Rezeki Yang Paling Menenangkan Bukan Apa Yang Kita Miliki.

Tetapi Apa Yang Masih Mengalir Selepas Kita Tiada.

Semakin lama saya membimbing usahawan, semakin saya sedar bahawa ada satu soalan yang jarang benar-benar kita fikirkan ketika membina bisnes.

Apabila Allah SWT meluaskan rezeki kita, siapakah yang akan turut merasai nikmat daripada rezeki itu?

Ramai orang bekerja keras untuk membesarkan syarikat. Tiada yang salah dengan itu. Namun apabila perjalanan hidup semakin panjang, saya semakin yakin bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui angka jualan, keuntungan atau aset yang berjaya dikumpulkan. Kejayaan juga diukur melalui sejauh mana rezeki yang Allah SWT amanahkan kepada kita mampu memberi manfaat kepada manusia lain.

Sebab itulah saya sentiasa mengingatkan anak-anak didik saya agar bersedekah, membudayakan amalan memberi. Jangan tunggu sehingga menjadi terlalu kaya untuk bersedekah. Belajarlah memberi ketika kita sedang membina, kerana hati yang ikhlas berkongsi akan sentiasa dipersiapkan Allah SWT untuk menerima amanah yang lebih besar.

Alhamdulillah pagi tadi, tiga anak didik saya, Najib Assadok (Momentum Iyziq) serta Datuk Wira Ilaiaraja dan isteri, Datin Wira Sumitra (Nuetraa) menginfaqkan dua buggy untuk kegunaan para pengunjung Akademi Ilmi.

Mereka menyerahkan dua buggy electric kepada Akademi Ilmi, Sungai Petani, sebuah institusi ilmu yang diasaskan Ustaz Wadi Anuar.

Setiap minggu, ribuan masyarakat hadir ke sana untuk menuntut ilmu. Ada warga emas, ibu bapa yang membawa anak-anak, malah ada yang datang dari jauh semata-mata kerana dahagakan ilmu yang bermanfaat. Mungkin bagi sesetengah orang, buggy ini hanyalah sebuah kenderaan.

Namun bagi mereka yang perlu berjalan jauh dari kawasan parkir ke madrasah, ia membawa makna yang jauh lebih besar.

Ia memudahkan langkah mereka menuju ke majlis ilmu. Ia mengurangkan kesukaran mereka yang uzur.

Dan insha-Allah, setiap kali buggy itu bergerak membawa seseorang menuju kepada majlis ilmu, mudah-mudahan pahala itu terus mengalir kepada mereka yang memilih untuk berkongsi rezeki.

Bukankah itulah antara pelaburan terbaik yang boleh dibuat oleh seorang usahawan?

Allah SWT sendiri berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 261 hingga 262 bahawa orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah diibaratkan seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan pada setiap tangkai terdapat seratus biji. Allah SWT melipatgandakan ganjaran kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, manakala mereka yang memberi dengan ikhlas tanpa mengungkit pemberiannya dijanjikan ganjaran di sisi-Nya, tanpa rasa takut dan tanpa dukacita.

Ayat ini sentiasa mengingatkan saya bahawa keberkatan tidak boleh diukur dengan angka semata-mata. Ada rezeki yang Allah SWT gandakan melalui ketenangan hati, kesihatan, keluarga yang baik, pasukan yang setia dan peluang untuk terus memberi manfaat kepada lebih ramai manusia.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pengasas & Pengarah Eksekutif Go Auto, @Wan Ahmad Wan Omar, serta seluruh pasukannya yang menjadi penganjur bersama majlis ini. Mereka bukan sahaja berjaya membangunkan kemudahan pengeluaran kenderaan komersial dan buggy di Gurun, Kedah, malah kini sedang memperluaskan kapasiti pengeluarannya bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.

Lebih membanggakan, buggy yang diinfaqkan hari ini merupakan produk buatan anak tempatan yang dibangunkan untuk pasaran eksport ke Amerika Syarikat. Saya mendoakan agar usaha Wan Ahmad bersama seluruh pasukan terus dipermudahkan Allah SWT, dikurniakan keberkatan dalam setiap urusan dan menjadi asbab kepada lebih banyak peluang pekerjaan, pertumbuhan industri negara serta manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat.

Saya sentiasa percaya bahawa seorang usahawan bukan hanya dipertanggungjawabkan untuk membina syarikat yang berjaya.

Lebih besar daripada itu, kita dipertanggungjawabkan untuk membina kehidupan yang memberi manfaat kepada orang lain.

Kerana akhirnya, harta yang kita kumpulkan akan ditinggalkan, tetapi setiap manfaat yang lahir daripada harta yang kita infakkan akan terus menjadi bekalan yang mengiringi perjalanan kita di hadapan Allah SWT.

Semoga Allah SWT menerima amal jariah semua penyumbang, memberkati Alademi Ilmi, memperluaskan lagi manfaatnya kepada umat dan mengurniakan kepada kita semua hati yang sentiasa ringan untuk memberi apabila dikurniakan rezeki.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Datuk Wira

Jika anda sedang membina perniagaan dan berdepan cabaran tertentu. Saya dan team RichWorks nak bantu anda untuk lebih jelas dan tahu keadaan sebenar perniagaan melalui laporan percuma – Business Diagnostic Report (BDR) khas buat anda.

Kenal pasti di mana tahap perniagaan anda, melihat gap atau ‘kelemahan’ yang ada menyebabkan perniagaan berdepan cabaran berkenaan. Klik butang di bawah ini sekarang.

Add comment: