USAHAWAN: APA YANG MEMBAWA ANDA KE SINI, BELUM TENTU MAMPU MEMBAWA ANDA KE TAHAP SETERUSNYA

Semalam saya mulakan hari pertama sesi TCP One-on-One melalui Zoom. Fokusnya adalah untuk menilai perjalanan Januari hingga Julai dan membuat persediaan menghadapi bulan Ogos serta baki tahun ini.

Pada penghujung beberapa sesi tersebut, saya terfikir, “Nasib baik kami sempat go through perkara ini bersama-sama.”

Kenapa?

Kerana ramai usahawan sedang berada pada tahap yang tidak pernah mereka capai sebelum ini. Ada yang sudah membina perniagaan bernilai RM25 juta, RM30 juta atau RM40 juta setahun. Mereka sudah sampai ke satu tahap yang dahulu hanya menjadi impian.

Namun, sampai ke tahap itu tidak bermaksud mereka benar-benar memahami apakah yang membawa mereka ke situ. Mereka mungkin boleh mencapai angka tersebut sekali, tetapi belum tentu mampu mengulanginya, mempertahankannya atau pergi lebih jauh.

Saya suka menggunakan analogi mendaki gunung.

Saya sendiri tidak pernah mendaki Gunung Kinabalu. Paling jauh pun Gunung Ledang, itu pun saya tidak berjaya sampai ke puncak. Namun, daripada bawah, sesebuah gunung boleh kelihatan seolah-olah tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu sukar.

Hakikatnya, ramai yang cedera, hampir kehilangan nyawa, malah ada yang meninggal dunia ketika mendaki atau ketika dalam perjalanan turun.

Apabila mahu melakukan sesuatu yang tidak pernah kita lakukan, kita memerlukan sebab yang sangat kuat. Apa sebenarnya yang kita mahu capai di puncak?

Bagi sesetengah orang, ia adalah pencapaian peribadi. Bagi yang lain, ia adalah pengiktirafan. Ada pula yang mahu menguji kemampuan diri. Setiap orang mempunyai sebab yang berbeza.

Namun, motivasi sahaja tidak mencukupi. Persediaan adalah kunci.

Jika anda tidak pernah hiking atau mendaki bukit, anda tidak boleh terus menganggap diri bersedia untuk mendaki gunung yang tinggi. Laluan berbeza, cuaca berbeza, peralatan berbeza, cabaran berbeza dan tahap ketahanan yang diperlukan juga berbeza.

Begitu juga dalam perniagaan.

Membina jualan RM1 juta setahun mungkin seperti mendaki sebuah bukit kecil. Apabila mahu mencapai RM1 juta sebulan, gunungnya sudah berbeza. Apabila mahu pergi daripada RM25 juta kepada RM50 juta, anda tidak boleh mengharapkan strategi, struktur dan kemampuan yang sama akan terus membawa anda ke atas.

Mungkin strategi TikTok telah membawa sesebuah perniagaan kepada jualan RM25 juta atau RM30 juta. Pada peringkat awal, fokusnya mungkin membina pasukan live host. Kemudian, menambah kandungan GMV. Selepas itu, membangunkan affiliate dan KOL.

Tetapi apabila sudah sampai ke tahap tersebut, kita perlu pergi lebih dalam. Kita perlu memperkukuh proses pengambilan live host, latihan, pengembangan pasukan, model live host dalaman dan luaran, kualiti kandungan, conversion, kos serta keseluruhan profitability.

Ada perniagaan yang perlu terus memperkukuh TikTok, tetapi pada masa yang sama mula membina Shopee sebagai enjin pertumbuhan baharu.

Shopee pula tidak boleh sekadar diberikan kepada pasukan TikTok sebagai kerja tambahan. Ia memerlukan pasukan, pemimpin, pengurus, strategi, sasaran dan accountability yang berbeza.

