Siapa Kenal “Roger Bannister” Malaysia?
Korang pernah dengar kisah Roger Bannister? Sure tak ramai kenal….
Beliau ialah manusia pertama dalam sejarah dunia yang berjaya berlari satu batu (1.6km) dalam masa bawah 4 minit.
Hari ini kita mungkin rasa ia perkara biasa. Tetapi pada zaman itu, hampir semua orang percaya ia mustahil.
Ramai pakar sukan, jurulatih malah atlet sendiri percaya tubuh manusia tidak mampu melakukannya. Seolah-olah ada satu had yang tidak boleh ditembusi. Tetapi pada tahun 1954, Roger Bannister membuktikan semua orang silap.
Yang lebih menarik, hanya 46 hari selepas itu, rekod tersebut dipecahkan pula oleh orang lain. Selepas itu semakin ramai atlet berjaya melakukannya.
Apa yang berubah? Bukan badan manusia….
Yang berubah ialah kepercayaan manusia.
Bila seseorang berjaya membuktikan sesuatu itu boleh dilakukan, tiba-tiba orang lain juga mula percaya bahawa mereka juga mampu.
Minggu lalu saya teringat kisah ini apabila berpeluang bertemu dan berbual panjang dengan Josiah Ng.
Pasti ramai mengenali Dato’ Azizulhasni Awang sebagai legenda berbasikal negara.
Tetapi sebelum Dato’ Azizul mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, sebenarnya sudah ada seorang anak Malaysia yang membuka jalannya terlebih dahulu. Nama dia? Josiah Ng.
Beliau memenangi pingat emas Sukan Komanwel, tiga kali layak ke Sukan Olimpik dan membuktikan bahawa anak Malaysia juga mampu bersaing dengan kuasa-kuasa besar dunia dalam acara berbasikal trek.
Lebih sejam saya mendengar beliau bercerita. Tentang kemenangan? Of course… Tetapi yang lebih banyak ialah tentang kegagalan, kecederaan, tekanan dan bagaimana impian yang besar itu hampir berkali-kali terkubur.
Kita selalu melihat seorang juara ketika dia berdiri di podium. Kita melihat pingatnya. Kita melihat tepukan yang diterimanya.
Tetapi kita jarang melihat ribuan jam latihan ketika orang lain sedang berehat, pengorbanan yang tidak pernah diceritakan dan kesakitan yang terpaksa ditanggung sebelum dunia mengenali namanya.
Antara perkara yang saya catat daripada perkongsian beliau ialah tentang “Resilience”. Keupayaan untuk bangkit setiap kali kehidupan menjatuhkan kita.
Dalam perjalanan mengejar impian, jatuh itu bukan kemungkinan tetapi satu kepastian. Persoalannya bukan sama ada kita akan jatuh atau tidak, tetapi adakah kita memilih untuk bangkit semula.
Beliau juga berkongsi tentang mencipta matlamat yang besar. Matlamat itu bukan sekadar ditulis kemudian disimpan dalam laci. Ia diulang dibaca setiap pagi sehingga minda benar-benar mempercayainya. Apabila minda sudah percaya, tindakan kita berubah, disiplin berubah dan setiap keputusan yang dibuat mula selari dengan impian tersebut.
Satu lagi perkara yang saya suka ialah perkataan “Resourcefulness”. Ramai orang menunggu modal yang cukup, masa yang sesuai, pasukan yang lengkap atau peluang yang sempurna sebelum bertindak. Tetapi orang yang resourceful tidak bermula dengan apa yang mereka tiada. Mereka bermula dengan apa yang mereka ada. Mereka sentiasa bertanya, “Dengan apa yang ada pada aku hari ini, apa lagi yang aku boleh lakukan?” Itulah bezanya.
Orang biasa mencari alasan. Orang luar biasa mencari jalan. Sebab itu resourcefulness bukan tentang memiliki lebih banyak sumber, tetapi menjadi lebih kreatif, lebih bijak dan lebih berani memanfaatkan setiap peluang yang ada di depan mata.
Beliau juga mengingatkan bahawa kadang-kadang kita tidak perlukan sejuta orang yang percaya kepada kita. Kita hanya perlukan seorang. Seorang mentor, seorang jurulatih, seorang guru, seorang ibu, seorang ayah atau seorang sahabat yang melihat potensi kita ketika orang lain tidak nampak apa-apa.
Kadang-kadang seorang itulah yang memberi kekuatan untuk kita terus melangkah ketika seluruh dunia sedang meragui kita.
Dan satu ayat beliau yang benar-benar melekat di fikiran saya ialah, “Train hard and be ready to get lucky.”
Ramai orang melihat kemenangan lalu berkata, “Dia bernasib baik.” Tetapi mereka tidak nampak berapa ribu jam latihan yang berlaku sebelum peluang itu muncul. Ketika menuju Sukan Komanwel, beliau berdepan lawan yang rankingnya jauh lebih tinggi. Atas kertas, peluangnya sangat tipis. Tetapi beliau tetap berlatih seolah-olah kemenangan itu memang miliknya. Apabila peluang itu akhirnya datang, beliau sudah bersedia memberikan yang terbaik. Ramai akan memanggilnya sebagai “bertuah”. Saya melihatnya sebagai persediaan yang bertemu peluang.
Satu lagi yang saya rasa sangat penting ialah jangan terlalu melayan mereka yang sentiasa fokus kepada perkara negatif, yang suka merendahkan kita atau terlalu teruja mahu melihat kita jatuh. Hakikatnya orang seperti itu memang akan sentiasa ada. Tetapi mereka bukan penentu masa depan kita. Yang menentukan hidup kita ialah pilihan yang kita buat setiap hari. Terus belajar. Terus berlatih. Terus membuat persediaan.
Kerana sebenarnya tidak ada sesiapa yang mampu menjatuhkan kita. Yang mampu menjatuhkan kita ialah apabila kita sendiri memilih untuk “bermain” tanpa persediaan.
Apabila persediaan kita luar biasa, mungkin kita tetap akan diuji dan tersandung, tetapi kita tidak akan mudah tumbang.
Mungkin itulah persamaan Roger Bannister dan Josiah Ng. Mereka bukan sekadar memecahkan rekod. Mereka memecahkan had kepercayaan dalam fikiran orang lain.
Dan apabila seorang berani menjadi orang pertama, seluruh generasi selepasnya akan mula percaya bahawa perkara yang selama ini dianggap mustahil sebenarnya boleh dicapai.
Datuk Wira