Alhamdulillah, ketika menulis ini… saya telah selamat sampai di Johor Bahru untuk mengendalikan program 4-hari Inner Circle Meeting (ICM) Titan bersama lebih 200 usahawan jutawan dari seluruh negara. Jauh betul perjalanan pulang kali ini dari Manchester ke Kuala Lumpur. Sepatutnya saya berlepas pada hari Jumaat sekitar jam 9 malam dan tiba di KLIA sekitar jam 7 petang keesokan harinya. Tetapi disebabkan pesawat dari Manchester ke Abu Dhabi mengalami kelewatan, saya terlepas penerbangan sambungan ke Kuala Lumpur. Akhirnya… terpaksalah transit di Abu Dhabi lebih 12 jam. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan dan sekarang saya sudah berada di hotel lokasi ICM Johor Bahru.
Sambil berehat seketika sebelum sesi esok, saya terbaca satu quote yang membuatkan saya berfikir…
“Good people see the good and bring out the best in other people.”
Saya baca beberapa kali. Kemudian saya terfikir… kalau itu benar… apa pula lawannya? Mungkin… “Negative people see the worst and bring out the worst in other people.” Bukankah itu yang sering berlaku? Orang yang sentiasa negatif lebih mudah nampak kelemahan, kesilapan dan kekurangan orang lain. Mereka lebih suka mengkritik daripada membina. Lebih cepat menghukum daripada memahami.
Saya terlibat dalam dunia latihan dan pembangunan usahawan hampir 18 tahun. Sepanjang tempoh itu, saya bertemu puluhan ribu manusia daripada pelbagai latar belakang. Hakikatnya… kebanyakan mereka tidak datang kepada saya ketika mereka sedang berjaya. Mereka datang ketika hidup sedang bergelut. Ada yang hampir muflis. Ada yang rumah tangga bermasalah. Ada yang hilang keyakinan. Ada yang berada pada titik paling rendah dalam hidup mereka.
Kalau saya hanya melihat keadaan mereka ketika itu… mungkin saya juga akan berkata, “Tak boleh berjaya ni…” Tetapi saya memilih untuk tidak menghukum masa depan seseorang berdasarkan keadaan dirinya pada hari itu. Saya percaya setiap manusia ada potensi yang Allah kurniakan. Ada yang sudah terserlah… ada yang masih tersembunyi. Kadang-kadang potensi itu hanya menunggu seseorang yang percaya kepada mereka sebelum mereka sendiri percaya kepada diri sendiri.
Dan Alhamdulillah… sepanjang perjalanan ini saya melihat sendiri perkara itu berlaku berkali-kali. Ramai yang suatu ketika dahulu datang dengan hutang yang besar… hari ini membina syarikat bernilai jutaan ringgit. Ramai yang dahulu takut berniaga… hari ini membuka peluang pekerjaan kepada ratusan orang. Ramai yang dahulu hampir menyerah kalah… hari ini menjadi inspirasi kepada orang lain. Bukan kerana mereka berubah dalam sehari… tetapi kerana mereka memilih untuk tidak menyerah, dan ada insan yang terus percaya mereka masih boleh bangkit.
Kemudian saya selalu tertanya… berapa ramai pula manusia di luar sana yang gagal bukan kerana mereka tidak mempunyai potensi… tetapi kerana sepanjang hidup mereka, tiada siapa yang pernah benar-benar percaya kepada mereka? Tiada siapa yang pernah berkata… “Aku percaya kau boleh.” Sebaliknya… yang mereka dengar hanyalah kritikan, sindiran, cemuhan dan kata-kata yang mematahkan semangat.
Ketika itulah saya sedar… kadang-kadang satu perkataan boleh menjatuhkan seseorang. Dan kadang-kadang… satu perkataan juga mampu mengubah seluruh kehidupannya. Bukankah hampir setiap daripada kita masih ingat kata-kata seseorang yang pernah menaikkan semangat kita? Dan kita juga masih ingat kata-kata seseorang yang hampir mematahkan seluruh keyakinan kita.
Sebab itu saya percaya… apa yang kita nampak pada orang lain sebenarnya bukan sekadar menceritakan siapa mereka. Tetapi lebih banyak menceritakan siapa diri kita. Orang yang sentiasa melihat peluang akan lebih mudah nampak potensi. Orang yang sentiasa mencari kesalahan akhirnya hanya akan menemui lebih banyak kesalahan. Kadang-kadang kita fikir kita sedang menilai orang lain… sedangkan sebenarnya kita sedang menunjukkan keadaan hati kita sendiri.
Saya bukan mengatakan kita perlu menutup mata terhadap kelemahan seseorang. Tidak. Kelemahan tetap perlu diperbaiki. Kesilapan tetap perlu ditegur. Tetapi caranya menentukan sama ada kita sedang membina manusia… atau meruntuhkan manusia. Ada beza antara membetulkan seseorang kerana kita mahu dia menjadi lebih baik… dengan menjatuhkan seseorang hanya kerana kita mahu diri kita nampak lebih baik.
Apapun pilihan anda… saya percaya kita akan dapat balik. Kalau kita memilih untuk membina… Allah akan hadirkan orang yang membina kita. Kalau kita memilih untuk menguatkan… Allah akan hadirkan orang yang menguatkan kita. Kalau kita memilih untuk sentiasa melihat potensi orang lain… insya-Allah akan ada juga orang yang melihat potensi dalam diri kita.
Dan jangan pernah bimbang dengan kata-kata mereka yang negatif… kerana akhirnya mereka tidak membina hidup kita. Mereka hanya memberi pandangan. Kitalah yang membuat keputusan. Kitalah yang memilih untuk bangkit. Kitalah yang bekerja keras. Dan kitalah yang akhirnya membina kehidupan kita sendiri.
Semoga Allah menjadikan kita orang yang sentiasa membina dan menyokong manusia lain untuk bangkit. Kerana hidup ini tidak pernah kekurangan manusia yang suka mengkritik, menghina dan menjatuhkan… tetapi kita sentiasa memerlukan lebih ramai manusia yang sanggup menyokong, menguatkan dan meraikan kejayaan orang lain. Kerana nak menjatuhkan seseorang itu mudah… tetapi untuk membantu seseorang bangkit semula, kadang-kadang mengambil masa bertahun-tahun. Bukankah nak jatuh itu mudah… tetapi nak bangkit semula, terlalu payah!
Datuk Wira