TAK SEMUA KESEDIHAN, KITA NAK CERITA KAT ORANG…
Orang sangka dan lihat hidup kita indah tapi orang tak tahu kepayahan, kesedihan dan ujian di sebaliknya. Mungkin sebab itulah kita tidak sepatutnya cepat menghukum atau membuat andaian terhadap kehidupan orang lain kerana setiap orang sedang memikul ujian yang tidak semua orang nampak.
Beberapa bulan lepas, tak lama selepas kami balik daripada melihat aurora di Tromsø, Norway… Saya dan isteri terima satu berita yang benar-benar mengejutkan kami.
Ketika itu, sebenarnya sedang sibuk buat persiapan majlis perkahwinan anak sulung kami. Ramadan semakin hampir, lepas itu Aidilfitri pula dengan jadual kerja memang penuh.
Dalam kepala saya masa itu cuma fikir macam mana nak pastikan semuanya berjalan lancar.
Tiba-tiba Diana beritahu dia asyik mabuk, loya dan muntah-muntah. Saya pun fikir, “Eh… kenapa pula ni?”
Lepas dia buat pemeriksaan… dia datang dekat saya dan cakap, “Papa… double line.”
Saya diam sekejap. Reaksi pertama saya?
“Wow…” Sejujurnya saya sendiri tak tahu nak respon macam mana. Terkejut? Gembira? Tak percaya? Semua ada. Orang kata… tak sangka, tapi macam sangka.
Kami terus buat pemeriksaan dengan doktor O&G kami, Dr. Fauziah. Bila doktor sahkan memang Diana hamil, kami hanya mampu saling berpandangan dan tersenyum. Allah SWT hadirkan satu lagi episod dalam kehidupan kami.
Saya ada tujuh orang anak. Tiga orang daripada perkahwinan terdahulu. Bersama isteri saya, Diana… kami dikurniakan empat orang anak.
Sejujurnya kami memang tak merancang untuk menambah lagi cahaya mata. Uthman yang kini berusia lapan tahun kami panggil “Adik”. Dalam fikiran kami, dialah anak bongsu kami. Tetapi rupanya Allah SWT ada perancangan yang lain.
Apa yang paling bermain dalam fikiran kami bukan soal nak membesarkan seorang lagi anak. Yang lebih kami risau ialah keadaan Diana setiap kali mengandung. Setiap kali dia hamil sebelum ini, dari hari pertama tahu dia mengandung… bermulalah episod mabuk yang sangat teruk. Bukan sekadar loya. Dia muntah dari pagi sampai malam. Tak ada tenaga. Nak bangun dari katil pun susah. Nak turun katil pun kadang-kadang tak larat. Nak keluar rumah memang hampir mustahil. Malah nak keluar bilik pun sangat mencabar.
Paling mencabar… dia langsung tak boleh bau apa-apa. Bau masakan. Bau minyak angin. Bau sabun. Bau minyak wangi. Apa saja bau boleh buat dia muntah semula. Sedangkan saya pula memang suka pakai minyak wangi, boleh kata tiap hari.
Jadi setiap kali Diana mengandung, semua minyak wangi saya pun kena “berehat” sekejap. Kalau tidak… lagi teruk dia mabuk.
Pada Aidilfitri tahun ini menjadi raya yang sangat berbeza buat kami. Buat pertama kali sepanjang kami berkahwin, Diana langsung tak mampu ikut balik beraya di Melaka. Keadaannya terlalu lemah, saya balik bersama anak-anak sahaja. Dia hanya mampu berehat di rumah. Walaupun saya berada di kampung bersama keluarga… hati saya sebenarnya tertinggal di rumah. Saya tahu isteri saya sedang melalui satu perjuangan yang sangat berat.
Setiap hari dari awal pagi sampai ke malam, Diana bergelut dengan rasa loya dan muntah yang tak putus-putus. Rumah terbuka Aidilfitri pun dia tak mampu nak melayan tetamu seperti selalu. Melihat keadaan dia macam itu… memang hati saya sangat sedih. Sebagai suami, saya hanya mampu tengok. Kalaulah boleh ambil separuh daripada sakit itu, pasti saya sanggup.
Lebih kurang dua minggu selepas raya, keadaan Diana mula bertambah baik. Mabuknya semakin berkurangan. Kami pun rasa sedikit lega. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dia sudah ada tenaga semula. Tak lama lagi pula kami perlu menguruskan majlis pertunangan anak. Dalam hati saya mula fikir, mungkin fasa yang paling mencabar dah berlalu.
Pagi itu kami keluar seperti biasa untuk pemeriksaan berkala di klinik Dr. Fauziah. Semuanya nampak biasa, ambil nombor, tunggu giliran dan masuk bilik doktor.
Doktor minta Diana baring untuk buat imbasan. Biasanya saya memang tak masuk tengok. Entahlah, saya memang agak ngeri bab-bab pemeriksaan macam ni. Saya duduk di luar sambil mendengar suara doktor.
Tiba-tiba saya terdengar Dr. Fauziah beritahu dia tak nampak denyutan jantung baby.
Mula-mula saya masih tenang. Saya fikir mungkin kedudukan bayi menyukarkan proses imbasan. Yalah, baru masuk minggu ke-11. Kadang-kadang bayi meniarap. Kadang-kadang berpusing. Memang bukan mudah nak dapat sudut yang betul.
Tetapi semakin lama doktor mencari, semakin lama bilik itu menjadi sunyi.
