Semalam, PMX dah umumkan beberapa langkah kesiapsiagaan negara berdepan krisis tenaga global dengan kata mudahnya untuk pastikan kita mempunyai minyak untuk kegunaan domestik. Antaranya dari 300 liter subsidi bagi Budi95 kepada 200 liter dan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam secara berperingkat dan terpilih bagaimanapun sektor swasta digesa juga laksanakan BDR.
Inilah realitinya sepertimana saya kongsikan dalam sesi Podcast Double Ace bersama Dato’ AC Mizal pada Selasa lalu. Banyak aspek dikupas, antaranya saya juga sarankan untuk kerajaan melihat pilihan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi anak-anak kita.
Mulakan dengan kakitangan awam dengan segera dan kemudian diperluaskan ke sektor swasta juga. Saya pasti ini boleh bantu untuk mengurangkan lagi pergerakan dan penggunaan minyak yang banyak.
Semua ini perlu dipertimbangkan untuk pastikan kita dapat bertahan dengan lebih lama lagi. Walaupun ini hanya langkah jangka pendek, namun kita kena lakukannya. Tak mustahil ya, apa yang sedang berlaku di negara luar juga akan terjadi di negara kita.
Kita mungkin masih dalam mood raya. Masih lagi sibuk dengan open house, ziarah keluarga dan suasana yang sepatutnya mengembirakan dan tenang. Tapi di sebalik semua itu, ada krisis yang mungkin ramai tak nampak lagi kesannya.
Namun bagi mereka yang faham ekonomi dan bisnes, ini bukan perkara kecil. Ini adalah sesuatu yang patut kita semua bimbangkan dan buat sesuatu.
Sesetengah usahawan fikir, perang dan konflik yang berlaku jauh dari Malaysia tak beri sebarang kesan kepada bisnes mereka. Tapi jangan lupa, dunia hari ini saling berkait.
Apa yang berlaku di luar negara akan beri kesan kepada harga minyak, kos logistik, supply bahan mentah, nilai mata wang dan harga barang.
Dan akhirnya, kesan itu akan sampai kepada bisnes anda.
Bila harga minyak naik, kos delivery, shipping, supplier semua akan naik. Bila semua kos meningkat, kos operasi bisnes akan turut meningkat secara menyeluruh.
Kita kena faham satu perkara penting. Dalam ekonomi, satu perubahan kecil boleh mencetuskan kesan besar.
Itu yang sedang berlaku dan ini baru permulaan. Kalau krisis ini berpanjangan, ini antara realiti yang perlu kita hadapi:
- Kos akan terus naik. Dah ada bisnes yang dah pun terima notis daripada kilang tentang kenaikan kos sehingga 30%.
- Customer akan lebih berhati-hati. Bila ekonomi tak stabil, orang mula berjimat, kurangkan pembelian dan fokus pada keperluan sahaja. Produk “nice to have” akan terkesan dulu.
- Margin akan tertekan. Bila kos naik tapi jualan tak naik, apa akan jadi? Profit usahawan makin kecil dan ada yang mula rugi.
Dan yang paling bahaya bila bisnes nampak hidup, tapi sebenarnya sedang perlahan-lahan mati!
Sebab itu saya kata dalam bisnes, kita kena ada backup plan. Kalau bisnes tak berjalan lancar, apa plan B, C dan seterusnya?
Masalah ramai usahawan hari ini, hanya ada Plan A dan tak nak buat persediaan awal. Bila krisis makin teruk, mulalah panik dan lambat buat tindakan. Sedangkan bisnes kalau lambat buat tindakan, boleh rugi!
Jangan tunggu sampai cashflow kering baru nak bertindak.
Sebelum ini mungkin fokus kita untuk grow, expand dan scale ke tahap lebih tinggi. Tetapi dalam krisis yang saya lihat waktu ini, usahawan perlu tukar kepada optimize, stabilize dan strengthen.
Krisis tidak pernah tunggu kita bersedia. Tetapi kita boleh pilih untuk bersedia sebelum ia memaksa kita berubah!
Datuk Wira Dr. Azizan Osman,
Mentor Usahawan Jutawan