Pasukan Shopee perlu beroperasi seolah-olah seluruh hidup mereka bergantung kepada kejayaan Shopee. Jika mereka sentiasa tahu bahawa TikTok masih mampu menyelamatkan syarikat, mereka mungkin tidak akan membina Shopee dengan kesungguhan yang diperlukan.

Bagi perniagaan lain, mereka mungkin perlu mula membina Google, e-commerce, Meta, Instagram atau memperkukuh branding. Nasihatnya tidak boleh sama untuk semua orang kerana setiap perniagaan berada di base camp yang berbeza.

Anda mungkin baru tiba di Base Camp 1 atau Base Camp 2 dan merasakan kaedah yang sama boleh digunakan untuk meneruskan perjalanan.

Tetapi menuju ke Base Camp 3, laluannya mungkin semakin licin dan tiada tempat untuk berpaut. Pada tahap itu, anda memerlukan tali. Menuju ke Base Camp 4 pula, anda mungkin berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu—sesuatu yang tidak pernah anda alami sebelum ini.

Dalam setiap tahap pertumbuhan, ada perkara yang perlu diperkukuh. Ada yang perlu dilakukan dengan lebih banyak. Ada yang perlu dikurangkan. Ada perkara baharu yang perlu dimulakan dan ada perkara lama yang mesti dihentikan.

Untuk bergerak daripada RM25 juta kepada RM50 juta, mungkin orang pertama yang perlu dihentikan ialah diri anda sendiri.

Berhenti cuba melakukan semuanya seorang diri. Berhenti menganggap anda boleh terus figure out semuanya sendiri. Mula mencari bakat yang betul. Mula membina pemimpin. Mula membangunkan kemampuan orang dalam organisasi.

Realitinya, ramai founder tidak tahu bagaimana mahu melakukannya. Mereka juga mungkin tidak mempunyai struktur yang betul untuk membina organisasi yang mampu bergerak tanpa semuanya bergantung kepada founder.

Secara asasnya, ada tiga pilihan.

Pertama, cuba figure out semuanya sendiri. Mungkin mengambil masa dua, tiga atau lima tahun. Mungkin juga tidak akan sampai langsung, malah boleh tergolek semula ke bawah.

Kedua, cari seseorang yang pernah melalui perjalanan itu, memahami laluannya dan pernah membawa orang lain naik serta turun dengan selamat.

Ketiga, berada dalam persekitaran dan kelompok yang terdiri daripada mereka yang sudah biasa melalui perjalanan tersebut supaya kita boleh belajar daripada pengalaman mereka.

Hari ini pula, saya akan bertemu sekitar 30 hingga 40 orang usahawan di bawah projek The Next Growth. Sepanjang dua hari, kami akan menilai perniagaan, kemampuan, sikap dan kesediaan mereka sebelum memutuskan sama ada mereka sesuai dipilih sebagai pemain baharu yang mahu kami bangunkan.

Ramai orang mahu mencapai sesuatu yang besar, tetapi dalam masa yang sama memilih jalan yang paling sukar—cuba menyelesaikan semuanya sendiri.

Percayalah, apa yang membawa anda ke tahap sekarang belum tentu mampu membawa anda ke tahap seterusnya.

Semakin tinggi gunung yang mahu didaki, semakin penting persediaan, peralatan, pasukan, guide dan environment yang betul.

Jika anda mahu pergi jauh, jangan hanya bertanya sejauh mana anda sanggup bekerja keras.

Tanya juga: adakah anda mempunyai orang, kemampuan, struktur dan guidance yang betul untuk membawa anda sampai ke puncak—dan turun semula dengan selamat?

Jika anda sedang membina perniagaan dan berdepan cabaran tertentu. Saya dan team RichWorks nak bantu anda untuk lebih jelas dan tahu keadaan sebenar perniagaan melalui laporan percuma – Business Diagnostic Report (BDR) khas buat anda.

Kenal pasti di mana tahap perniagaan anda, melihat gap atau ‘kelemahan’ yang ada menyebabkan perniagaan berdepan cabaran berkenaan. Klik butang di bawah ini sekarang.

DW

Add comment: