Wahai Usahawan dan Pemilik Perniagaan,
Ada satu perkara yang saya fikirkan setiap kali membuka Waze sebelum memulakan perjalanan. Sebenarnya saya sudah tahu jalan untuk sampai ke destinasi.
Namun saya tetap membuka Waze kerana saya bukan sekadar mahu tahu di mana saya berada hari ini. Saya mahu tahu apa yang sedang menunggu saya di hadapan.
Adakah ada kemalangan? Adakah laluan biasa sudah mula sesak? Adakah ada jalan yang lebih baik untuk sampai ke destinasi dengan lebih cepat?
Semakin saya memikirkannya, semakin saya sedar bahawa seorang founder juga sepatutnya berfikir dengan cara yang sama.
Malangnya, ramai usahawan hanya melihat apa yang sedang berlaku di hadapan mata.
Mereka mula bertindak apabila jualan merosot, pelanggan mula berkurangan atau pesaing sudah melancarkan produk yang lebih baik.
Ketika itu, mereka sebenarnya bukan lagi memimpin pasaran. Mereka hanya sedang mengejar keadaan.
Sebenarnya, antara kelebihan paling bernilai yang boleh dimiliki oleh seorang usahawan ialah keupayaan membaca corak perubahan sebelum perubahan itu benar-benar berlaku.
Ia bukan tentang meramal masa depan secara ajaib, tetapi tentang mengumpulkan maklumat, memahami coraknya dan membuat jangkaan yang lebih baik sebelum orang lain bertindak.
Sebab itulah saya sentiasa percaya bahawa founder yang hebat tidak hidup dalam mod reaktif. Mereka hidup dalam mod antisipasi.
Mereka sentiasa bertanya, “Apakah yang sedang berubah dalam pasaran?”
Mereka melihat tingkah laku pelanggan, memerhatikan pergerakan pesaing, mengkaji perkembangan teknologi dan memahami bagaimana semua faktor itu boleh mempengaruhi bisnes mereka enam bulan atau setahun dari sekarang.
Itulah yang saya pelajari ketika menjadi penganalisis pelaburan suatu ketika dulu. Tugas saya bukan sekadar membaca angka. Tugas saya ialah memahami apa yang sedang dibentuk oleh angka-angka tersebut dan apakah kemungkinan yang bakal berlaku selepas itu. Kemahiran itulah yang akhirnya banyak membantu saya ketika membimbing usahawan daripada pelbagai industri.
Saya juga melihat perkara yang sama dalam perjalanan ramai usahawan yang berjaya. Mereka tidak sentiasa membuat keputusan yang sempurna, tetapi mereka mempunyai disiplin untuk memahami keadaan dalaman syarikat mereka, membaca arah pasaran dan mengenal pasti risiko lebih awal sebelum mengambil tindakan. Apabila ketiga-tiga perkara ini dilakukan secara konsisten, keberangkalian untuk membuat keputusan yang lebih tepat menjadi jauh lebih tinggi.
Sebab itu saya ingin mengajak anda bertanya satu soalan yang mudah.
Jika Waze sentiasa bantu anda memilih laluan terbaik untuk perjalanan hari ini, apakah “Waze” yang sedang membantu anda membaca arah bisnes anda untuk enam hingga dua belas bulan akan datang?
Jangan tunggu sehingga pelanggan mula meninggalkan anda untuk mengubah strategi.
Jangan tunggu sehingga pasaran berubah untuk mula belajar dan jangan tunggu sehingga bisnes mula kehilangan momentum untuk bertanya apa yang sepatutnya dilakukan.
Founder yang hebat bukan sekadar pandai menyelesaikan masalah. Mereka membina keupayaan untuk melihat masalah sebelum ia menjadi krisis kerana pada akhirnya, masa depan bukan dimenangi oleh mereka yang paling pantas bertindak.
Masa depan lebih banyak dimenangi oleh mereka yang paling awal memahami perubahan. Sebab itu sebagai Mentor, saya sentiasa menyediakan business owner lebih awal bagi berdepan cabaran atau situasi yang dijangka akan melanda mereka.
Datuk Wira
Jika anda sedang membina perniagaan dan berdepan cabaran tertentu. Saya dan team RichWorks nak bantu anda untuk lebih jelas dan tahu keadaan sebenar perniagaan melalui laporan percuma – Business Diagnostic Report (BDR) khas buat anda.
Kenal pasti di mana tahap perniagaan anda, melihat gap atau ‘kelemahan’ yang ada menyebabkan perniagaan berdepan cabaran berkenaan. Klik butang di bawah ini sekarang.