Setiap kali saya bertemu usahawan, saya akan bertanya satu soalan yang nampak mudah.
“You betul-betul nak besarkan bisnes ini, atau sekadar mahu terus berniaga?”
Ramai yang pada mulanya tidak nampak bezanya. Hakikatnya, kedua-duanya sangat berbeza. Sebab itulah saya selalu melihat bisnes seperti sebuah sukan. Seseorang boleh sahaja turun ke padang, memakai jersi dan bermain setiap minggu. Namun, itu tidak menjadikan dia seorang atlet bertaraf dunia.
Atlet yang benar-benar mahu menjadi juara membuat keputusan yang berbeza sejak hari pertama. Cara mereka berlatih, cara mereka menjaga disiplin, cara mereka menerima kritikan dan cara mereka bangkit selepas kekalahan semuanya berbeza kerana sasaran mereka juga berbeza.
Begitu juga dalam dunia keusahawanan. Ramai usahawan sebenarnya hanya mahu menjalankan bisnes. Mereka mahu ada jualan, ada pelanggan dan memperoleh pendapatan yang lebih baik daripada makan gaji. Tiada yang salah dengan pilihan itu.
Namun, jika seseorang datang kepada saya dan berkata dia mahu membina sebuah syarikat yang mampu bertahan, berkembang dan memberi impak kepada lebih ramai orang, maka permainan yang bakal dimainkan juga berubah sama sekali.
Saya tidak boleh melatih seorang founder yang mahu berjaya, jadi ‘juara’ dengan cara yang sama seperti saya melatih seseorang yang sekadar mahu berada dalam permainan.
Sebab itu, sebelum bercakap tentang strategi pemasaran, jualan atau AI, saya lebih berminat memahami niat sebenar seorang founder. Adakah dia benar-benar sanggup membayar ‘harga’ tertentu untuk impiannya itu?
Kerana setiap tahap pertumbuhan memerlukan versi diri yang berbeza sebagai ‘driver’. Bisnes yang menghasilkan puluhan ribu ringgit sebulan memerlukan cara berfikir yang tertentu. Bisnes yang mencecah jutaan ringgit setahun pula menuntut tahap kepimpinan, disiplin dan kejelasan yang sama sekali berbeza. Kita tidak boleh mengharapkan keputusan bertaraf dunia jika masih berlatih dengan mentaliti pemain amatur.
Sebab itulah saya sering mengambil inspirasi daripada Sir Alex Ferguson. Kehebatan beliau bukan sekadar membawa kelab MU memenangi kejuaraan demi kejuaraan, tetapi membina budaya berprestasi tinggi yang mampu melahirkan pemain hebat secara konsisten. Beliau tidak membenarkan mana-mana individu, walau sebesar mana namanya sekali pun, mengatasi budaya pasukan yang sedang dibina.
Dalam bisnes juga begitu. Produk boleh berubah, pasaran akan berubah dan teknologi juga berubah. Tetapi budaya seorang founder terhadap pembelajaran, disiplin dan peningkatan diri akan sentiasa menentukan sejauh mana bisnes itu mampu pergi.
Akhirnya, saya percaya kejayaan sesebuah bisnes bukan ditentukan oleh sehebat mana permainan itu. Ia ditentukan oleh keputusan yang dibuat oleh founder sebelum dia melangkah masuk ke dalam padang.
Nak menjadi usahawan adalah satu pilihan. Tetapi memilih untuk berjaya adalah satu komitmen.
Datuk Wira