci Masjid” – Bukan Sekadar Cuci Masjid Tetapi Mencuci Hati Yang Hitam

oleh Team Richworks pada 26 September 2018

Bestari Jaya – Alhamdulillah penganjuran Program “Jom Cuci Masjid” anjuran Jabatan Operasi Teknikal Media Prima Berhad kali ke-29 dengan kerjasama beberapa persatuan termasuk Pertubuhan Kebajikan Richwell yang diadakan pada 23 September 2018 lalu, telah berjalan dengan jayanya.

Program ini dianjurkan setiap bulan mengikut lokasi yang berbeza. Kali ini pihak penganjur memilih Masjid Al-Awwabin, Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan sebagai lokasi penganjuran program ini.

Objektif program ini secara amnya adalah untuk membantu pihak masjid serta penduduk setempat membersihkan masjid dan juga kawasan tanah perkuburan Islam. Selain itu juga menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada kariah masjid, penduduk setempat dan berdekatan yang miskin dan memerlukan.

Antara sumbangan yang disampaikan kali ini adalah kit pengurusan jenazah, kerusi kuliah, minyak masak dan beras.

Sepanjang 29 kali penganjuran program ini, Richwell yang merupakan pertubuhan kebajikan di bawah Richworks yang diasaskan oleh Dr Haji Azizan Osman, sentiasa membantu dengan memberi sumbangan 100 kampit beras setiap bulan.

Semua sumbangan yang disalurkan oleh Richwell adalah hasil kutipan ikhlas dari para peserta yang hadir ke program anjuran Richworks dan juga inisiatif dari staf Richworks yang membuat potongan bulanan dari gaji mereka untuk disalurkan ke tabung Richwell.

Kerjasama Richwell bersama Jabatan Operasi Teknikal Media Prima Berhad telah lama terjalin dan usaha ini adalah untuk memberi kebaikan dan manfaat kepada lebih ramai insan yang memerlukan di samping mengeratkan hubungan di antara dua entiti ini.

Namun, jika dilihat secara halus, penganjuran program ini sebenarnya bukan menekankan tentang kerja-kerja amal sahaja, tetapi sebenarnya untuk mendidik lebih ramai umat Islam khususnya untuk mempunyai perasaan merendah diri tidak kira apapun status mereka.

Di mana kita dapat lihat individu berstatus Dato, Dato Sri dan sebagainya turun padang dan cuci tandas masjid, mengecat masjid, bersihkan kawasan masjid dan tanah perkuburan? Hanya dalam program “Jom Cuci Masjid” sahaja.

Selain itu sebagai umat Islam, kita perlu cuci hati kita yang hitam kerana semakin ramai manusia tanpa sedar hati mereka tidak dijaga dengan baik sehingga tercemar dengan anasir negatif, kejahatan yang akan membawa mereka semakin jauh kepada perkara kebaikan.

Istimewanya juga program ini adalah, adanya sesi tazkirah di kawasan tanah perkuburan di mana objektifnya adalah untuk mendekatkan kita dengan rasa mati. Ironinya, kehidupan kita ini sebenarnya adalah sesuatu yang belum pasti. Tidak semua insan bertuah untuk hidup di dunia ini. Berapa ramai bayi yang meninggal sebelum lahir atau semasa dilahirkan. Jadi seharusnya kita bersyukur. Tetapi perlu kita ingat juga, kematian itu adalah sesuatu yang pasti untuk kita semua. Semua yang hidup pasti akan mati dan kembali bertemu penciptaNya.

Allah S.W.T berfirman:

 

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ

“Setiap jiwa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari Kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka sungguh dia telah berjaya. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya” (ali-Imran 3: ayat 185)

Kadangkala kita sebagai manusia mempunyai sikap mudah alpa. Kita lupa di mana kita berada dan berdiri. Janganlah sesekali kita sebagai manusia merasa mulia kerana jalan ke pintu neraka adalah apabila kita merasa diri kita mulia.

Untuk Program “Jom Cuci Masjid” kali ke-29 ini, apa antara aktiviti menarik yang dijalankan adalah konvoi beramai-ramai dari Sri Pentas, Bandar Utama ke Masjid Al-Awwabin, sarapan bersama penduduk setempat, solat dhuha berjemaah, gotong-royong cuci masjid, mengecat masjid, membersihkan kawasan sekitar masjid, gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan, tazkirah ringkas di kawasan tanah perkuburan, solat zuhur berjemaah, makan tengahari istimewa yang disediakan oleh penduduk setempat iaitu “Asam Pedas Awwabin”, upacara meraikan “saudara baru” dan sesi penyampaian sumbangan dan bantuan.

Turut menyertai program ini adalah beberapa persatuan seperti Malaysian Community Care Foundation (MCCF), Persatuan Seniman Malaysia, Kumpulan Motor Berkuasa Tinggi yang dianggarkan seramai 200 lebih penyertaan dan juga Unit Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya. Tidak ketinggalan juga, Richwell menghantar seramai 14 orang sukarelawan mereka untuk turut serta turun padang dan membantu kelancaran perjalanan program.

Semoga segala amalan kebaikan yang kita kerjakan di atas muka bumi ciptaan Allah S.W.T ini diterima dan diberkati. InsyaAllah.

Lagi mengenai artikel: Blog, Tip Motivasi dan Inspirasi, Tip Pemasaran Bisnes, Tip Perniagaan
 

Ruangan Komen

  • Percuma! Dapatkan 50 Idea Pemasaran Luarbiasa Disini

  • Maklumat Anda Selamat Bersama Kami.

  • Post Terkini
  • Sertai Alumni Dr. Azizan Osman (Facebook)
  • Kategori
Hak Cipta Terpelihara 2017 © Richworks International Sdn. Bhd.
Open Chat
1
Close chat
Hello! Thanks for visiting us. Please press Start button to chat with our support :)

Start