Wanita Dan Perniagaan: 5 Pengasas Produk Kongsi Cerita Bagaimana Mereka Bermula

oleh Team Richworks pada 27 June 2018

Setiap orang yang berjaya pasti ada permulaan yang hebat, cabaran yang besar dan semangat yang kuat yang ada dalam diri mereka.  Menjadi pengasas produk atau jenama terkenal adalah idaman ramai orang.  Tapi ramai yang tidak pasti apakah langkah pertama yang mereka perlu ambil, apakah cabaran yang akan dihadapi dan bagaimana mereka lalui semua cabaran dan halangan sehingga menjadikan mereka terkenal.

Kali ini kami nak kongsikan dengan anda bagaimana 5 wanita #AnakDidikDrAzizan yang juga pengasas jenama terkenal di Malaysia ini memulakan bisnes dan apa cabaran yang mereka lalui.

Nur Aini Zolkepeli – Nurraysa Beauty

Siapa yang tak kenal Pegasas produk kecantikan Nurraysa Beauty?

Puan Nur Aini Zolkepeli berasal dari Trengganu dan menetap di Kuantan, Pahang. Pada awalnya, beliau cuba-cuba berniaga rumpai laut dengan modal RM500, yang dipinjam dari duit gaji suami.  Suaminya ketika itu adalah seorang pemandu lori.

Bisnes rumpai laut yang pernah viral suatu masa dulu, berkembang baik sehinggalah pada satu masa muncul terlampau ramai pesaing yang menyebabkan harga rumpai laut jatuh.  Masa itu muncul idea untuk buat sabun kecantikan dari rumpai laut.  Dan, dari dapur rumah sendiri, Puan Nur Aini mula membuat sabun, paketkannya dan jual.  Dari situ salesnya mula meiningkat ke RM8,000 – RM10,000 sebulan.

Bukan senang beliau nak bermula dan nak kekal berada dalam pasaran produk kecantikan.  Setiap hari muncul sahaja pesaing baru disamping nak bersaing dengan jenama yang lebih terkenal dan datangnya dari luar negara. Tapi dengan komitmen yang beliau berikan dan usaha yang kuat serta tak jemu belajar dan cari ilmu membuahkan hasil yang baik.  Kini, di mana-mana sahaja anda boleh tengok wajahnya di billboard di tepi-tei jalan dan dari bisnes kecil kini dah menjadi sebuah empayar produk kecantikan dengan memiliki lebih dari 2000 agen berdaftar di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.

Siti Khawa Jannah – Rempah Mak Siti

Rempah Mak Siti – Satu jenama yang sudah sebati di kalangan surirumah dan tukang masak dan sentiasa berada di kebanyakan rumah dan isi dapur rakyat Malaysia.  Puan Siti Khawa Jannah adalah anak kepada pengasas Rempah Mak Siti.

Orang kata menjadi anak founder adalah satu anugerah! Di saat orang lain bergelut nak mulakan perniagaan tapi bagi mereka, lahir-lahir saja bisnes dah ada untuk mereka.  Tapi ramai yang tak tahu betapa mereka terpaksa bergelut untuk mengembangkan bisnes milik keluarga mereka ini.

Puan Siti dulu selalu tertekan kerana di bahunya terpikul harapan dan beban untuk memajukan bisnes keluarga sedangkan beliau tidak mempunyai pengalaman.  Selepas beliau habis belajar dan terjun dalam dunia bisnes keluarga, keadaan bisnesnya adalah tidak tentu arah.  Berlaku penyelewengan di kalangan pekerja dan ramai pekerja yang tidak percaya kemampuannya.

Alhamdulillah dengan ilmu serta komitmen menghadiri program anjuran Richworks, azam yang kuat dan tindakan yang berterusan, Puan Siti Khawa Jannah dah berjaya bawa bisnesnya lebih jauh dan meluaskan pasaran ke seluruh Malaysia dan juga memasuki pasaran Asia.

 Siti Fatimah Abd Samat – Sabella

Kerana nak bantu suami, Puan Siti Fatimah sanggup berusaha keras mengambil upah menjahit pakaian dan langsir.  Ketika itu suaminya bekerja sebagai Pelukis Pelan dan dengan pendapatan sebanyak RM2500 sebulan masih tak cukup untuk menampung kehidupan mereka.  Mereka masih dikira sebagai miskin bandar.

