Kenapa saya buat apa yang saya buat?
Tiga minggu kebelakangan ini, saya ke Sydney dan berulang-alik ke Singapura untuk belajar di SMU dan INSEAD. Saya masih akan banyak travel untuk belajar dalam beberapa bulan dan tahun akan datang, mungkin sehingga 2029.
Saya teruja dengan semua yang sedang saya pelajari. Tetapi saya juga manusia biasa. Ada hari saya penat. Ada masa saya rindu rumah dan tertanya-tanya sama ada saya sudah cukup meluangkan masa bersama keluarga.
Kemudian saya tengok gambar ini bersama Uthman, anak bongsu saya yang berusia lapan tahun. Dia ketawa dalam pelukan saya. Saat seperti ini mengingatkan saya bahawa di sebalik semua rancangan besar, ada perkara kecil yang saya tak mahu terlepas pandang.
Saya mahu ketujuh-tujuh anak saya melihat ayah mereka terus belajar, terus mencuba dan terus memperbaiki diri, berapa pun usianya. Saya mahu jadi inspirasi kepada mereka melalui cara saya menjalani hidup. Dan saya mahu mereka tahu bahawa saya sayang mereka, walau sesibuk mana pun perjalanan ini.
Hari ini saya sudah kembali duduk dalam meeting. Esok pula hari yang besar buat kami di RichWorks, insya-Allah.
Selepas 18 tahun, kami meninggalkan pejabat shoplot RichWorks di Jalan Badminton, Seksyen 13, Shah Alam. Di situlah kami bermula. Di situlah kami membina pasukan, melalui pelbagai cabaran dan perlahan-lahan membesarkan RichWorks. Banyak kenangan di tempat itu, dan saya akan sentiasa bersyukur kerana pernah memanggilnya rumah kami.
Bermula esok, kami akan beroperasi di ibu pejabat baharu, RichQ, di tingkat 29, Menara Mercu Maybank, Seksyen 7, Shah Alam. Alhamdulillah, seluruh tingkat itu kini menjadi rumah baharu RichWorks. Kami mahu menjadikannya pusat pembangunan SME di Malaysia dan ibu pejabat untuk pengembangan kami ke ASEAN, insya-Allah.
Bila saya fikir tentang Uthman, anak-anak saya, dan semua orang yang telah membina RichWorks bersama saya, saya kembali ingat kenapa saya teruskan. Saya mahu terus belajar supaya saya boleh memimpin dengan lebih baik, membina sesuatu yang memberi manfaat, dan suatu hari nanti melihat generasi selepas kami membawanya lebih jauh.
Bila anda rasa penat, tanya diri anda: Kenapa anda bermula? Dan siapa yang membuatkan anda mahu terus melangkah?
Datuk Wira
Jika anda sedang membina perniagaan dan berdepan cabaran tertentu. Saya dan team RichWorks nak bantu anda untuk lebih jelas dan tahu keadaan sebenar perniagaan melalui laporan percuma – Business Diagnostic Report (BDR) khas buat anda.
Kenal pasti di mana tahap perniagaan anda, melihat gap atau ‘kelemahan’ yang ada menyebabkan perniagaan berdepan cabaran berkenaan. Klik butang di bawah ini sekarang.