Saya terus masuk dan tanya, “Macam mana doktor?”
Dr. Fauziah memandang saya dan berkata beliau sudah cuba pelbagai cara tapi masih belum jumpa denyutan jantung bayi. Saya dapat rasakan nada suara doktor berubah. Lebih perlahan, lebih berhati-hati dengan wajahnya juga nampak sedikit resah.
Saya hanya diam. Dalam hati saya tak putus-putus membaca doa.
“Ya Allah… tolonglah. Berikanlah kami khabar yang baik.”
Doktor terus mencuba lagi. Beberapa minit terasa seperti beberapa jam.
Akhirnya doktor kata dia belum berani membuat pengesahan. Kami diminta pulang dahulu dan datang semula beberapa hari kemudian untuk pemeriksaan sekali lagi.
Masa keluar dari klinik itu, saya diam. Dalam kereta pun kami banyak diam.
Saya cuba tenangkan Diana. Dalam masa yang sama saya sedang cuba tenangkan diri sendiri. Saya masih berharap, masih berdoa dan masih sangka baik kepada Allah.
Tetapi jauh di sudut hati… saya sangat takut. Takut kerana kami pernah melalui kehilangan yang sama.
Pada 30 Disember 2015, kami pernah kehilangan seorang bayi perempuan ketika kandungan berusia empat bulan.
Kami menamakannya Fatimah. Sehingga hari ini… nama itu masih hidup dalam hati kami.
Luka itu sebenarnya tidak pernah benar-benar sembuh. Dan kali ini… saya sangat takut jika Allah menguji kami sekali lagi dengan kehilangan yang sama.
Beberapa hari menunggu keputusan terasa sangat panjang.
Saya tetap meneruskan kerja. Tetap mengendalikan coaching, tetap membimbing usahawan-usahawan Titan. Tetap tersenyum di hadapan ramai orang.
Tetapi hanya Allah yang tahu apa yang sedang saya tanggung ketika itu. Tidak mudah sebenarnya tetapi amanah tetap amanah. Masih ramai usahawan yang memerlukan bimbingan, sokongan dan kekuatan.
Sampailah hari Jumaat. Hari yang menentukan segalanya.
Awal pagi kami sampai semula ke klinik Dr. Fauziah. Kali ini kami lebih bersedia menerima apa sahaja ketentuan Allah. Selepas pemeriksaan yang lebih teliti, Dr. Fauziah memandang kami.
Saya dah tahu, daripada wajah doktor… saya rasa macam dah tahu apa yang bakal beliau cakap.
Dan akhirnya doktor mengesahkan, anak kami sudah tiada. Kandungannya gugur pada minggu ke-11.
Saya tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan ketika itu.
Sedih. Hiba. Kosong. Saya rasa seperti ada sebahagian daripada diri saya hilang. Saya cuba menahan air mata. Saya cuba nampak tenang. Bukan sebab saya kuat… tetapi sebab saya tahu hati isteri saya jauh lebih hancur daripada hati saya.
Walaupun kami tidak merancang kehadiran bayi ini… kami benar-benar gembira menerimanya. Kami sudah mula membayangkan kehidupan bersama seorang lagi cahaya mata. Kami juga sempat bergurau… orang lain umur macam kami dah sibuk dukung cucu, saya pula bakal dukung baby baru.
Tetapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik. Mungkin bukan rezeki kami untuk memeluknya di dunia.
Mudah-mudahan, dia bersama kakaknya, Fatimah… menunggu kami di syurga nanti.
Hari ini barulah saya ada kekuatan untuk berkongsi kisah ini. Sehingga hari ini, apa yang berlaku masih menghantui fikiran kami. Namun kehidupan tetap perlu diteruskan. Kami masih perlu menguruskan majlis perkahwinan anak sulung kami yang Alhamdulillah berjalan dengan sangat lancar.
Saya juga masih perlu meneruskan amanah membimbing usahawan-usahawan yang Allah amanahkan kepada kami. Dalam keadaan ekonomi dan dunia bisnes yang sangat mencabar hari ini… untuk bertahan pun bukan mudah. Tetapi Alhamdulillah… melihat ramai usahawan yang bangkit semula, membina semula kehidupan dan mencapai kejayaan mereka, sedikit sebanyak memberikan kekuatan kepada saya untuk terus melangkah.
Begitulah kehidupan. Semua orang ada cabaran masing-masing. Semua orang sedang berjuang dengan ujian yang mungkin kita tidak tahu.
Jadi jangan cepat menilai kehidupan orang lain hanya daripada apa yang kita nampak di media sosial atau di atas pentas.
Kerana di sebalik senyuman, mungkin ada air mata yang tidak pernah mereka tunjukkan.
Coretan ini saya tulis ketika berada dalam penerbangan menuju ke Manchester untuk menghadiri majlis konvokesyen satu lagi MBA dalam perjalanan menuntut ilmu di universiti impian saya, University of Manchester.
Doakan semoga perjalanan singkat ini dipermudahkan. Dan doakan juga saya dapat kembali ke Malaysia dengan selamat untuk bersama usahawan-usahawan dalam program Titan Inner Circle Meeting (ICM) di Johor Bahru bermula hari Isnin nanti, insha-Allah.
Hidup ini tidak semuanya indah tetapi terlalu banyak nikmat Allah yang masih saya syukuri.
Saya percaya, hati yang sentiasa bersyukur akan sentiasa menemukan sebab untuk terus kuat walaupun sedang diuji.
Datuk Wira