Ada kalanya, mereka tak mampu nak belikan susu kepada anak sehingga terpaksa membancuh susu pekat untuk diberrikan kepada anak tersayang.  Ini antara sebab kenapa Puan Siti Fatimah nekad untuk berniaga.  Dengan bakat menjahit dan berbekalkan satu mesin jahit, Puan Siti Fatimah mula aktif mengambil tempahan. Lama kelamaan ramai pelanggan memberikan maklumbalas positif kepada hasil tempahan.  Dari situ mula wujudnya jenama Sabella, iaitu jenama pakaian wanita muslimah.

Melihat ketekunan beliau, suaminya sanggup berhenti kerja demi nak membantu isterinya.  Walaupun perniagaan mereka baru berusia setahun lebih tapi jenama Sabella dah makin dikenali sehinggakan mampu membuat jualan mencecah 6 angka sempena Hari Raya.  Kini beliau dah memiliki kilang sendiri dengan 20 orang pekerja.

Zuraida Jaafar – Wedding By Emma

Setiap hari memaksa diri untuk bangun pagi dan pergi kerja hanya untuk kejar gaji bulanan bukanlah sesuatu yang menggembirakan Puan Zuraida.  Beliau pernah bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan dengan gaji sekitar RM2500 sebulan.  Setiap hari beliau dan suami berulang-alik menaiki skuter ke tempat kerja kerana nak jimat minyak dan setiap hari terpaksa budget makan RM10 sahaja.

Bakat dan minat dalam bidang penyediaan perkahwinan menyebabkan Puan Zuraida mula berjinak-jinak dalam bisnes.  Bermula dari mengambil tempahan kecil-kecilan, dan dengan kreativiti yang menarik minat pelanggan, perniagaan kecilnya mula mendapat kepercayaan dan semakin berkembang. Dan semenjak beliau hadir ke Program Richworks, beliau lebih tahu bagaimana nak muncul di media sosial dan membina jenama.

Kini Wedding by Emma, perniagaan penyediaan pelamin perkahwinan milik Puan Zuraida sangat terkenal dikalangan selebriti tempatan dan beliau juga menerima tempahan untuk Perkahwinan Di Raja.

Noraida Aznita Azizan – Sambal Garing Che’ Noor

Berasal dari keluarga yang susah bukan menjadi titik noktah bagi kejayaan Puan Noraida Aznita.  Beliau yang mahu mengubah nasib keluarga mula suka berniaga di zaman belajar di institut pengajian tinggi.  Ketika itu, beliau terlibat dengan banyak jenis perniagaan dan dah mampu ada pendapatan sendiri.  Malangnya, keterujaan beliau dalam membina bisnes menyebabkan beliau gagal dalam pelajaran dan mengecewakan hati ibu bapanya.

Bermula dari situ, beliau jadikan kegagalannya satu faktor untuk beliau berjaya dalam bisnes. Hasil dari duit simpanan dan sokongan suami beliau bermula dengan membuka sebuah restoran. Sehingga satu tahap di mana restorannya dah statik dan tak boleh buat lebih banyak pendapatan menyebabkan beliau terfikir untuk cari ilmu.

Bila dah ada ilmu, mulalah macam-macam idea muncul sehingga terhasil produk Sambal Garing Che’ Nor yang boleh didapati di kios-kios stesyen minyak seluruh Malaysia.

 

Belajar sesuatu dari perkongsian 5 wanita ini?  Setiap kejayaan bermula dari satu langkah kecil.  Yang penting, mula melangkah sekarang.

Lagi mengenai artikel: Blog, Tip Pemasaran Bisnes, Tip Perniagaan
 

Ruangan Komen

  • Percuma! Dapatkan 50 Idea Pemasaran Luarbiasa Disini

  • Maklumat Anda Selamat Bersama Kami.

  • Post Terkini
  • Sertai Alumni Dr. Azizan Osman (Facebook)
  • Kategori
Hak Cipta Terpelihara 2017 © Richworks International Sdn. Bhd.
Open Chat
1
Close chat
Hello! Thanks for visiting us. Please press Start button to chat with our support :)

Start