Fokus Menyokong Ekonomi Kita
Hari ini bermulanya Titan Inner Circle Meeting (ICM) Johor Bahru selama 4 hari. Lebih 200 usahawan Titan dari seluruh negara berkumpul bukan sekadar untuk belajar… tetapi untuk membina syarikat yang lebih kukuh, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menyumbang lebih besar kepada ekonomi negara.
Saya percaya Malaysia perlu terus mengalu-alukan pelaburan asing yang berkualiti. Pelaburan yang membawa teknologi, membangunkan bakat tempatan, mewujudkan pekerjaan dan memberi manfaat jangka panjang kepada negara.
Tetapi dalam keterujaan itu, jangan sampai kita terlupa bahawa tulang belakang ekonomi Malaysia sebenarnya ialah usahawan tempatan dan PMKS Malaysia.
Tahun lalu sahaja, berdasarkan analisis kami, perniagaan di bawah komuniti Titan telah menghasilkan economic multiplier dianggarkan sekitar RM3.3 bilion kepada ekonomi Malaysia sepanjang tahun 2025.
Itu bukan sekadar angka.
Di sebalik angka itu ada ribuan vendor tempatan, pembekal, kontraktor, ejen, freelancer, syarikat logistik, restoran, hotel dan pelbagai industri lain yang menerima manfaat daripada aktiviti ekonomi yang diwujudkan oleh usahawan-usahawan ini.
Paling penting, lebih 200 syarikat Titan ini telah mewujudkan sekurang-kurangnya 3,500 peluang pekerjaan. Bermakna lebih 3,500 keluarga mempunyai sumber pendapatan, anak-anak dapat meneruskan persekolahan, pinjaman rumah dibayar dan kehidupan menjadi lebih baik.
Inilah impak sebenar sesebuah perniagaan.
Sebab itu apabila kita bercakap tentang pembangunan negara, jangan hanya melihat kepada pelaburan yang dijanjikan.
Lihat juga kepada nilai yang telah benar-benar diwujudkan.
Kebelakangan ini timbul isu melibatkan The Network School yang dikaitkan dengan kemungkinan menarik balik potensi pelaburan masa depan bernilai US$500 juta. Sudah tentu Malaysia perlu terus mengalu-alukan pelaburan asing yang berkualiti.
Namun kita juga perlu membezakan antara potensi dan impak sebenar.
Potensi pelaburan masih merupakan perancangan. Ia belum menjadi aktiviti ekonomi sebenar. Ia belum mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat. Ia belum menyumbang kutipan cukai. Ia belum menggerakkan rantaian pembekal tempatan atau memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Sebaliknya, setiap hari ribuan usahawan tempatan sedang membuka premis, menggaji pekerja, membayar cukai, mencarum KWSP dan PERKESO, membeli daripada pembekal tempatan, melatih bakat tempatan dan menggerakkan ekonomi negara tanpa banyak publisiti.
Mereka tidak mengugut untuk menarik pelaburan.
Mereka terus bangun setiap pagi, membuka premis, membayar gaji pekerja, membayar cukai dan terus membina ekonomi negara walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Mereka inilah yang menjadi nadi ekonomi Malaysia.
Dalam masa yang sama, kita juga wajar mengambil iktibar daripada pengalaman lalu. Negara pernah membuat pelaburan yang dilaporkan bernilai sekitar RM200 juta ke dalam syarikat luar negara, eFishery, yang kemudiannya berdepan dakwaan dan kontroversi berkaitan tadbir urus serta pelaporan kewangan. Apa juga keputusan akhirnya, pengalaman itu mengingatkan kita bahawa setiap ringgit yang dilaburkan perlu dinilai dengan penuh tanggungjawab.
Persoalannya bukan menolak pelaburan luar. Persoalannya ialah, adakah pada masa yang sama kita telah memberikan perhatian, keyakinan dan sokongan yang secukupnya kepada syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai potensi untuk menjadi juara serantau dan global?
Kerajaan telah mengumumkan pelbagai inisiatif untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), daripada pembiayaan, geran, pendigitalan, latihan, automasi hinggalah kepada pembangunan eksport.
Usaha ini amat penting dan perlu diteruskan.
Namun dalam masa yang sama, negara juga perlu lebih peka terhadap cabaran baharu yang dihadapi usahawan tempatan. Persaingan hari ini bukan lagi hanya sesama syarikat tempatan, tetapi dengan syarikat dan platform global yang mempunyai modal jauh lebih besar, akses teknologi yang lebih pantas serta kelebihan skala yang sukar ditandingi.
Kita tidak perlu menutup pintu kepada dunia.
Tetapi kita juga tidak boleh membuka pintu terlalu luas sehingga usahawan tempatan terpaksa bersaing di atas padang yang tidak sama rata.
