Sempena World Cup ini, saya terfikir satu perkara. Semua pasukan yang berjaya mara ke suku akhir mempunyai pemain bertaraf dunia. Ada yang bermain di Real Madrid, Manchester City, Liverpool, Bayern Munich dan pelbagai kelab terbaik dunia. Mereka tahu cara menggelecek, membuat hantaran, membaca permainan dan menjaringkan gol. Kalau begitu, kenapa mereka masih memerlukan seorang coach? Bukankah coach itu tidak masuk padang? Bukankah coach itu tidak menjaringkan gol? Bukankah coach itu tidak berlari selama 90 minit?
Jawapannya sangat mudah. Kerana coach melihat apa yang pemain tidak dapat lihat ketika mereka sedang bermain. Apabila seorang pemain berada di atas padang, fokusnya hanyalah kepada bola, rakan sepasukan, pihak lawan dan tekanan di hadapannya. Tetapi coach berada di tepi padang. Dia melihat keseluruhan permainan. Dia nampak ruang yang sedang terbuka. Dia nampak kelemahan lawan. Dia tahu bila perlu bertahan, bila perlu menyerang dan bila masanya menukar strategi. Sebab itu pasukan yang hebat bukan sekadar mempunyai pemain yang hebat. Mereka juga mempunyai coach yang hebat.
Beberapa hari lalu, saya duduk berbual dengan seorang usahawan. Bisnesnya sudah berjalan beberapa tahun. Jualannya sudah mencecah ratusan ribu ringgit setahun. Tetapi dia masih berasa sukar untuk berkembang. Dalam perbualan itu, dia bertanya kepada saya, “Datuk, macam mana Datuk boleh nampak masalah bisnes saya dalam masa kurang daripada sejam?” Saya hanya tersenyum.
Hakikatnya, saya bukan nampak dalam masa sejam. Saya nampak kerana hampir 20 tahun saya telah duduk berhadapan dengan puluhan ribu usahawan daripada pelbagai industri. Saya melihat syarikat yang bermula dari rumah sehingga berkembang menjadi syarikat bernilai puluhan juta ringgit. Saya juga pernah melihat syarikat yang nampak hebat dari luar, tetapi akhirnya tumbang hanya kerana satu keputusan yang silap. Semakin ramai usahawan yang saya bimbing, semakin saya sedar bahawa masalah mereka jarang sekali berpunca daripada mereka tidak bekerja keras. Kebanyakannya sudah bekerja terlalu keras. Mereka cuma terlalu lama berada “di atas padang” sehingga tidak lagi dapat melihat keseluruhan permainan.
Sebab itu saya selalu katakan, orang tidak membayar seorang coach kerana satu jam masa yang diberikan. Mereka membayar untuk pengalaman bertahun-tahun yang membolehkan coach melihat sesuatu yang mungkin hanya akan disedari oleh founder lima tahun kemudian. Sama seperti coach bola sepak. Dia mungkin hanya membuat satu pertukaran pemain pada minit ke-70. Keputusan itu hanya mengambil masa beberapa saat. Tetapi keputusan itu lahir daripada ribuan jam pengalaman, pemerhatian, analisis dan beratus-ratus perlawanan yang pernah dilalui sebelum ini.
Begitu juga dalam dunia bisnes. Kadang-kadang saya hanya bertanya satu soalan. Kadang-kadang saya hanya mencabar satu andaian. Kadang-kadang saya hanya meminta seorang founder melihat semula positioning, pelanggan atau model bisnesnya. Tetapi satu soalan itu mampu mengubah cara dia melihat keseluruhan bisnes. Satu keputusan yang betul boleh menjimatkan kerugian ratusan ribu ringgit. Satu perubahan positioning boleh menggandakan jualan. Malah satu strategi yang tepat boleh mempercepatkan pertumbuhan yang selama ini mengambil masa bertahun-tahun.
Semakin seseorang benar-benar melalui susah payah membina bisnes, mencari pelanggan, menjaga aliran tunai, membayar gaji pekerja setiap bulan dan mendapatkan pembiayaan, semakin dia menghargai nilai pengalaman. Dia sedar bahawa pengalaman tidak boleh dipercepatkan. Tetapi pengalaman boleh dipinjam. Itulah nilai sebenar seorang coach. Kita bukan membeli masa mereka. Kita sedang meminjam pengalaman mereka supaya kita tidak perlu mengulangi kesilapan yang sama.
Kerana dalam bisnes, masa adalah aset yang paling mahal. Wang yang hilang masih boleh dicari semula. Tetapi masa yang sudah berlalu tidak akan pernah kembali.
Sebab itu saya percaya, founder yang hebat tidak pernah malu mempunyai coach. Sama seperti pemain bertaraf dunia yang masih memerlukan coach di tepi padang, founder yang hebat juga memerlukan seseorang yang mampu melihat apa yang mereka sendiri tidak nampak. Bukan kerana mereka lemah. Bukan kerana mereka tidak pandai. Tetapi kerana mereka cukup matang untuk memahami bahawa kita semua mempunyai blind spot yang tidak dapat kita lihat sendirian.
Kerana akhirnya, juara bukan dibina oleh pemain yang berlatih bersendirian. Juara dibina oleh pemain yang sanggup dipimpin, ditegur dan dibimbing untuk menjadi lebih baik daripada semalam.
Datuk Wira