Nampak Tak Betapa Banyaknya Dunia Sudah Berubah?

Nampak tak betapa banyaknya dunia sudah berubah?

Sebab tu, saya selalu berpesan kepada leaders, eksekutif, profesional dan pemilik bisnes supaya jangan pernah berhenti belajar. Malah, lebih baik jika setiap tahun kita menetapkan apakah ilmu dan kemahiran baru yang nak dipelajari kerana dunia tak akan berhenti dan menunggu kita.

Cuba kita fikirkan sejenak. Dalam tempoh hanya 10 tahun, terlalu banyak perkara telah mengubah cara kita hidup, bekerja dan menjalankan bisnes.

Dulu, tiada Grab, pembayaran tanpa tunai belum menjadi kebiasaan. Orang ramai belum membeli hampir segala-galanya secara online, apatah lagi membuat pesanan terus dari China hanya dengan beberapa klik. Kebanyakan daripada kita masih membawa dompet yang penuh dengan wang tunai.

Telefon kita dulu hanyalah telefon. Hari ini, telefon sudah menjadi pejabat, bank, kamera, televisyen, pusat beli-belah dan juga pembantu AI kita. Dulu, kita perlu beratur di bank atau mesin ATM, menempah tiket penerbangan melalui ejen pelancongan dan menunggu teksi di tepi jalan. Untuk memulakan bisnes pula, kebiasaannya kita perlu menyewa kedai, kiosk atau membuka gerai.

Hari ini, hampir semuanya boleh dilakukan melalui sebuah telefon pintar.

Orang ramai juga tidak lagi hanya bergantung kepada Google untuk mendapatkan jawapan. Ramai yang kini menggunakan ChatGPT dan pelbagai aplikasi AI untuk membantu dalam pemasaran, penyelidikan, penulisan, perancangan bisnes, analisis data, malah membuat keputusan dalam kehidupan.

Nampak tak? Dunia benar-benar sudah berubah. Apa yang kita lihat sepanjang 10 tahun yang lalu hanyalah permulaan dan saya percaya 10 tahun yang akan datang akan berubah dengan jauh lebih pantas.

Jadi, saya sangat percaya bahawa saat kita berhenti belajar, kita sebenarnya bukan sekadar kekal di tempat yang sama. Kita sedang mula ketinggalan.

Sekiranya kita masih menguruskan bisnes menggunakan ilmu semalam, strategi semalam dan cara berfikir semalam, semakin lama semakin sukar untuk kita bertahan. Bukan kerana kita tidak berkebolehan, tetapi kerana pesaing kita tidak pernah berhenti upgrade diri.

Mereka terus belajar, melakukan inovasi, menghasilkan produk yang lebih baik, memberikan pengalaman yang lebih baik dan sentiasa memberi lebih banyak sebab untuk pelanggan memilih mereka.

Kita juga perlu terus belajar kerana kekurangan ilmu sering menyebabkan kita membuat keputusan dan tindakan yang salah. Adakalanya kita gagal bukan kerana kita tidak bekerja keras, tetapi kerana kita tidak tahu bahawa sebenarnya ada cara yang lebih baik.

Ilmu dan mentor ibarat GPS. Ia membantu kita mengelakkan jalan yang salah dan menunjukkan laluan yang lebih baik. Namun, GPS hanya mampu menunjukkan arah. Sekiranya kita tidak menghidupkan enjin dan mula bergerak, kita tetap tidak akan sampai ke destinasi.

Begitu juga dalam bisnes dan kehidupan.

Membaca buku, menghadiri seminar, menonton video dan menggunakan AI semuanya sangat membantu, tetapi semua itu masih belum mencukupi sekiranya kita tidak bertindak.

Hasil hanya akan datang apabila ilmu diterjemahkan kepada tindakan.

Berita baiknya, proses pembelajaran hari ini menjadi jauh lebih mudah. Buku, podcast, YouTube, kelas online, webinar, ChatGPT dan pelbagai aplikasi AI tersedia di hujung jari. Malah, sebahagian besarnya boleh digunakan secara percuma.

Namun, cabaran sebenar hari ini bukan lagi untuk mencari maklumat. Cabaran sebenar ialah memilih ilmu yang betul, daripada orang yang betul, pada waktu yang betul.

Kerana bukan semua maklumat itu sebuah kebijaksanaan, dan bukan semua nasihat sesuai dengan perjalanan kita.

Jadi, teruskan belajar, teruskan memperbaiki diri dan jangan berhenti mengambil tindakan.

Kerana masa depan kita bukan ditentukan oleh sebanyak mana yang kita tahu, tetapi oleh apa yang kita pilih untuk lakukan dengan ilmu yang kita miliki.

Datuk Wira

Add comment: