KENYATAAN RASMI: Penjelasan Akademik Berhubung Gelaran, Artikel Jurnal & Konvokesyen LL.M

Jul 27, 2025

Saya ingin memberikan penjelasan rasmi berhubung tiga (3) isu yang telah menjadi perhatian dan perbincangan di media sosial serta komuniti akademik: penggunaan gelaran “Datuk Wira Dr” dalam artikel jurnal yang diterbitkan, susunan nama penulis dalam artikel tersebut yang berkait dengan penyelidikan PhD saya, serta dakwaan berkenaan konvokesyen Master of Laws (LL.M) saya di United Kingdom.

Latar Penyelidikan dan Artikel Diterbitkan

Artikel ini merupakan lanjutan daripada penyelidikan PhD saya yang telah disempurnakan secara rasmi di Asia e University (AeU) pada tahun 2022. Tajuk tesis saya ialah:

“Effect of Business Coaching on Growth and Performance and The Moderating Role of Competitive Advantage in Small Medium Enterprises in Malaysia.”

Saya telah menyempurnakan kesemua keperluan akademik termasuk proposal defence, viva voce, pembetulan, dan menerima pengiktirafan kelulusan secara rasmi.

Artikel ini dibangunkan secara bebas selepas pengajian tamat, melalui peluasan terhadap model dan pendekatan metodologi bersama dua penyelidik akademik berpengalaman. Oleh itu, penyelia asal PhD saya tidak terlibat secara langsung dalam penulisan artikel ini.

Saya kini sedang menyiapkan empat (4) lagi artikel penyelidikan bersama pelbagai kumpulan penyelidik, termasuk bekas penyelia saya serta penyelia semasa saya di Universiti Putra Malaysia (UPM). Artikel-artikel ini berada di pelbagai fasa penyelidikan dan penilaian; beberapa daripadanya kini hampir diterima oleh jurnal terindeks seperti MDPI dan Elsevier.

Artikel yang diterbitkan di Cogent ini hanyalah salah satu daripada lima (5) kertas kerja yang sedang dikembangkan dengan matlamat memperkukuh hubungan antara teori akademik dan amalan industri sebenar.

Tanggungjawab Penulis dan Isu Gelaran

Saya merupakan penulis utama (principal author) dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap proses penyerahan dan semakan akhir artikel. Penggunaan gelaran “Datuk Wira Dr” dalam artikel berlaku apabila sistem jurnal menarik maklumat secara automatik daripada profil ORCID saya. Saya akui ini merupakan kekhilafan saya kerana tidak menyemak dengan lebih teliti konfigurasi ORCID pada waktu tersebut.

Sebagai langkah pematuhan kepada etika penerbitan akademik antarabangsa, saya telah mengambil tindakan segera untuk membuang gelaran bukan akademik daripada profil tersebut. Profil rasmi saya boleh dirujuk di sini:
👉 https://orcid.org/0009-0003-5104-2876

Prinsip Peribadi

Dalam setiap keputusan dan tindakan, saya berusaha berpegang teguh kepada sabda Nabi Muhammad SAW:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.”

Prinsip ini menjadi panduan utama dalam kehidupan dan kerjaya saya, termasuk dalam usaha menyumbang kepada dunia akademik dan pembangunan keusahawanan melalui ilmu yang sahih, beretika dan bermanfaat.

Saya percaya bahawa pendidikan, penyelidikan dan perkongsian ilmu bukan sahaja usaha duniawi, malah satu bentuk ibadah sekiranya dilaksanakan dengan niat yang ikhlas dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Komitmen Akademik

Saya menghargai segala maklum balas membina daripada komuniti akademik dan terbuka untuk sebarang perbincangan ilmiah yang dapat meningkatkan mutu penyelidikan dan penyampaian ilmu. Saya akan terus komited untuk menghasilkan karya-karya akademik berkualiti, berintegriti, dan memberi nilai tambah kepada ekosistem keusahawanan dan ilmiah.

Saya berharap kenyataan ini dapat memberi pencerahan dan menyatukan kembali perbincangan ilmiah kepada landasan yang adil dan objektif.

Isu Konvokesyen LL.M (Corporate Governance)

Selain isu berkaitan artikel jurnal, terdapat juga dakwaan daripada sesetengah pihak bahawa gambar konvokesyen saya di University of Cumbria pada 16 Julai 2025 adalah palsu dan dihasilkan menggunakan teknologi AI.

Untuk makluman, saya memulakan pengajian Master of Laws (LL.M) dalam bidang Corporate Governance di University of Cumbria pada tahun 2022 dan berjaya menamatkannya pada tahun 2024. Sesi konvokesyen rasmi saya telah berlangsung di Carlisle, United Kingdom, pada 16 Julai 2025.

Segala maklumat dan dokumentasi pengajian adalah sah dan boleh disahkan secara rasmi dengan pihak universiti sekiranya diperlukan. Untuk pengesahan, sila hubungi saluran rasmi berikut:

University of Cumbria
📧 Email: [email protected]
🌐 Laman web: www.cumbria.ac.uk

Pengesahan & Rujukan Rasmi

Asia e University (AeU)
📞 Tel: +603-2785 0000
📧 Emel: [email protected]
🌐 Laman web: www.aeu.edu.my

Status kelulusan PhD saya boleh disemak melalui sistem eScroll oleh Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE):
👉 https://great.mohe.gov.my/Awards

Terima kasih di atas perhatian dan harap maklum.

Datuk Wira Dr Azizan Osman

KUASAI POTENSI SEBENAR DIRI ANDA DENGAN TRANSFORMASI360

Transformasi360 bukan sekadar program. Ia adalah panggilan untuk bangkit. Untuk kembali berdiri, walau diuji. Untuk melawan arus hidup yang menggoncang.

TRANSFORMASI360 ialah satu-satunya program di Malaysia yang menggabungkan ilmu kejayaan & kewangan dalam satu pendekatan holistik yang terbukti.

Baca artikel yang lain

0 Komen

Hantar Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMS