Ramai usahawan gagal bukan kerana ekonomi semata-mata. Mereka gagal apabila sangkaan terhadap masa depan lebih dipengaruhi oleh ketakutan
Malam tadi saya berada dalam penerbangan menuju ke London. Pejam celik Q3 2026 dah bermula dan insha-Allah, esok saya akan menghadiri majlis konvokesyen Global Master of Business Administration di Alliance Manchester Business School, The University of Manchester.
Dalam penerbangan yang mengambil masa berjam-jam ini, saya terpandang sebuah buku nota dan sebatang pen yang disediakan di hadapan tempat duduk. Seperti kebiasaan sejak bertahun-tahun dulu, saya mula menulis semula impian dan matlamat saya.
Ramai orang menyangka impian hanya perlu ditulis sekali, biasanya pada awal tahun. Saya melihatnya sedikit berbeza. Setiap kali saya menulis semula apa yang ingin dicapai, saya bukan sekadar menyenaraikan sasaran baharu, tetapi sedang menyemak semula cara saya berfikir. Adakah impian itu masih cukup besar? Adakah saya masih benar-benar percaya bahawa ia boleh dicapai?
Saya tahu ramai usahawan sedang memikirkan tentang peningkatan kos operasi, kadar faedah, kuasa beli pengguna dan ketidaktentuan ekonomi global. Tanpa sedar, kebimbangan itu mula bertukar menjadi satu bentuk sangkaan. Mereka mula berkata kepada diri sendiri bahawa tahun ini mungkin lebih sukar, sasaran mungkin tak akan capai dan keadaan pasaran tidak lagi menyebelahi mereka. Hakikatnya, sangkaan seperti inilah yang sedikit demi sedikit membentuk tindakan dan akhirnya menentukan keputusan yang mereka buat.
Beberapa hari lalu, ketika sesi Podcast Double Ace, Norman Hakim berkongsi pengalaman kali pertama menyertai program RichWorks. Dia mengakui agak terkejut apabila melihat peserta menjerit perkataan “SWITCH”. Bagi orang yang pertama kali melihatnya, ia mungkin kelihatan luar biasa. Namun bagi saya, switch bukan sekadar satu aktiviti. Ia adalah simbol kepada keberanian untuk menukar cara kita melihat sesuatu keadaan. Daripada terlalu fokus kepada masalah, kita memilih untuk mencari peluang. Daripada membiarkan ketakutan menguasai fikiran, kita memilih untuk membina keyakinan bahawa setiap cabaran pasti mempunyai hikmahnya.
Sepanjang lebih 18 tahun membimbing usahawan, saya melihat satu perkara yang sangat konsisten. Founder yang berjaya bukan kerana mereka sentiasa berniaga dalam keadaan ekonomi yang baik, tetapi kerana mereka tidak membenarkan keadaan ekonomi menentukan cara mereka berfikir. Mereka memilih untuk bertindak berdasarkan strategi, data dan usaha yang bersungguh-sungguh, tetapi dalam masa yang sama mereka sentiasa memelihara sangkaan baik kepada Allah.
Bukankah Allah sendiri berfirman dalam hadis qudsi, “Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku.” Semakin saya memahami maksud hadis ini, semakin saya sedar bahawa sangkaan bukan sekadar lintasan fikiran. Ia membentuk doa, mempengaruhi tindakan dan akhirnya mencorakkan masa depan kita.
Sebab itu, di ketinggian lebih 35,000 kaki saya tidak sekadar menulis semula sasaran untuk Q3. Saya sedang menulis semula keyakinan saya. Saya sedang mengingatkan diri bahawa apa juga keadaan ekonomi yang sedang berlaku, tanggungjawab saya adalah terus berusaha sebaik mungkin, terus belajar, terus membimbing, terus memperbaiki diri dan terus bersangka baik kepada Allah. Selebihnya saya serahkan kepada-Nya.
Kerana akhirnya saya belajar satu perkara. Keadaan ekonomi mungkin mempengaruhi perjalanan sesebuah bisnes, tetapi yang menentukan sejauh mana kita mampu melangkah ialah cara kita melihat masa depan, keberanian untuk terus bertindak dan keyakinan bahawa Allah sentiasa membuka jalan kepada mereka yang tidak pernah berhenti berusaha dan bersangka baik kepada-Nya.
-Datuk Wira