Kita boleh belajar daripada beberapa negara jiran yang terus mengalu-alukan pelaburan asing, namun pada masa yang sama melaksanakan dasar dan kerangka kawal selia yang memastikan kepentingan usahawan tempatan terus dipelihara.
Mereka memastikan platform luar beroperasi secara adil, tidak mengenakan caj yang membebankan peniaga tempatan, mematuhi peraturan negara dan menyumbang kembali kepada ekonomi domestik.
Hakikatnya, usahawan Malaysia sendiri sudah pun berdepan cabaran yang sangat besar.
Kos operasi meningkat. Margin keuntungan semakin mengecil. Persaingan semakin sengit. Sukar mendapatkan pekerja yang berkualiti. Perubahan teknologi berlaku terlalu pantas. Akses kepada pembiayaan masih menjadi cabaran bagi ramai usahawan.
Sebab itu, hampir setiap minggu kita melihat ada syarikat yang mengumumkan penutupan operasi, pengecilan perniagaan atau kerugian yang besar. Di sebalik setiap syarikat yang ditutup, ada pekerja yang kehilangan pekerjaan, ada keluarga yang hilang sumber pendapatan dan ada impian yang terpaksa dihentikan.
Saya juga tahu ada yang akan berkata, “Bukankah ada Alumni Titan yang perniagaannya jatuh atau akhirnya terpaksa ditutup?”
Jawapan saya mudah. Ya, ada. Dan saya tidak pernah menafikannya.
Berniaga bukan satu perjalanan yang mudah. Saya sendiri telah melalui perjalanan ini hampir dua dekad. Saya tahu jatuh bangun adalah sebahagian daripada kehidupan seorang usahawan.
Tetapi satu perkara yang saya belajar ialah… dunia berubah terlalu pantas untuk kita berhenti belajar.
Sepanjang saya membimbing usahawan, saya melihat mereka yang terus berkembang ialah mereka yang terus menambah ilmu, mendapatkan pandangan, menyesuaikan strategi dan sanggup dibimbing mengikut perubahan zaman.
Sebaliknya, ada juga yang memilih untuk tidak lagi belajar, tidak lagi mendapatkan bimbingan atau merasakan mereka sudah cukup tahu. Apabila pasaran berubah, teknologi berubah dan tingkah laku pelanggan berubah… mereka akhirnya terpaksa berdepan cabaran itu bersendirian.
Sebab itu saya tidak pernah menjanjikan bahawa setiap usahawan akan berjaya. Tetapi saya sentiasa berusaha memastikan lebih ramai usahawan mempunyai ilmu, strategi, komuniti dan sistem sokongan yang meningkatkan peluang mereka untuk terus bertahan, berkembang dan membina syarikat yang lebih kukuh.
Atas sebab itulah, dasar negara bukan sekadar perlu menarik pelaburan baharu, tetapi juga memastikan usahawan tempatan yang sedang berjuang hari ini terus mampu bertahan, berkembang dan bersaing.
Persaingan adalah sesuatu yang sihat. Tetapi persaingan mestilah adil.
Apabila usahawan tempatan semakin kukuh, mereka akan terus menggaji rakyat Malaysia, membayar cukai, melahirkan lebih ramai pemimpin perniagaan, mengembangkan rantaian bekalan tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada generasi akan datang.
Hakikatnya, PMKS menyumbang hampir 40% kepada KDNK Malaysia. Ini bukan angka yang kecil. Ini adalah bukti bahawa masa depan ekonomi negara tidak hanya bergantung kepada syarikat gergasi atau pelaburan asing semata-mata, tetapi juga kepada kekuatan ratusan ribu usahawan tempatan yang bangun setiap pagi membuka kedai, kilang, pejabat dan syarikat mereka.
Sebab itu saya sentiasa percaya, setiap kali kita membantu seorang usahawan berkembang, kita sebenarnya sedang membantu sebuah keluarga.
Setiap kali sebuah syarikat tempatan menggaji seorang pekerja baharu, kita sebenarnya sedang membina masa depan sebuah keluarga.
Dan setiap kali kita memilih untuk memperkukuhkan usahawan Malaysia, kita sebenarnya sedang melindungi ekonomi negara.
Pelaburan asing amat penting. Tetapi membina usahawan tempatan adalah satu keperluan strategik negara. Kerana pelabur boleh datang dan pergi. Namun usahawan tempatan akan terus membina syarikat, menggaji rakyat, membayar cukai dan menyumbang kepada negara untuk generasi akan datang.
Apabila usahawan Malaysia berjaya, ekonomi Malaysia menjadi lebih kukuh. Apabila ekonomi Malaysia lebih kukuh, rakyat Malaysia juga akan lebih sejahtera.
Datuk Wira